|
TUDUNG atau selendang sewajarnya menjadi sebahagian daripada pakaian wanita yang paling mudah digayakan. Dahulu, kaum Hawa jarang menekankan keutamaan fesyen tudung. Namun sejak gelombang fesyen Muslimah melanda negara ini, penggunaannya mula dipelbagaikan.
Terdapat variasi tudung dan sebai (shawl) kini ditawarkan kepada wanita Muslimah. Bagaimanapun kebanyakannya terarah kepada tudung moden yang boleh digayakan menerusi teknik ikatan yang berbeza. Adakalanya, fesyen tudung yang terlalu sarat menenggelamkan fungsi utama item yang bertujuan untuk menutup aurat wanita.
Remaja perempuan khususnya, mudah tertarik kepada penggayaan tudung berlapis sehingga ia kelihatan berserabut dan terlalu mencuba. Tidak salah untuk bereksperimen dan mengikut trend terkini tetapi keutamaan menutup aurat masih perlu didahulukan.
Rekaan
Atas faktor itu, Farrah Fathma Saari, 31, mewujudkan FathmasariDeHijabista. Jenama yang baru bertapak kira-kira tiga bulan itu mengetengahkan tudung dan sebai moden yang sederhana rekaannya malah menepati syariat agama.
“Setakat ini kami mempunyai tiga jenis tudung dan sebai iaitu Lunin Hijab, Mia Lunin Hijab dan Sofhea. Lunin Hijab mempunyai dua bahagian (two sided) dengan dua warna yang berbeza.
|
“Kami banyak bermain dengan blok warna yang kini menjadi kegilaan ramai. Tudung jenis ini mempunyai rekaan polos tanpa sebarang motif atau cetakan,” jelas Farrah ketika ditemui Stailo.
Bagi membentuk penampilan Muslimah klasik dan sopan, anda boleh menambah anak tudung atau inner bagi menutup penuh rambut. Wanita moden yang mahu sentuhan urban pula boleh menggayakan Lunin Hijab tanpa anak tudung. Ia sesuai disatukan dengan apa jua jenis pakaian untuk acara yang berbeza.
Tidak lupa, satu lagi item keluaran FathmasariDeHijabista iaitu Mia Lunin Hijab. Rekaannya menyerupai Lunin Hijab cuma ia lebih panjang dan hanya mempunyai satu bahagian (one sided).
Percikan motif flora dan cetakan comel pada sebai Sofhea pula pasti menarik minat mereka yang berkarakter ceria. Didatangkan dalam satu saiz, anda boleh memilih sama ada mahu membentuk sebai tersebut seperti tudung atau tampil elegan dengan menukarnya kepada turban.
“Kami banyak menggunakan sifon sebagai material utama dan kesemua rekaan kami disasarkan untuk wanita berumur 20 tahun ke atas termasuk kelompok pelajar,” ujar Farrah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: