Tuesday, October 22, 2013

Tesco realisasikan impian pelanggan

GODLEY (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada lima finalis Pertandingan Sambutan Tergempak anjuran Tesco di Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.


IMPIAN seorang peguam untuk membuka sebuah kedai emas hampir menjadi kenyataan apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Pertandingan Sambutan Tergempak yang dianjurkan oleh Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) baru-baru ini.
Hazirah Mardhiyyah Abd. Haris, 26, dari Kuala Terengganu muncul sebagai pemenang hadiah utama sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000.
Hazirah Mardhiyyah dan empat peserta bertuah lain dipilih sebagai lima finalis dalam pertandingan yang dianjurkan sempena memperkenalkan wajah baharu lapan minuman bikarbonat syarikat Tesco.
Kesemua finalis dipilih berdasarkan slogan dan impian yang ditulis dalam borang penyertaan bagi setiap resit pembelian mana-mana perisa minuman botol bikarbonat 1.5 liter.
Lapan minuman yang diberikan nafas baharu itu terdiri daripada air berperisa Ice Cream Soda, Root B, Citrus, Cola, Sarsi, Oren, Lemon Lime dan Isoplus.
Pertandingan yang bermula pada 20 Jun sehingga 1 September lalu itu berjaya menarik sebanyak 5,000 penyertaan.
Menurut Hazirah Mardhiyyah, kejayaan itu hasil kesungguhannya menelaah risalah-risalah dan melayari internet berkaitan Tesco.

PESERTA pusingan akhir Pertandingan Sambutan Tergempak menentukan mana satu produk Tesco berdasarkan harga yang dinyatakan.


“Sebelum pertandingan, saya membuat persiapan selama dua minggu selain menempuh perjalanan jauh dari Terengganu ke Kuala Lumpur untuk menyertai pertandingan akhir ini.
“Alhamdulillah, segala pergorbanan itu sangat berbaloi apabila saya diumumkan sebagai pemenang hadiah utama. Saya anggap, ia rezeki buat bayi dalam kandungan saya yang kini berusia dua bulan,” katanya ketika ditemui di Tesco Bandar Manjalara, Kepong, Selangor.
Kedai emas
Dalam peraduan itu, Hazirah Mardhiyyah telah menyatakan impiannya untuk membuka sebuah kedai emas.
“Ketika ini, saya bekerja di syarikat guaman ayah. Bagaimanapun, dengan kemenangan ini saya ingin membuka sebuah kedai emas di Kuala Terengganu,” ujarnya.
Dalam pertandingan akhir itu, antara aktiviti yang dilakukan para peserta ialah meneka produk keluaran Tesco dan nilai barangan yang diletakkan di dalam sebuah troli.
Dalam pada itu, empat finalis lain membawa pulang hadiah sagu hati berupa wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang. Mereka ialah Zurina Mohd. Nasiha, Liu Kia Yong, Beatrice Rodrigues dan Ayu Rafikah.

LIMA finalis merasa dua minuman berbeza bagi mengenal pasti air keluaran Tesco.


Sementara itu, Tesco turut memberikan ganjaran bulanan kepada para pelanggan setia iaitu pada Jun, Julai dan Ogos lalu dengan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000.
Pemenang-pemenang berpeluang bercuti ke destinasi menarik seperti Legoland, Johor; Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Redang, Terengganu.
Mereka juga berpeluang melakukan aksi sukan air lasak, payung terjun dan menjadi juruterbang pesawat Cessna 172.
Pengarah Komersial Tesco, Jason Godley berkata, setiap individu berhak untuk mengalami pengalaman yang bermakna dalam kehidupan mereka.
“Semua orang mempunyai impian masing-masing. Jadi, saya berharap hadiah ini, dapat membantu para pelanggan setia kami merealisasikan impian mereka,” katanya.
Tambahnya, hadiah-hadiah itu juga merupakan ucapan terima kasih daripada pihak Tesco atas sokongan para pelanggan setia sejak ia dibuka pada tahun 2002.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: