Tuesday, October 21, 2014

Pamer jaring tarik pelancong



BEBERAPA catatan mendakwa jaring dibawa ke India oleh sida-sida Cina, Cheng Ho.


LIMA lelaki kelihatan sedang menarik jaring yang dipasangkan di gigi air sambil bernyanyi kuat untuk menghiburkan hati masing-masing. Pemandangan di pesisir pantai selatan India sejak beberapa abad lalu itu merupakan perkara biasa yang dapat dilihat terutama di Fort Kochi, Kerala.
Tidak semena-mana, dua daripada mereka bergegas ke pelantar usang untuk mengambil hasil tangkapan yang tidak seberapa itu. Hanya beberapa ekor ikan berwarna perak dan ketam kecil berjaya ditangkap.
Itulah aktiviti lazim di kota lama yang menjadi pusat perdagangan rempah itu. Susunan jaring di sepanjang pesisiran pantai itu merupakan satu pemandangan yang biasa.
Bagaimanapun, tujuan utama jaring-jaring itu dipamerkan adalah untuk menarik perhatian pelancongan berbanding menjala ikan.
“Pekerjaan ini sangat sukar dan kami perlu bekerja keras untuk melakukannya. Jika kurang ikan, kuranglah sumber pendapatan kami. Saya tidak boleh menyara keluarga dengan pekerjaan ini,” kata John Kalathil Barried, 62.
Peralatan menangkap ikan yang jarang dilihat itu dipasang di atas tanah menggunakan tiang-tiang kayu untuk menyokongnya. Jaring itu kemudian ditegangkan dengan menggunakan kaedah takal dan batu pemberat.
Beberapa catatan mendakwa, jaring itu diperkenalkan oleh sida-sida Cina, Cheng Ho yang datang menjelajah India pada abad ke-15 atau pedagang Cina dari zaman pemerintahan Kublai Khan.
Namun, penduduk tempatan menegaskan bahawa ia telah diperkenalkan oleh orang Portugis yang pernah memerintah Fort Kochi sehingga tahun 1663 selepas hab komersial tersebut.
Kosa kata Portugis yang masih digunakan untuk menggambarkan bahagian jaring dan warisan nelayan beragama Kristian memperkuatkan teori tersebut.

PERUBAHAN cuaca dan pencemaran industri memberikan kesan buruk kepada aktiviti nelayan.


Merosot
“Orang-orang Portugis membawa masuk pelbagai bahan mentah terutama kopi, kacang gajus dan ubi kayu yang menjadi tanaman kami pada hari ini,” kata bekas Datuk Bandar Kochi. KJ Sohan. Beliau berkata, jaring yang dibawa masuk orang Portugis pada asalnya bersaiz kecil dan digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menjala di sepanjang Sungai Mekong, Vietnam.
Sebanyak 22 struktur didirikan di pesisiran pantai sejak tiga dekad yang lalu. Namun, kini jumlah tersebut berkurangan kepada 12 selepas tempat itu menjadi kawasan pelancongan.
Hari ini, golongan lelaki akan menarik jaring lebih daripada 100 kali sehari dan turun ke laut lebih 250 kali apabila mereka membawa hasil yang lebih banyak.
Seorang nelayan paling tua, V.R. Simon, 75, mendakwa bot-bot kecil yang sering menangkap ikan di sekitar kawasan itu menyebabkan tangkapan ikannya semakin merosot.
“Kini, kami hanya menarik jaring untuk mencuri tumpuan pelancong dan mereka akan memberikan kami sedikit wang. Itulah cara kami meneruskan kehidupan,” katanya yang turut menyalahkan kilang berdekatan kerana mencemari air laut serta tsunami pada tahun 2004.
Seorang Profesor dari Jabatan Meteorologi dan Oseanografi di Universiti India Andhra, Bhanu Kumar berkata, penurunan jumlah stok ikan mendapat perhatian di luar Fort Kochi.
“Perubahan cuaca, pencemaran industri dan pengurangan perlindungan pokok bakau di sepanjang pesisir pantai India antara punca yang memberikan kesan buruk kepada ikan,” katanya. Walaupun terdapat teknologi yang boleh membantu mengenal pasti kawasan perairan yang sesuai untuk meletakkan pukat tunda, kemudahan itu akan menambahkan tekanan pada jumlah stok ikan dan mengganggu perniagaan jaring.
“Namun, impian mula kelihatan apabila beberapa ahli diplomatik China membuat kunjungan baru-baru ini. Ia bertujuan untuk menggalakkan perhubungan antara warisan dan sebagai simbol tawaran kerjasama,” kata Setiausaha Pelancongan Kerala, Suman Billa.
Bagaimanapun, tidak ada tawaran secara rasmi dibuat dan penduduk Kochi bimbang jika India menolak tawaran bantuan daripada pihak luar.
Pada masa sama, pihak kerajaan Kerala memperuntukkan wang berjumlah 15 juta rupee (RM794,000) untuk membaiki jaring kerana beberapa bahagian perlu diganti.

TUJUAN utama jaring-jaring dipamerkan adalah untuk menarik perhatian pelancongan.


Aktiviti
Namun, penurunan aktiviti penangkapan ikan perlu dipelihara sebagai tapak warisan dan bukan hanya untuk tarikan pelancongan semata-mata.
“Ia adalah mata pencarian bagi komuniti di sini dan menjadi ikonik Kochi,” kata Sohan yang merupakan Datuk Bandar pertama dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar.
Beliau menambah, kerajaan perlu menyediakan insurans untuk nelayan dan subsidi kayu. Ramai antara mereka kini menggunakan besi untuk dijadikan tiang dan ia bukan jati tradisional penduduk setempat.
Sohan berkata, para nelayan juga perlu menambahkan nilai hasil tangkapan mereka yang semakin merosot termasuk menyediakan perkhidmatan memasak dan menghidang ikan segar kepada pelancong.
“Apa yang dijual oleh nelayan untuk harga 100 rupee (RM5.26) dijual semula di hotel pada harga 500 rupee (RM26). Mengapa mereka tidak boleh menjual pada harga yang sama? “Inilah cabaran untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Buat masa ini, nelayan masih lagi menarik perhatian pengunjung. Ia memberi peluang kepada pelancong merasai sendiri pengalaman menarik tali dan membantu merakamkan saat indah itu sebagai pertukaran untuk sumbangan.
“Kami hidup seperti pengemis,” kata Simon apabila para pengunjung cuba mengenali gaya kehidupan mereka dengan lebih mendalam.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: