Tuesday, October 21, 2014

Penghuni istimewa Sungai Relau



LELAKI berusia 41 tahun itu mengatur langkah untuk masuk ke dalam sungai di Kuala Juram, Taman Negara Pahang, Sungai Relau, Pahang. Tiba-tiba kedengaran suaranya memanggil Jhonny sambil melempar dedak ke permukaan sungai.
“Jhonny, bapak datang ni,” jeritnya. Sejurus kemudian, muncul puluhan ekor ikan yang berebut-rebut memakan dedak itu. Dia lantas bermain dan ‘bermesra’ dengan ikan-ikan kesayangannya itu yang merupakan antara spesies kegilaan kaki pancing iaitu kelah.
Kelah yang digelar ‘Raja Sungai’ menjadi kegemaran kaki pancing ekoran sifat agresif haiwan tersebut selain kesukaran untuk mencari lubuknya yang terletak di tengah hutan belantara.
Dalam tempoh dua tahun menjadi penjaga di santuari kelah itu, siapa sangka Zulkifli Daud mampu ‘berkomunikasi’ dengan ikan kelah. Keistimewaan Zulkifli membuatkan ikan-ikan itu tidak takut dan senang dengan kehadirannya.
Baginya, ikan kelah itu bagaikan anak-anak sendiri kerana banyak masanya dihabiskan bersama penghuni sungai itu.
“Sebelum ini, saya menggunakan loceng untuk memanggil ikan kelah ketika memberi makan tetapi lama-kelamaan hanya dengan panggilan suara ikan-ikan ini berpusu-pusu datang.
“Bagaimanapun, untuk bermain dengan ikan-ikan ini ada caranya yang tersendiri. Ia perlu dilakukan dengan lembut, ikan-ikan tidak boleh dipegang terlalu lama dan sebelum dilepaskan semula ke sungai perlu diberikan oksigen terlebih dahulu dengan cara meletakkan di permukaan air beberapa saat sebelum dilepaskan,” kongsinya.
Terdapat kira-kira 3,000 ikan kelah di santuari itu yang terdiri daripada jenis kelah merah, putih, hitam dan hijau. Zulkifli akan memberi makan ikan-ikan kelah itu pada pukul 2 petang setiap hari.
Ikan kelah atau nama saintifiknya tor tambroides banyak terdapat di India dan secara amnya di Asia Selatan dan mendiami sungai, tasik serta membiak di kawasan yang berbatu. Ia tinggal di hulu sungai kerana faktor airnya yang bersih. Berasal daripada spesies ikan kap dalam keluarga cyprinidae yang bersisik, kelah memiliki garisan tengah yang jelas kelihatan di tengah-tengah bahagian badan selain bentuk sisik yang besar dan cantik.

JAMBATAN gantung antara kemudahan yang terdapat di taman negara ini.


Faktor persekitaran
Jumlah sisik di bahagian garisan tengah ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping. Ikan kelah dewasa mempunyai lebihan daging di bawah dagunya dan boleh membesar sehingga lebih 50 kilogram (kg). Ia mudah dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar. Faktor persekitaran habitatnya mempengaruhi bentuk badan ikan kelah sama ada lebih lonjong atau lebar.
Ikan kelah juga suka memakan tumbuh-tumbuhan air seperti rumpai, buah-buahan kecil, daun-daun pinggiran sungai dan lumut. Ikan kelah amat gemar dengan persekitaran berbatu dengan aliran air yang deras manakala anak-anaknya gemar berenang di celah-celah batu tersebut.
Menurut Pengurus RA Adventure Travel & Tour Sdn. Bhd. (RA Adventure), Roslan Abdullah, santuari itu ditubuhkan bagi tujuan memulihara dan melindungi ikan kelah daripada ancaman kepupusan selain memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali ikan tersebut secara lebih dekat.
“Sejak menguruskan santuari ini kira-kira tujuh tahun lalu, pihak kami telah menerima ramai pelawat yang ingin melihat, bermain, memberi makan dan mempelajari kehidupan ikan ini. Para pengunjung pasti tidak melepaskan peluang untuk menangkap ikan kelah yang jinak ini.
“Bagaimanapun, pihak kami akan mengawasi tindak-tanduk pengunjung bagi memastikan ikan-ikan kelah ini tidak mati akibat perlakuan ganas atau dipegang terlalu lama di permukaan air,” katanya yang memberitahu santuari itu pernah menerima pengunjung seramai 100 orang dalam tempoh sehari.
MEMEGANG ikan kelah merupakan aktiviti yang sangat diminati pengunjung.


Akses
Santuari yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Taman Negara Pahang, Sungai Relau itu boleh diakses dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda. Pengunjung yang berminat mengikuti program selama tiga hingga empat jam itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM25 seorang.
Roslan memberitahu, kebanyakan pengunjung Taman Negara Pahang tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke santuari tersebut kerana pengalaman itu sukar diperoleh di tempat lain.
“Memang spesies ini terdapat di negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Perak, namun di sini mempunyai kelebihan tersendiri iaitu pengunjung berpeluang memberi makan dan bermesra dengan ikan kelah,” katanya yang turut memaklumkan bahawa harga ikan kelah jenis merah mampu mencecah RM200 sekg. Setakat ini, ikan kelah yang paling berat pernah direkodkan di santuari tersebut adalah seberat 25kg.
Roslan turut berkongsi keunikan ikan kelah. “Jika kami pindahkan salah seekor ikan dari santuari ini ke tempat lain ia akan disedari oleh kumpulannya. Dalam bahasa mudah, kami gelarkan ikan ini ‘merajuk’ dan ia selalunya mengambil masa lebih tiga hari untuk ia pulih seperti sedia kala,” ujarnya.
Tempat tinggal
Dalam pada itu, Taman Negara Pahang, Sungai Relau mula dibuka kepada pelawat pada Ogos 1993. Ia menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia, 480 spesies burung dan 80 spesies kelawar.
Tujuan penubuhan Taman Negara ini adalah untuk memelihara dan melindungi hidupan liar, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang mempunyai kepentingan dari segi kaji bumi, kaji purba, sejarah dan etnologi serta kepentingan lain.
Taman ini juga menjalankan program konservasi dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terhadap lima spesies hidupan liar utama iaitu gajah, harimau, tapir, badak dan seladang.

PENGUNJUNG pasti teruja menikmati keindahan alam menerusi Menara Pandang Bukit Seraya di Taman Negara Pahang, Sungai Relau.


Selain itu, ia juga merupakan laluan pintu masuk untuk ke Taman Negara Pahang selain Kuala Tahan.
Perjalanan mendaki Gunung Tahan melalui kawasan ini lebih pendek iaitu sekitar empat hari berbanding tujuh hari dari Kuala Tahan.
Pengunjung yang berasal dari Ireland, Pearse Kennedy, 42, berkata, dia memilih Taman Negara Pahang untuk dijadikan sebagai tempat beriadah kerana suasana hutan dan keindahan alam yang tidak terdapat di bumi Eropah.
Dia yang menginap di Kuala Lipis mengambil inisiatif mengembara seorang diri ke kawasan perhutanan itu bagi menghayati keindahan alam.
“Ini pertama kali saya ke datang ke sini, ia sangat seronok kerana saya dapat berjalan menyusuri taman ini kerana di Ireland tidak ada suasana seperti ini.
“Suasana di sini menenangkan dan saya pasti kembali ke sini kelak,” katanya.
Bagaimanapun, dia tidak berkesempatan untuk mengunjungi santuari ikan kelah kerana kesuntukan masa.
Baginya, pada masa akan datang, dia pasti tidak akan melepaskan peluang mengunjungi habitat semula jadi kelah itu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: