Wednesday, October 1, 2014

Kawal kereta melalui komunikasi



KETUA Jurutera dan Inovasi Honda, Kei Oshida menunjukkan cara operasi sistem pemanduan bebas tangan.


KERETA sedan Acura RLX sama seperti kereta normal lain, namun ia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa.
Kereta tersebut merupakan kereta kedua yang mampu memandu sendiri mengikut arahan yang diberikan melalui teknologi terbaharu dalam industri automotif dunia.
Sistem yang membolehkan pemilik memberi arahan kepada kenderaan melalui sistem komunikasi itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.
Kini pengeluar dan pengedar berganding bahu bagi merealisasikan inovasi tersebut dengan meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan kemudahan lain.
Pemilik Acura RLX, General Motors Co., Honda Motor Co. Ltd. dan beberapa pembuat kereta lain sedang giat menjalinkan kerjasama dengan peneraju asal teknologi tersebut.
Syarikat gergasi, Google merupakan perintis kepada teknologi kenderaan bebas tangan dan Apple sebagai penyedia perkhidmatan komunikasi kepada pembuat kenderaan.
"Ia merupakan gabungan syarikat-syarikat besar, Apple, Google, pengeluar kereta dan pengumpul data.
"Dua tahun lalu, ia hanya satu janji, namun kini sudah menjadi realiti," ujar Naib Presiden Pembangunan Perniagaan di Parkmobile serta Pengerusi BMW AG dan Ford Motor, Laurens Eckelboom.
Sebuah syarikat pembuat trak baru-baru ini telah membuat permohonan kepada syarikat Peloton Technology yang berpangkalan di Lembah Silikon, California untuk memasang teknologi yang menawarkan penjimatan bahan api dan mengurangkan kemalangan.
Melalui teknologi tersebut, dua buah trak dapat bergerak serentak di atas jalan raya apabila brek dan kelajuan dikawal melalui komunikasi tanpa wayar.

SISTEM pemanduan bebas tangan dikatakan mampu mengurangkan kemalangan.


Kos tinggi
Teknologi tersebut akan mula dijual pada akhir tahun depan sekali gus dapat menjimatkan kos operasi.
Bagaimanapun, harga untuk pemasangan sistem berkenaan mungkin menelan kos yang tinggi.
Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh Keselamatan Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), menganggarkan pembuat kenderaan memerlukan kos berbilion-bilion dolar untuk memasang sistem pemanduan bebas tangan yang akan beroperasi menjelang tahun 2020.
Namun begitu, terdapat beberapa risiko dan isu lain yang harus diberi perhatian, ia termasuklah kebolehpercayaan, keselamatan siber dan undang-undang.
Apa yang akan terjadi apabila berlaku kemalangan? Siapa yang bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi? Adakah individu pemberi arahan yang bersalah atau pihak pembuat kereta?
Memetik laporan Pusat Polisi Insurans dan Penyelidikan AS, isu keselamatan dan undang-undang perlu diselesaikan sebelum kenderaan bebas tangan digunakan di atas jalan raya.
"Semua keseronokan yang dijanjikan oleh pengeluar dan pengawal selia kereta harus dianggap sebagai hadiah. Ia tidak akan menyebabkan berlakunya kemalangan," ujar Ketua Pegawai Teknologi GM, Jon Lauckner pada Kongres Sistem Pengangkutan Dunia ITS di Detroit, AS.
Penganalisis kenderaan, Michaeli berkata, pemusatan teknologi berkaitan automotif mampu mengurangkan pencemaran dan penggunaan bahan api, kos operasi serta insurans.
Sistem keselamatan aktif iaitu pemanduan bebas tangan dan sistem mengelak kemalangan turut dibincangkan oleh ramai juruteknik dalam Kongres ITS yang berlangsung baru-baru ini.
"Pengeluar kereta mula memperkenalkan teknologi baharu di atas jalan raya bagi melihat maklum balas pasaran serta kerajaan," ujar Ketua Pegawai Teknologi Delphi Automotif, Jeff Owens.
Menurut perbincangan awal yang dilakukan oleh sebuah program bual bicara, harga masih menjadi satu persoalan yang besar. Beberapa sistem canggih yang diperkenalkan akan meningkatkan kos dua atau tiga kali ganda lebih besar pada peringkat awal.
Walaupun pemasangan sistem semiautomatik tidak akan menyebabkan sebarang perubahan harga, namun kajian yang dilakukan menunjukkan pengguna perlu membayar kira-kira AS$3,000 (RM10,000) untuk teknologi terbaharu itu.

TEKNOLOGI pemanduan bebas tangan bakal beroperasi menjelang tahun 2020.


Sistem baharu
Kumpulan Chrysler, anak syarikat kepada Fiat, Itali mengenakan caj hampir RM11,400 untuk keseluruhan teknologi baharu dalam kereta Chrysler 200C yang akan diperkenalkan pada tahun 2015.
Antara sistem baharu yang terdapat dalam kereta tersebut termasuklah, penggunaan brek automatik, butang untuk jarak selamat, sistem amaran membelok dan meletak kenderaan serta sensor pengesanan kenderaan di hadapan.
Walaupun ia direka untuk pemanduan bebas tangan di atas jalan raya dan berfungsi secara automatik menggunakan sistem OnStar GM yang memberi maklumat lokasi, cuaca dan trafik, namun pemandu tidak boleh mengabaikan kenderaan mereka sepenuhnya.
"Kami bercakap mengenai ciri pemanduan automatik bukannya pemanduan bebas tangan.
"Kami mempunyai strategi untuk memastikan pemandu sentiasa berhati-hati," ujar Jim Cain.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: