Monday, October 21, 2013

Hairul, Hanis saling memerlukan



SEBAIK sahaja hubungan dengan pelakon cantik Faralyana berakhir, ternyata juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim pertama, Hairul Azreen seolah-olah tidak menunggu masa yang lama untuk mencari pengganti apabila dikaitkan pula dengan Hanis Zalikha.
Melihat kepada keakraban yang terjalin apabila kedua-duanya selalu berdampingan bersama-sama menjadi bualan ramai terutamanya peminat, sehingga ada yang beranggapan mereka kini sedang dilamun cinta.
Biarpun Hairul, 25, dan Hanis, 23, pernah menafikan tentang percintaan yang terjalin, melihatkan kemesraan sewaktu kedua-duanya menyertai perlawanan paintball baru-baru ini seperti ada satu fasa baharu tentang hubungan akrab mereka.
"Setakat ini saya dan Hanis masih berkawan seperti biasa dan tidak dinafikan yang kami kerap kelihatan berdua. Bagaimanapun, ia tidak bermakna kami ini sedang bercinta.
"Mungkin orang melihat keakraban yang terjalin ini sehingga menimbulkan persepsi sedemikian. Apa yang boleh saya katakan, dia merupakan rakan wanita saya yang paling rapat sekarang ini," ujarnya memulakan bicara apabila diajukan tentang hubungannya dengan Hanis.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai hubungannya dengan Hanis, pelakon berkenaan menyatakan mereka sudah lama mengenali satu sama lain, namun mulai akrab apabila sama-sama berkecimpung dalam industri hiburan.
Ujarnya, secara kebetulan pula mereka lebih akrab sewaktu dirinya putus cinta dengan Faralyana dan ia menjadi antara punca utama yang menyebabkan ramai menyangka dia sudah menemui pengganti.
"Dalam industri hiburan ini saya lebih banyak berkecimpung dalam dunia lakonan, manakala Hanis pula begitu dikenali dalam bidang pengacaraan. Bagaimanapun, saya pernah mendapat tawaran menjadi pengacara dan dia pula kini semakin aktif berlakon.
HANIS melihat Hairul sebagai rakan lelaki yang selalu mengambil berat tentang dirinya.


"Jadi, setiap kali bertemu kami saling berkongsi cerita tentang karier masing-masing, misalnya dia banyak bertanya tentang lakonan dan saya pula akan meminta tips tentang mengacara. Ibaratnya, kami ini seperti saling memerlukan antara satu sama lain," jelasnya.
Berkenaan dengan status dirinya sekarang, Hairul memberitahu, buat masa ini dia masih lagi belum menemui pengganti yang sesuai dan ingin lebih fokus kepada kerjaya lakonannya.
Menurutnya, dia berasa lebih selesa menjalani kehidupan tanpa sebarang komitmen dengan mana-mana wanita, namun bersedia untuk kembali menyemai cinta sekiranya bertemu gadis yang sesuai.
"Selepas ini kalau ditakdirkan saya bercinta lagi, mungkin saya tidak akan bercerita kepada orang ramai. Biarlah kisah cinta saya itu menjadi rahsia peribadi yang tidak perlu dihebahkan.
"Keputusan yang saya buat berdasarkan kepada pengalaman kisah cinta saya yang lalu. Sebelum ini saya memang tidak kisah untuk bercerita, tetapi akhirnya cinta yang terjalin tidak kesampaian," luahnya.
Watak lasak
Siapa sangka di sebalik ramai yang menganggapnya sebagai pelakon lelaki berwajah 'jambu', Hairul sebenarnya bekas atlet taekwando yang pernah beraksi sehingga ke peringkat kebangsaan.
Bagaimanapun, sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan, dia jarang diberi watak lasak sama ada di layar perak atau kaca televisyen, meskipun karier awalnya sebagai pelakon bermula sebagai pelagak ngeri.
"Selama ini orang tidak nampak kemampuan saya untuk membawakan watak-watak lasak. Secara jujurnya saya mengimpikan berlakon dalam drama atau filem aksi, tetapi tidak pernah diberikan peluang.
"Kemudian saya ambil keputusan untuk menyertai rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia. Sebenarnya tujuan saya adalah mahu membuktikan kepada orang ramai yang saya mampu melakukan aksi-aksi lasak," jelas pelakon tersebut yang pernah menjadi pelagak ngeri selama dua tahun.
Ketika ditanya mengenai perancangan tentang karier lakonannya untuk jangka masa panjang, pelakon yang bakal muncul dalam filem aksi berjudul Pak Pong mempunyai sasarannya tersendiri.
"Matlamat saya sekarang adalah mahu merangkul sekurang-kurangnya satu anugerah. Bagi saya anugerah itu penting sebagai bukti pencapaian seseorang dalam bidang yang diceburi," jelasnya.
HAIRUL mahu lebih berhati-hati bercakap soal cinta.


Ambil berat
Sepanjang bergiat aktif dalam industri hiburan tanah air, Hanis Zalikha tidak pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki, kecuali bersama Hairul Azreen lantaran keakraban yang ditonjolkan.
Memberikan jawapan yang sama seperti Hairul berkenaan hubungan mereka, dia menyatakan bahawa pelakon berkenaan seorang insan yang sangat mengambil berat serta sudi menjadi pendengar yang setia sekiranya dia mengalami sebarang masalah.
"Memandangkan hubungan yang akrab ini Hairul selalu menjadi tempat saya mengadu dan dia selalu memberikan nasihat. Selain itu, dia menjadi rujukan saya berkenaan lakonan memandangkan dia lebih senior dalam bidang ini.
"Kalau ada yang beranggapan kami sedang dilamun cinta, sudah tentu ia tidak benar sama sekali. Namun begitu, saya akui dia merupakan antara kawan lelaki saya yang paling rapat," jelasnya.
Tegas Hanis, buat masa sekarang perkataan cinta masih belum ada dalam kamus hidupnya kerana keutamaan buat dirinya sekarang ini lebih kepada kerjayanya yang semakin berkembang.
Rindu lakonan
Selepas dikenali sebagai seorang penulis blog , Hanis kemudiannya terjun ke dalam bidang lakonan menerusi filem sulungnya iaitu Gangster Celop bersama-sama dengan Syamsul Yusof dan Kamal Adli pada tahun lalu.
Selepas itu, dia kerap menjadi pilihan pengarah untuk berlakon dalam drama serta telemovie seperti Memberku Hawa dan Mama Mia. Bagaimanapun, kini kelibatnya di kaca televisyen lebih kepada pengacaraan.
"Sebenarnya saya sedang berehat seketika daripada dunia lakonan kerana mempunyai komitmen lain yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Saya akui saat ini fokus saya terarah kepada menjadi pengacara.
"Namun begitu, jauh di sudut hati saya amat rindu untuk berlakon kerana ia merupakan bidang yang membawa saya ke dalam industri hiburan. Cuma, faktor jadual membataskan saya untuk berlakon buat masa ini," jelasnya.
Menurut Hanis, selain sibuk dengan komitmen terhadap program Akademi Fantasia 2013 yang sedang rancak berlangsung, dia kini terbabit dengan program berbentuk travelog berjudul Pertama Kali.
"Menerusi program berkenaan saya akan pergi menjelajah ke beberapa buah negara seperti Nepal, China, Jepun, Korea Selatan dan Australia. Dengan pembabitan saya dalam kedua-dua program berkenaan, sudah tentu ia membataskan saya untuk aktif berlakon," ujarnya yang bakal kembali aktif dalam dunia lakonan pada awal tahun hadapan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: