![]()
MODEL TRD turut ditawarkan kepada mereka yang mahu sebuah jentera sporty.
|
DENGAN tagline “Nilai Melangkaui Kebiasaan”, sedan segmen B ini dilihat cuba untuk tampil berbeza. Selepas sukses selama sepuluh tahun, Toyota Vios kini sekali lagi mengujakan pengguna Malaysia menerusi generasi ketiganya.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2003, Vios sememangnya berjaya mencipta gelombang populariti sehingga sekarang.
Walaupun menerima kritikan keras kerana perkadaran rekaan luaran yang secara pandangan kasarnya nampak seperti tidak seimbang, Vios tetap mampu mencatat jualan beribu-ribu unit sebulan tanpa sebarang masalah.

ISMET (dua dari kiri) bersama barisan pengurusan atasan Toyota Motor Corporation, Jepun dan UMW Toyota Motor pada majlis pelancaran Toyota Vios di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kejayaan itu nampaknya mula hendak diulangi oleh model terbaharu ini. Sejak dibuka pada 1 Julai lalu, UMW Toyota Motor telah menerima sebanyak 8,000 unit tempahan.
Justeru, tidak hairanlah jika UMW Toyota Motor optimis dan meletakkan sasaran jualan Vios baharu sekitar 36,000 unit pada tahun depan.
Purata jualan Vios sebelum ini cukup konsisten, hampir 30,000 unit setahun. Kenapa Vios boleh jadi begitu popular? Selain kekuatan jenama Toyota, nilai-nilai yang dibawa oleh Vios seperti penjimatan bahan api dan boleh dipercayai menjadi antara faktor utama pengguna Malaysia cukup berminat untuk memilikinya.
“Vios menjadi model Toyota paling laris bagi segmen kenderaan penumpang kecil bukan nasional. Enam daripada sepuluh pembeli di Malaysia bagi segmen berkenaan memilih Vios. Sehingga Ogos tahun ini, jumlah jualan Vios mencecah angka hampir 265,000 unit,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki.
Vios dipasang di kilang milik UMW Toyota Motor iaitu Assembly Services Sdn. Bhd. (ASSB) di Shah Alam, Selangor sejak 2003. Ini model yang amat penting. Buktinya sehingga kini, UMW Toyota Motor telah melabur sebanyak RM600 juta melibatkan pembelian peralatan berteknologi tinggi. Selain melaksanakan penambahbaikan terhadap proses pengeluaran kilang secara keseluruhannya.
Untuk makluman, UMW Toyota Motor merupakan satu-satunya pengeluar kenderaan bukan nasional yang memiliki kemudahan cetak badan kenderaan (body stamping) yang lengkap di Malaysia.
Malah, kandungan alat ganti tempatan bagi Vios juga telah ditingkatkan menjadi 50 peratus. Langkah peningkatan itu dibuat sebagai sokongan UMW Toyota Motor terhadap usaha kerajaan mempromosikan penggunaan sumber tempatan dalam industri pembuatan kereta.

SISTEM penentu kedudukan global membantu anda sampai ke destinasi yang dituju dengan lebih tepat.
Ismet turut menyatakan bahawa pihaknya sentiasa mendengar maklum balas para pelanggan Toyota. Selain cuba sedaya upaya untuk memenuhi ekspektasi mereka. Usaha itu nyata berbaloi apabole Toyota menduduki tempat pertama dalam Indeks Kepuasan Pelanggan dalam kaji selidik JD Power baru-baru ini.
Vios ditawarkan dalam lima varian iaitu 1.5J (MT), 1.5 J (AT), 1.5E, 1.5G dan 1.5 TRD Sportivo. Menurut UMW Toyota Motor, Vios 1.5J tidak mengalami sebarang kenaikan harga. Sementara varian-varian lain hanya menerima penyelarasan harga minimum. Harga Vios bermula dari RM73,200 hingga RM93,200 seunit.
Perubahan paling ketara pada Vios pastinya penampilan luaran yang kini kelihatan lebih dinamik dan berani. Bahagian hadapannya memiliki reka bentuk tiga dimensi (3D) dengan gril berbentuk trapezoidal. Rupa itu disempurnakan dengan sepasang lampu utama yang nipis. Ia seolah-seolah bersambung dengan gril bar berwarna krom.
Anda pasti gembira kerana lampu belakang Vios kini sudah ditukar. Ia lebih lebar dan bentuknya dapat diselarikan dengan bampar belakang dengan harmoni. Bagi meningkatkan aspek aerodinamik, Vios menggunakan bumbung berbentuk Catamaran yang membantu melancarkan aliran udara.

SUSUN atur ruangan dalaman telah ditingkatkan agar kelihatan lebih mewah.
Selain rekaan cermin sisi yang lebih aerodinamik, sirip penstabil aero turut dipasang bagi menghasilkan voltis (pusaran) udara di bahagian tepi kenderaan. Pusaran udara itu berfungsi menstabilkan postur kereta ketika dipandu pada kelajuan tinggi.
Kestabilan Vios juga banyak dibantu oleh suspensi topang MacPherson L-arm bebas pada roda hadapan dan jenis torsion beam untuk roda belakang.
Ruang kabin Vios telah direka sepenuhnya bagi menawarkan rasa mewah kepada pemiliknya. Walaupun tapak rodanya tidak berubah, tetapi ruang bahagian kepala, bahu dan kaki telah ditingkatkan.
Sesiapa sahaja pasti menghargai rekaan konsol tengah yang kini lebih menyerlah. Terdapat dua versi sistem audio yang ditawarkan, bergantung kepada varian yang anda pilih. Varian juga dibezakan oleh warna ruang kabin iaitu beige, hitam dan kelabu. Vios mencipta sedikit kelainan pada kabinnya apabila panel instrumen, kemasan pintu dan sterengnya dibalut dengan rekaan jahitan.
Perubahan paling besar adalah apabila meter klusternya yang sebelum ini diletakkan di bahagian tengah kini kembali berada di hadapan pemandu. Menurut Timbalan Ketua Jurutera Vios baharu, Takatomo Suzuki, perubahan posisi itu dibuat bagi menjadikan pemanduan Vios lebih sporty.

VIOS masih mengekalkan rangkaian kuasa bersesaran 1.5 liter.
Biarpun semua nampak seperti baharu, Vios sebenarnya masih kekal menggunakan enjin lama yang dipasang pada model sebelum ini. Toyota mendakwa enjin empat silinder 16 injap, DOHC dengan VVT-I bersesaran 1.5 liter itu masih mampu memenuhi keperluan penggunanya.
Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan Super ECT yang menjanjikan perjalanan lancar, atau transmisi manual lima kelajuan.
Tidak seperti dahulu, Vios kini terpaksa bersaing dengan banyak produk yang tidak kurang hebatnya dari segi nilai. Jadi, adakah Vios mampu berjaya seperti dua generasi sebelum ini, sama-sama kita lihat nanti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: