|
UNTUK satu jangka masa, Nur Ashikin Azit menyangka berzakat hanya kepada pengeluaran zakat fitrah. Malah, apabila mula bekerja, dia langsung tidak tahu menahu tentang kewajipan melunaskan zakat pendapatan.
Mungkin kerana itu, gaji Nur Ashikin, 26, sering dirasakan tidak mencukupi. Pembahagian belanja juga tidak konsisten sehingga tiada lebihan wang dapat diberikan kepada ibu bapanya.
Selepas menukar pekerjaan, barulah Nur Ashikin tahu kewujudan tuntutan mengeluarkan zakat pendapatan. Biarpun kenaikan gaji yang diterimanya tidak banyak beza, tetapi duitnya cukup untuk menampung segala perbelanjaan. Malah, dia juga dapat memberi sedikit wang belanja kepada ibu bapanya setiap bulan tanpa sebarang masalah.
"Sebelum saya tunaikan zakat pendapatan, duit selalu tidak cukup. Sekarang Alhamdulillah, walaupun pendapatan tidak besar, hidup lebih berkat dan banyak rezeki tersembunyi yang Allah berikan," kongsi Nur Ashikin memanjat syukur.
Pada usia yang masih muda, Nur Asyikin berasa terpanggil untuk sama-sama menggiatkan galakan berzakat kepada rakan-rakannya. Meskipun cubaan awalnya banyak dugaan, namun lama-kelamaan rakan-rakannya terbuka hati untuk menunaikan rukun Islam ketiga itu.
"Ramai individu terutama orang muda liat keluarkan zakat kerana takut duit berkurang walaupun nilai yang wajib mereka bayar hanya serendah RM10," begitu tanggapan Nur Asyikin.
Zakat secara konsepnya dibahagikan kepada dua iaitu zakat badan dan zakat harta. Zakat badan merujuk kepada zakat fitrah yang wajib ditunaikan sepanjang bulan Ramadan. Zakat harta pula meliputi zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, emas dan perak, saham, pertanian, penternakan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.
Di dalam syarat wajib zakat juga tidak menetapkan akal baligh sebagai tuntutan. Ini bermakna kanak-kanak juga wajib mengeluarkan zakat sekiranya syarat-syarat lain sudah dipenuhi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Mohd. Rais Alias menjelaskan, kumpulan sasaran orang muda dibahagikan kepada tiga pecahan.
Ia melingkungi remaja berusia 17 tahun ke bawah, para pelajar pengajian tinggi berumur 18 hingga 25 tahun dan kelompok usia 25 hingga 35 tahun yang baru menjejak alam pekerjaan.
Bagi meningkatkan kesedaran generasi pelapis negara ini terhadap zakat, setiap kumpulan tersebut perlu didedahkan dengan pelbagai bentuk medium penyampaian informasi secara berterusan sehingga mereka benar-benar faham keutamaan memikul kewajipan tersebut.
Anak kecil yang mempunyai wang simpanan atau emas misalnya, wajib mengeluarkan zakat jika cukup syarat seperti haul dan nisab. Pada peringkat ini, tanggungjawab terletak di bahu ibu bapa. Penjelasan perlu disampaikan apabila anak sudah mampu mencerna maklumat.
Justeru, apabila mereka menginjak dewasa, amalan itu akan diteruskan tanpa sebarang kekeliruan. Sebagai peringatan kepada remaja 17 tahun ke bawah ini, penyampaian ilmiah yang menyeluruh amat ditagih daripada guru-guru subjek Pendidikan Islam di kesemua sekolah.
Pelajar
"Kami turut menjalankan program bernama Pesona Graduan yang disasarkan kepada pelajar-pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi. Pengisian program diberatkan terhadap persediaan mereka menempuh dunia pekerjaan yang turut diselitkan bersama informasi berkenaan zakat.
"Bagi kumpulan umur 25 hingga 35 tahun, kami lebih memfokuskan terhadap kesedaran mengeluarkan zakat pendapatan, saham dan KWSP. Pendekatan yang digunakan juga berbeza memandangkan mereka mempunyai sumber kewangan sendiri," jelas Mohd. Rais ketika ditemui Kosmo! di Wisma PPZ-MAIWP, Dataran Shamelin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Begitupun, masih ramai anak muda di negara ini yang menganggap zakat harta tidak wajib ditunaikan melainkan mereka benar-benar kaya dan berstatus jutawan.
Nazirah Adnan, 24, antara anak muda yang peka terhadap kewajipan mengeluarkan zakat harta. Selain zakat pendapatan yang dilunaskan menerusi potongan gaji secara bulanan, Nazirah turut memahami keperluan pembayaran zakat simpanan melibatkan wangnya yang disimpan di dalam mana-mana institusi kewangan seperti bank.
Mengakui kerendahan pengetahuan teman sebayanya terhadap kewajipan zakat, Nazirah menyarankan agar program kesedaran zakat terhadap kelompok muda dipertingkatkan.
"Zakat sangat penting untuk pembangunan ummah. Ia juga dapat merapatkan jurang miskin dan kaya," berkobar-kobar Nazirah berbicara.
Mohamad Daniel Sani, 22, pula banyak menerima input tentang zakat daripada papan iklan di jalan raya, internet, laman sosial dan akhbar. Perkongsian maklumat tentang zakat khususnya di laman sosial seperti Facebook membolehkan penyebaran kesedaran berlaku dengan pantas.
Namun, beberapa kali juga Mohamad Daniel dapati informasi yang dikongsi di laman sosial kurang tepat. Jadi, menyaring maklumat yang tepat di internet amat penting. Sebagai langkah selamat, jadikan laman web rasmi PPZ-MAIWP sebagai rujukan sahih.
Edaran brosur atau ceramah berbentuk keagamaan serius kurang relevan untuk menangkap minat anak-anak muda. Mohamad Daniel menyarankan agar kolaborasi bersama kumpulan basking dan pemuisi muda diadakan bagi mencipta penyampaian maklumat bersifat kreatif dan menghiburkan.
|
Tingkat kefahaman
Sementara itu, Mohd. Rais tidak menafikan betapa pengaruh teknologi dan laman sosial banyak meningkatkan kefahaman orang muda terhadap kewajipan berzakat. Aplikasi iZakat misalnya antara inisiatif moden PPZ-MAIWP yang dilancarkan pada Disember tahun lalu bagi mendekati kelompok sasaran belia.
Menerusi aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar itu, orang ramai boleh mentaksir dan membayar zakat tanpa perlu ke kaunter. Kemudahan itu juga boleh dinikmati menerusi portal PPZ-MAIWP.
Aplikasi iZakat itu juga sedang melalui penambahbaikan dan bakal dilengkapi fungsi semakan bagi membolehkan pengguna melihat sejarah pembayaran.
Pengenalan ikon animasi, Ustaz Amil di laman perkongsian video, YouTube juga dilihat alternatif efektif bagi menarik minat kanak-kanak mempelajari maklumat ringkas zakat.
Promosi penggalakan zakat juga dipelbagaikan meliputi acara santai bersama selebriti di bazar lewat malam, pusat beli-belah dan lokasi tumpuan orang muda. Menurut Mohd. Rais, artis yang telah berhijrah banyak memainkan peranan positif terhadap impak kesedaran berzakat memandangkan kelompok ini mempunyai pengikut yang besar.
"Orang muda perlukan umpan. Menerusi perkongsian pengalaman hijrah artis-artis yang terlibat seperti Yatt Hamzah, Diana Amir dan Sham Kamikaze, golongan pendengar muda akan berasa lebih tergerak hati untuk sama-sama mencontohi artis tersebut," tambahnya.
Begitupun, ujar Mohd. Rais, tahap kepekaan anak muda Malaysia membayar zakat jauh lebih baik berbanding negara Islam lain. Pentadbiran Malaysia yang lebih kemas dan sistematik juga menjadikan negara kita sebagai rujukan negara lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: