![]() |
BERPELUANG bermalam di rumah bot Raflesia Cruze di Tasik Temenggor, Gerik, Perak merupakan pengalaman pertama yang manis bagi David Ong Yeoh, 48.
Bagi penggemar aktiviti menyelam skuba itu, rumah bot mempunyai kemudahan yang seakan-akan sama seperti menginap di calet yang menempatkan penyelam-penyelam sebelum turun ke laut.
Kemudahan asas seperti tandas, penyediaan makanan dan tempat tidur yang ringkas ternyata sudah memadai untuk Ong Yeoh sepanjang penginapan tiga hari dua malam di rumah bot itu.
Namun baginya, bermalam di rumah bot ternyata memberi perspektif berbeza mengenai penginapan untuk pelancongan di negara ini.
Perjalanan rumah bot selama satu jam setengah ke lokasi berdekatan hutan Taman Negeri Royal Belum merupakan antara pengalaman menarik yang dilalui oleh setiap pelancong.
Dengan kadar kelajuan 10 kilometer sejam, pergerakan rumah bot dari Pulau Banding ke kawasan berdekatan hutan itu memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati keindahan alam semula jadi di darat.
“Sebelum ini, saya tidak pernah tahu ada penginapan yang membawa pelancong bergerak ke satu destinasi. Rumah bot akan diletakkan di satu kawasan dan pelancong akan dibawa dengan menaiki bot untuk meneroka kawasan sekitar Taman Negeri Royal Belum,” ujar perunding perhubungan awam di sebuah syarikat swasta di ibu kota.
Sungguhpun Raflesia Cruze menyediakan lima bilik tidur yang menempatkan tiga orang di setiap bilik dan tambahan 20 tilam untuk para tetamu, Ong Yeoh memilih untuk tidur di pelantar di tingkat dua dengan beralaskan beg tidur.

SELAIN katil, Raflesia Cruze turut menyediakan 20 tilam untuk keselesaan tetamu.
Suasana
Rumah bot yang diletakkan bersebelahan hutan Royal Belum memberikan suasana dingin dan nyaman terutama pada waktu pagi.
Berbeza dengan penginapan di calet tepi laut yang berombak, rumah bot tidak banyak bergerak dan beralun kerana ia diikat dengan tali di kawasan tebing tasik.
“Saya merupakan penggemar aktiviti eko pelancongan. Pakej yang ditawarkan oleh rumah bot Raflesia Cruze bukan sekadar bermalam semata-mata. Aktiviti merentas hutan Royal Belum dan melihat ikan kelah di Kawasan Perlindungan Sungai Ruok merupakan antara pengalaman menarik sepanjang saya berada di sini.
“Sebelum ke sini, saya tidak mendapat pendedahan mengenai penginapan rumah bot. Bagi saya, ia amat sesuai untuk mereka yang datang secara berkumpulan untuk meneroka alam semula jadi yang terdapat di daerah Grik ini,” ujarnya yang berpeluang ke Tasik Temenggor baru-baru ini atas urusan kerja.
Kaki pancing
Raflesia Cruze merupakan salah satu penginapan rumah bot yang dikendalikan oleh syarikat Banding Crew Nine di Tasik Banding yang membawa pelancong bermalam di sekitar tasik kedua terbesar di Malaysia itu.
Pemilik Raflesia Cruze, Solaudin Ali Othman, 46, memberitahu, warga tempatan dan pelancong asing yang datang secara berkumpulan merupakan antara pelanggan utamanya.
Menurutnya, kebanyakan pelancong terdiri daripada kaki pancing yang datang untuk memancing ikan toman, sebarau dan baung yang hanya boleh dipancing di muara Tasik Temenggor.
“Kaki pancing hanya akan bermalam di rumah bot kerana bilik yang disediakan menepati cita rasa mereka. Saya juga menyediakan bot laju untuk membawa mereka ke bahagian muara tasik,” ujarnya yang merupakan salah seorang ahli Persatuan Pengusaha Pelancongan Tasik Temenggor.

PENGUSAHA rumah bot juga membawa pelancong ke santuari ikan kelah Sungai Ruok untuk aktiviti riadah.
Rumah bot dibina dengan kos sebanyak RM130,000 itu mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelancong sepanjang tahun terutama pada musim cuti persekolahan.
Krew rumah bot Raflesia Cruze terdiri daripada dua tukang masak, dua orang yang mengendalikan rumah bot dan tiga orang yang membawa pelancong menaiki bot laju untuk aktiviti di sekitar Tasik Temenggor dan hutan Royal Belum.
Selain menawarkan penginapan dan aktiviti memancing, Raflesia Cruze juga menyediakan pakej-pakej seperti melawat perkampungan Orang Asli Jahai di Sungai Tiang, merentas hutan Royal Belum, berakit di Tasik Temenggor dan beriadah di santuari ikan kelah Sungai Ruok.
Selain itu, pelancong juga akan dibawa untuk melihat tiga jenis bunga pakma iaitu Azlanii, Cantleyi dan Kerii yang tumbuh segar di kawasan lereng bukit berdekatan dengan air terjun di Taman Negeri Royal Belum
Dua pakej penginapan di rumah bot Raflesia Cruze iaitu dua hari satu malam berharga RM350 seorang. Pakej tiga hari dua malam pula berharga RM430 seorang.
“Pakej yang ditawarkan hanya untuk penginapan. Setiap tempahan merangkumi 10 hingga 25 tetamu bagi satu rumah bot dua tingkat ini. Namun demikian, harga aktiviti lain tidak termasuk dalam pakej yang dinyatakan,” ujarnya yang berasal dari Kampung Kerunai, Gerik.
Keselamatan
Bagi bapa kepada lapan orang cahaya mata itu, pengalamannya menangkap ikan di sekitar Tasik Temenggor sejak 27 tahun lalu memberikan pengetahuan yang luas mengenai selok-belok dan pasang surut air di kawasan tasik seluas 37,560 ekar itu.
Pihak pengurusan Raflesia Cruze menjaga keselamatan pelancong dengan sebaik mungkin sepanjang mereka menginap di rumah bot.
“Keseluruhan kawasan tasik ini tiada liputan telekomunikasi. Pengusaha-pengusaha rumah bot di sini menggunakan walkie-talkie untuk berkomunikasi dengan krew kami di Pulau Banding. 
PELANCONG boleh memancing ikan dari atas rumah bot di muara Tasik Temenggor.
Sekiranya ada pelancong yang sakit atau kecemasan, kami akan segera menghantar mereka ke Pulau Banding untuk rawatan lanjut.
“Pelancong juga tidak perlu khuatir mengenai struktur binaan rumah bot. Tiada kejadian seperti rumah bot tenggelam atau karam di tasik ini kerana pembuatannya amat kukuh,” jelasnya.
Sementara itu, pengusaha rumah bot Sahabat Alam, Zulkarnain Harith, 48, memberitahu jadual tempahan pelancong untuk menginap di rumah bot miliknya sudah penuh sehingga ke penghujung tahun ini.
“Pelancong terutamanya kaki pancing datang menginap di sini berulang kali. Badan bukan kerajaan dan pelajar-pelajar universiti juga gemar mengadakan aktiviti di sini,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai penentuan arah kiblat di rumah bot, Zulkarnain memberitahu, pihak Sahabat Alam mempunyai Sistem Penentu Kedudukan Global dan kompas di rumah bot untuk kemudahan para pelancong.
“Sekiranya hari masih siang, pelancong dapat melihat arah matahari terbenam dengan jelas di Tasik Temenggor. Itu merupakan salah satu kaedah untuk menentukan arah kiblat sepanjang berada di tasik ini,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: