|
SEPERTIMANA janjinya usai meraih kemenangan dalam Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25), Faizal Hussein kini sedang melunaskan kata-katanya.
Terbaharu, bapa kepada dua cahaya mata itu bakal tampil sekali lagi di pawagam bersama buah tangan terbaharu di bawah Metrowealth berjudul Longkai.
Isi padu kata-kata Faizal seolah- olah mahu menyatakan pilihannya untuk membintangi filem Longkai bukan silap percaturan.
"Longkai banyak bermain perasaan. Walaupun nampak watak saya sebagai Bada itu kasar, ganas dan banyak aksi tetapi pada masa sama turut beremosi. Kerana itulah saya menyahut tawaran ini," kata Faizal yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Longkai di Cineleisure e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Menambah usulnya, Faizal memberitahu, setelah lebih 40 tahun bergelumang dalam dunia seni, baru kali ini dia digandingkan bersama Erra Fazira sebagai tunjang utama filem.
"Daripada filem Bunohan, saya mula mengkaji apa lagi yang peminat mahukan daripada Faizal Hussein. Ini kerana dalam filem itu mereka sebenarnya mahu melihat saya beraksi lebih kerap.
"Kerana itu dalam Longkai, saya memainkan peranan hero yang ganas, kurang bercakap, penuh adegan aksi dan perlu bercinta. Siapa yang tidak mahu digandingkan dengan Erra Fazira? Setelah sekian lama akhirnya kami disatukan sebagai pasangan.
"Erra seorang pelakon yang profesional. Apabila sampai di set penggambaran dia sudah pun siap solekan, hafal semua dialognya dan untuk membina hubungan pun tiada masalah.
"Jujur saya cakap, Erra seorang pelakon yang matang," ujarnya yang turut bergandingan dengan pelakon baharu, Niezam Zaidi dalam Longkai.
Watak wanita
Selain itu, kata Faizal, Longkai dibikin khas untuk melihatnya beraksi di layar perak, namun pada masa sama cuba mencari prospek untuk mengimbangi hero lama dan baharu.
"Cara ini saya lihat satu langkah sihat untuk menarik golongan muda kerana tidak semata-mata bercerita tentang diri saya.
"Bekerja dengan pelakon baharu pula tiada masalah bagi saya. Sepan- jang penggambaran saya akan memaksa Niezam Zaidi untuk duduk bersama saya sepanjang masa untuk membina hubungan sebagai adik- beradik," tambah Faizal.
Ditanya kepuasan Faizal beraksi di layar perak atau layar kaca sepanjang tempoh kariernya, apa lagi yang Faizal mahukan selepas ini?
"Saya teringin untuk melakonkan watak wanita! Pernah dahulu saya ditawarkan untuk berlakon watak sebegitu tapi sekadar watak tambahan dan lelaki lembut sahaja.
"Maka, saya ketepikan dulu. Saya simpan niat ini untuk menantikan tawaran sebagai watak utama dan Alhamdulillah saya sudah ditawarkan peluang ini untuk sebuah super telefilem yang akan memulakan penggambaran pada bulan April tahun 2014.
"Menerusi naskhah itu saya akan berlakon sebagai seorang penari hadrah yang popular di negeri Perlis.
"Pada sebelah malam saya akan menjadi wanita dan siang hari akan menjadi lelaki lembut," katanya yang mencabar dirinya untuk melakonkan watak-watak sukar selepas kejayaan filem Bunohan.
Ditanya kenapa memilih untuk melakonkan watak wanita, jawab Faizal berseloroh: "Saya rasa saya kurus dan mesti akan jadi perempuan lawa kalau disolek."
Go with flow
Perjalanan karier anak bongsu pasangan pelakon legenda Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail itu tidak pernah direncanakan langkah demi langkah.
Kata Faizal, kejayaan atau pemilihan watak kini dan selepas ini mengikut aturan Allah dan prinsip azali sebagai seorang manusia yang mahukan sesuatu yang berbeza dalam hidup.
"Saya ikut aliran dan tidak berusaha untuk mencapai apa-apa tapi hanya berpandu pada ketentuan yang sudah Allah tetapkan dan Alhamdulillah ia berlaku sebaik mungkin.
"Dari segi watak untuk berjaya, saya tidak pernah menetapkan untuk menjadi sebegitu atau sebegini," getusnya.
|
Bagaimanapun, kata suami kepada pelakon Suhaila Sulaiman itu, usai kemenangannya pada FFM25, rezekinya dalam dunia seni kian bercambah.
"Saya bersyukur atas kemenangan itu yang telah mengubah banyak susun atur hidup saya dalam dunia seni. Tawaran yang datang lebih banyak dan berlakon watak-watak yang sudah lama saya idamkan, masanya sudah tiba," tambah Faizal.
Atas dasar itu juga, Faizal enggan dirinya dimanipulasi atas ketamakan untuk cemerlang dalam semua bidang.
"Saya mencuba untuk elakkan menjadi yang terbaik dalam semua bidang dan cukuplah sekadar menjadi pelakon yang berjaya dan hanya berlakon, bukannya mengarah atau menerbit.
"Saya takut apabila saya terjun ke bidang lain, ia tidak mampu bertahan lama. Saya tidak mahu tamak dalam semua bidang kerana saya mengejar peningkatan.
"Apa guna jadi produser kalau berlakon pun masih terhuyung-hayang? Saya tidak malu untuk mengaku usia saya kini sudah 46 tahun dan saya mahu buktikan pada peringkat ini saya mampu menjadi seorang hero," simpul kata Faizal kemas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: