Wednesday, October 1, 2014

Logo kuih baulu Politeknik Metro


PARA pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Metro Kuala Lumpur menggunakan sistem giliran bertugas bagi menyiapkan kuih baulu.


SETELAH bertungkus lumus selama lapan hari dari pagi hingga lewat malam menghasilkan 30,000 biji kuih baulu, logo Politeknik Malaysia sepanjang 12 meter dan lima meter lebar itu akhirnya dapat direalisasikan.
Lebih manis, ia dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records sebagai logo terpanjang menggunakan kuih tradisional itu.
Kejayaan itu memberikan kepuasan kepada 50 pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Metro Kuala Lumpur.
Walaupun usaha itu nampak kecil, namun banyak perkara yang dipelajari mereka sepanjang menjayakan projek tersebut.
Di ruang dapur yang agak terhad, mereka mengadun 55 kilogram (kg) tepung gandum, 98kg gula dan 118 papan telur ayam yang menjadi bahan utama menghasilkan baulu cermai.
Perancangan gerak kerja perlu diatur dengan bijak terutama sistem giliran bertugas kerana masing-masing terikat dengan kuliah.
Kesemua cabaran yang ditempuhi pelajar semester lima itu bagi memenuhi keperluan mata pelajaran, Event Operation and Management.
Logo terbesar Politeknik itu dipamerkan semasa Karnival Cita rasa Malaysia 2014 di Muzium Negara kendalian pelajar-pelajar di bawah seliaan pensyarah Pengurusan Hotel dan Katering, Mas Azlina Mohd. Alias dan Mas Rehan Mahmudi.
Pengarah Projek karnival, Ain Nadirah Rozmi berkata, program sulung Politeknik Metro Kuala Lumpur itu menjadi cabaran buat pelajar mempamerkan bakat masing-masing dalam bidang pengurusan majlis.
"Kami memilih muzium sebagai lokasi karnival kerana ia menjadi tumpuan ramai terutama pelancong asing.
"Antara acara sepanjang program sehari itu ialah edaran makanan secara percuma hasil air tangan pelajar, pertandingan chef cilik, Waiter Race dan Riang Ria Warna," katanya.
Ain Nadirah berkata, karnival itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan makanan Malaysia malah mempromosikan Politeknik Metro yang masih baharu dan kurang dikenali dalam kalangan masyarakat.
"Pelbagai halangan dan rintangan dilalui untuk merealisasikan program ini yang menjadi satu pembelajaran yang cukup berguna kepada kami terutama mempraktikkan segala teori yang dipelajari sepanjang lebih dua tahun di sini," katanya yang bakal menamatkan pengajian pada tahun hadapan.
Transformasi pendidikan bagi melahirkan modal insan yang serba boleh dan benar-benar terlatih bagi memenuhi keperluan industri adalah antara teras penubuhan Politeknik Metro pada tahun 2011 oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

SEBANYAK 30,000 biji kuih baulu diperlukan bagi menghasilkan logo Politeknik Malaysia berukuran 12 meter panjang dan lima meter lebar.


Konsep
Berkonsepkan pengajian setempat, penubuhan pertamanya di Kuala Lumpur adalah bagi memenuhi keperluan industri di sekitarnya, menurut Pengarah Politeknik Metro Kuala Lumpur, Mohamad Abdullah.
"Latihan di lapangan antara kaedah terbaik untuk pelajar mempraktikkan ilmu yang diperoleh terutama bagi meningkatkan keyakinan diri sebelum berhadapan dengan dunia pekerjaan yang sebenar," katanya.
Sedikit berbeza dengan politeknik Premier dan konvensional yang sedia ada Politeknik Metro bersaiz agak kecil dengan jumlah pelajar sekitar 345 orang.
"Keutamaan diberikan kepada pelajar yang menetap di sekitar Kuala Lumpur kerana kami tidak menyediakan asrama. Dua kursus sahaja ditawarkan di Politeknik Metro Kuala Lumpur iaitu Diploma Peruncitan serta Diploma Pengurusan Hotel dan Katering," katanya.
Bagi Diploma Peruncitan, tempoh pengajian adalah dua tahun setengah manakala Diploma Perhotelan dan Katering selama tiga tahun.
Pemilihan kursus berdasarkan kaji selidik yang dijalankan sebelum pembukaan Politeknik Metro di satu-satu lokasi. Ia bagi mengetahui kehendak pasaran yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada pelajar yang akan menamatkan pengajian.
"Di sekitar kawasan Kuala Lumpur, banyak hotel dan pasar raya besar yang memerlukan tenaga kerja terlatih. Jadi, Kuala Lumpur kita mengkhususkan kepada kedua-dua bidang itu," katanya.
Selain Politeknik Metro Kuala Lumpur, cawangan lain ialah Kuantan (Pahang), Johor Bahru (Johor), Betong (Sarawak) dan Tasek Gelugor, (Pulau Pinang).


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: