Tuesday, October 1, 2013

Teman peribadi musim luruh


DARI kiri: Nazim Othman, Elfira Loy, Soo Wincci, Lisa Surihani, Debbie Goh dan Lawrence Wong antara selebriti jemputan yang hadir pada majlis previu koleksi musim luruh Coach 2013.


CIRI fungsional harian yang disatukan dalam rekaan mewah klasik, moden dan bergaya bersama fabrik kulit bermutu tinggi serta perincian penuh teliti merangkumi sempurna koleksi musim luruh Coach pada tahun ini.
Tiga koleksi utama untuk wanita kali ini memaparkan item menawan daripada Legacy, Saffiano dan Madison. Diinspirasikan daripada rekaan ikonik Coach, termasuk beg tangan Duffle yang masih menjadi pilihan ramai, koleksi Legacy kembali untuk musim luruh kali ini.
Penambahan fabrik kulit baharu dan mewah serta penggunaan rona-rona musim luruh seperti hitam keunguan, ungu terung dan biru gelap (midnight) menghidupkan ciri-ciri moden dan ranggi item-item Legacy.
Ketinggian karakter sebagai wanita yang mengutamakan stail eksklusif akan terserlah apabila anda mendampingi beg-beg elegan daripada koleksi Legacy. Sama ada Mirror Metallic Turnlock Tote atau Liquid Metallic Croc Clutches, anda pasti tampak glamor dengan inspirasi vintaj yang menggunakan material kulit dengan perincian besi (studded).
Anda juga boleh memilih aksesori menarik di bawah koleksi Saffiano. Direka menggunakan material kulit Itali yang berkualiti tinggi bersama tekstur jejaring silang, koleksi ringkas dan bergaya Saffiano menjadikan musim luruh anda lebih praktikal.
Beg Tote Saffiano Leather Medium East-West City yang diberi penegasan baharu menerusi penggunaan blok-blok warna pula menjadikan ia aksesori mudah untuk digayakan secara harian.
Aksesori lelaki
Untuk kaum Adam pula, rangkaian aksesori daripada koleksi Bleecker dan Crosby pasti menyuntik gaya maskulin klasik yang ideal. Musim luruh kali ini, Coach menghamparkan siluet baharu, warna-warna terang, material segar, corak grafik dan ekstra fungsional dalam barangan lelaki berbanding keluaran dulu.
BEG kepit dengan perincian besi menjadi antara item tarikan dalam koleksi baharu ini.


Sesuai untuk musim luruh, koleksi Bleecker ditambah beberapa rona menarik, reka corak dan tekstur bagi mengangkat sentimen mewah seorang jejaka. Material kulit dengan permukaan kasar (pebbled) pada beg Metropolitan, merupakan antara kombinasi sempurna beg Tote Business dan Slim Brief yang dilengkapi beberapa ruang bagi mengisi keperluan harian si jejaka.
Elemen bermusim daripada material sued kembali menerusi Tote Bleecker Suede Traveler. Penggunaan siluet yang bertentangan menawarkan penampilan maskulin yang optimum terutama pada rekaan luarannya yang stailo.
Bleecker Suede Courier juga satu lagi kunci gaya yang mengalami pembaharuan material bermusim, sama pentingnya dengan Bleecker Leather Duffle. Penggunaan rona mahogani dan maskulin menjadikannya sempurna digayakan pada acara hujung minggu.
Koleksi Crosby turut membuat kemunculan semula sempena koleksi musim luruh Coach tahun ini. Aksesori buatan tangan yang tidak terlalu formal dalam koleksi tersebut memperkenalkan elemen unik dari segi fungsi dan perinciannya.
Beg-beg eksklusif seperti Crosby Box Grain Slim Brief, Flap Brief dan Business Tote menampilkan sepenuhnya material premium dengan perincian halus. Paling penting, tekstur yang diterapkan pada setiap item koleksi tersebut mengimbangi ciri fungsi dan gaya.
Sepatu
Selain beg, kaca mata dan aksesori untuk gajet elektronik anda, koleksi musim luruh Coach juga memaparkan barisan sepatu mewah buat wanita moden. Kasut but menjadi signatur untuk musim ini memandangkan cuaca yang agak sejuk terutamanya di negara-negara empat musim.
Ciri feminin masih dapat diserlahkan apabila anda menyarungkan but Udell yang direka dengan tapak tumit tinggi. Namun untuk keselesaan berpanjangan, pilih but Lilac yang klasik dan bertapak rata atau Laurinda yang merupakan item wajib untuk dimiliki pada musim luruh kali ini.
Untuk maklumat lebih jelas berkenaan koleksi musim luruh 2013 Coach, layari laman web www.coach.com atau kunjungi sendiri butik-butik Coach di seluruh negara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: