KONTROVERSI mengenai dua pelakon muda, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang didakwa telah berkahwin secara rahsia dan mempunyai cahaya mata merupakan cerita panas yang kini sedang meniti di bibir masyarakat.
Mengikut kronologinya, Aeril, 26, mahupun Wawa, 22, telah menafi- kan kepada Kosmo! spekulasi bahawa mereka sudah berkahwin, menerusi artikel yang disiarkan pada 24 September lepas.
Isu menjadi semakin panas apabil muncul sebuah artikel yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan pada Ahad lepas.
Artikel itu melaporkan bahawa Aeril dan Wawa dipercayai sudah bernikah pada 4 Februari lalu sebelum dikurniakan anak sulung pada 24 Ogos lalu.
Ekoran itu, Aeril mahupun Wawa mengambil langkah berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan.
Namun semalam, Aeril telah diserbu oleh pihak media di lokasi drama Cinta Mat Semperit di Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengesahan tentang isu tersebut.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aeril serta peguamnya, Zulhasmi Zakaria dan pengurusnya, Shahriman Wahab.
Kosmo!: Minggu lalu kecoh di internet yang mengatakan Aeril sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Ada pihak yang mendakwa mempunyai bukti bahawa Aeril dan Wawa sebenarnya memang benar-benar berkahwin. Boleh komen?
AERIL: Saya rasa buat masa sekarang ini, saya tidak dapat memberi sebarang komen tentang diri saya kerana hari ini kehadiran saya adalah untuk membuat promosi terhadap telefilem lakonan saya ini, Cinta Mat Semperit. Agak kurang enak bagi saya jika saya bercerita lebih tentang hal peribadi berbanding mempromosi telefilem.
Bagaimanapun, saya akan membuat satu sidang akhbar pada hari Jumaat ini. Di mana lokasi dan masa akan saya umumkan kelak.
Saya akan luahkan semua dan Wawa Zainal juga turut berada di sana. Ini kerana saya tidak mahu beri kenyataan banyak kali, jadi di sidang akhbar tersebut, saya akan jawab persoalan kalian semua.
Adakah Aeril telah bersedia menghadapi risiko untuk tampilkan bukti di hadapan pihak media?
Insya-Allah, saya rasa setakat ini saya sudah bersedia dengan jawapan kepada semua persoalan yang akan diajukan kelak.
Ketika kontroversi tersebut muncul dalam artikel di sebuah akhbar pada hari Ahad lepas, kenapa Aeril tidak membalas panggilan telefon mahupun khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar? Adakah anda sengaja melarikan diri?
Mengapa saya perlu lari. Istilah melarikan diri tidak pernah wujud dalam diri saya kerana saya sedia maklum status saya sebagai selebriti. Walau bagaimana saya sembunyi sekalipun kelak akan menjadi tanda tanya semua orang. Ada sebab mengapa saya mendiamkan diri.
Apabila berdiam diri, ramai yang mempunyai persepsi terhadap diri anda, adakah perkara tersebut benar mahupun tidak?
ZULHASMI: Bagi kes ini, Aeril sudah serahkan kepada saya untuk mengkaji kes ini secara keseluruhannya. Saya risau apa yang dicakap kelak akan menjadi prejudis terhadap kes ini.
Kenapa Aeril mengambil tindakan mahkamah, tidakkah ia terlalu rumit kelak?
AERIL: Itu semua akan terjawab pada Jumaat nanti.
|
Dalam Twitter anda telah mengatakan, senjata telah digunakan untuk menjatuhkan Ariel. Apakah maksudnya?
Jika kepada sesiapa yang ikuti Twitter saya, ayat-ayat saya biasanya memerlukan seseorang itu berfikir. Saya tidak gunakan ayat yang semua orang faham dan ia punya makna tersirat.
Ariel tidak ingin memberi kenyataan kepada media, namun status Twitter anda seolah- olah memberi kenyataan dari situ. Boleh komen?
Bagi saya, biarlah ia menjadi tanda tanya kerana tidak guna saya selalu sangat meluahkan isi hati saya. Biarlah ada sesi khas untuk saya jawab semua persoalan yang ingin diberi kepada saya.
Adakah tindakan undang-undang telah diambil atau masih dalam proses?
ZULHASMI: Belum lagi kerana saya sedang mengkaji kes ini.
Jika kerana ingin promosi telefilem, apakah keperluan untuk membawa peguam bersama Aeril?
AERIL: Saya telah tahu daripada pihak produksi mengatakan ada media yang hadir dan selain itu juga, peguam saya ingin berbincang tentang kes ini. Selepas kes itu, peguam saya memang selalu bersama.
Adakah ia sebagai langkah berhati-hati?
Ya.
Tindakan undang-undang itu untuk siapa dan kenapa?
Itu belum boleh didedahkan lagi.
Adakah Ariel rasa ada pihak yang ingin menjatuhkan anda?
Jatuh bangun manusia semua di tangan Allah dan begitu juga diri saya. Jadi, saya harap kalian semua menghormati promosi saya mengenai telefilem ini.
Adakah Aeril sedar semua perkara ini berpunca daripada diri anda kerana tidak berterus terang tentang perkara ini?
Oleh kerana itulah saya ingin lakukan sidang akhbar (pada Jumaat ini). Bagi saya, sebarang cerita buruk tentang diri saya, itu antara dia dan Tuhan. Jika saya ingin tutup mulut semua orang untuk tidak bercakap tentang saya, itu memang perkara yang mustahil. Terpulang kepada sesiapa yang ingin bercakap tentang saya kerana kelak kebenaran pasti terjawab.
Adakah pada sidang akhbar tersebut kelak, segala persoalan akan dijawab. Atau mungkin pihak media masih akan mendapat jawapan yang tidak pasti?
Memang ia hari untuk diri saya dan Wawa menjawab persoalan kalian semua.
Aeril seperti menggunakan agama untuk melarikan diri daripada disabitkan dengan perkara yang terjadi?
Saya tidak pernah menggunakan istilah agama untuk mempertahankan diri saya daripada perkara ini. Itu memang cara saya bercakap. Begitu juga jika saya bersembang dengan rakan-rakan .
Apabila dituduh tentang sesuatu perkara yang kita lakukan, maka secara semula jadi kita akan menafikan mahupun mengiyakan perkara tersebut. Namun, antara salah satu jawapan tersebut tidak pernah terpacul dari mulut anda. Boleh komen?
Saya akan jawab persoalan tersebut pada Jumaat kelak. Saya sendiri masih dalam keadaan terkejut kerana tidak pernah dikerumuni pihak media seramai ini. Berdiam diri tidak bermakna ia benar atau salah. Saya rasa biarlah saya tenang dan justeru dapat menjawab segala persoalan yang diberi.
Saya juga punya hak untuk berdiam diri. Kelak hari Jumaat, biarlah Wawa juga terangkan tentang dirinya.
ZULHASMI: Kami akan bentangkan kesemuanya pada Jumaat kelak.
Adakah Aeril berjumpa Wawa dan berbincang dengannya tentang kontroversi ini?
AERIL: Dia ada menelefon saya dan beritahu saya ketika cerita ini keluar.
Mengapa Aeril tidak berterus terang dan ceritakan kesemuanya awal-awal. Mengapa perlu menunggu Wawa jika perkara ini tidak benar. Mengapa perlu tunggu lama?
Sidang akhbar tersebut akan direkod untuk kegunaan mahkamah. Oleh kerana itu sidang akhbar diadakan di tempat khas kelak. Apa yang datang dari mulut seseorang itu, akan dijadikan bahan bukti.
SHAHRIMAN: Kami cabar kepada pihak berkenaan, sesiapa yang punya bukti dokumen atau sebagainya pada hari tersebut, sila bawa. Bukan mencabar Aeril tidak bersalah. Ada pihak yang menyusun strategi untuk menjatuhkan mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: