Sunday, October 13, 2013

Pengorbanan saya tidak sebesar mana - Alyah


DALAM proses hendak melebarkan sayap bisnes, Alyah akan mengedarkan jenama fesyen muslimah Gaya Alyah menerusi Eiliya Boutique secara online.


SESIAPAPUN tidak dapat menandingi ketaatan Nabi Ibrahim AS terhadap perintah Allah SWT walaupun anaknya menjadi korban. Sejarah ibadah korban itu sehingga kini diingati oleh seluruh umat Islam sebaik masuk tarikh 10 Zulhijjah. Sedar ibadah itu bukan sekadar perayaan yang disambut meriah, selebriti Alyah mempunyai definisi tersendiri.
Jauh lagi untuk sampai ke tahap muslimah sempurna, hari-hari yang dilalui dengan berhijab sejak April lalu itu sebenarnya membawa impak besar kepada seluruh corak hidupnya.
"Jika hendak dikaitkan dengan pengorbanan, soal hijab ini soal pengorbanan antara saya dengan-Nya yang maha Esa. Saya tidak mahu bercakap lebih soal itu. Saya bercita-cita mahu menjadi orang yang lebih baik dan biarlah proses itu tidak datang sekali gus," ujarnya yang mengerti makna korban dalam konteks lebih luas.
"Sebagai seorang wanita yang dikenali sebagai Alyah, saya juga juga mempunyai acuan sendiri, sebagai hamba Allah, kita lakukan yang terbaik namun jika tidak kesampaian juga, kita kena reda. Begitu juga dalam soal hati, perhubungan dan bisnes yang dilakukan. Saya terima ketentuan hidup yang tekah ditentukan dan tertulis untuk saya, apa yang saya lalui ini tidak seteruk sebagaimana pengorbanan yang dilalui orang-orang terdahulu," katanya yang lebih banyak berhati-hati mengutuskan soal hati dan perasaan sejak akhir-akhir ini.
Menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut Selasa nanti, hatinya diusik tentang kerinduan dan penyerahan diri buat Ilahi.
"Saya terdetik rasa rindu untuk ke Mekah lagi. Selama ini, sudah dua kali saya berpuasa Ramadan di Mekah. Sekarang saya menanam impian untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di Mekah, saya mahu tunai haji. Itu doa saya dan harap memperoleh kesempatan dan dipermudahkan jalan," katanya yang hanya bercuti dua hari untuk menjenguk ibu di Johor Bahru, Johor menjelang hari raya nanti.
Bercakap tentang perkembangan terbaharunya, Alyah yang meminjamkan sedikit pengaruhnya ke dalam lagu Pengakuan yang menjadi single sulung kumpulan Tiga, menyifatkan hal itu sebagai satu kejutan dalam kariernya. Sebagai penyanyi, Alyah tidak pernah terfikir lagu yang pernah dicipta 13 tahun lalu akan digubah semula dan menjadi salam pengenalan kepada Tiga, sebuah kumpulan vokal harmoni itu.
"Saya cipta lagu Pengakuan itu semasa mula-mula bersama dengan kumpulan Recall. Dahulu kami punya semangat yang berkobar-kobar untuk jadi penyanyi berkumpulan, tapi tiada rezeki dan Recall terpaksa berpecah. Ketika itu saya masih tercari-cari arah. Tiba-tiba Arween, rakan seangkatan saya semasa bersama Recall hubungi saya untuk dapat keizinan guna lagu berkenaan.
"Mereka sangat bersungguh-sungguh dan saya sangat terharu dengan keyakinan dan kesungguhan mereka itu. Bagi saya, lagu itu tidak sampai piawaian sebagai lagu yang bagus, tetapi setelah diberi nafas dan susunan muzik yang baharu ia jadi segar. Ia menarik dan sesuai dengan konsep kumpulan dan muzik Tiga," katanya yang baru-baru ini menyaksikan majlis pelancaran single berkenaan di samping memperkenalkan Tiga sebagai kumpulan baharu dalam industri muzik.
Lega berkongsi inspirasi bersama Tiga yang dianggotai oleh Arween, Alfie, Maya dan Zack, Alyah sendiri sedang menantikan kehadiran cinta baharu yang ditunggu-tunggu sejak dua tahun lalu.
"Judulnya Ada Cinta, ia sebuah lagu ciptaan Manusia Putih dan lirik oleh Budi Hekayat dan rasanya lagu itu memang sangat kena dengan situasi saya. Rasanya, single itu boleh pergi sejauh Kisah Hati dan Tak Mungkin Kerana Sayang. Sekarang kami masih menentukan konsep dan lokasi untuk penggambaran klip video dan pelancarannya akan dilakukan awal tahun depan. Tak sabar pula rasanya sebab sudah lama saya tiada sebuah single yang betul-betul dipromosikan," beritahu Alyah yang dalam proses merealisasikan sebuah showcase pertamanya di Johor Bahru pada awal tahun depan.
"Buat masa ini kami bergerak sendiri untuk memastikan rancangan itu berjaya, jika ada sokongan mana-mana pihak, saya berhasrat untuk mengadakan sebuah showcase ke Kuala Lumpur. Tiga belas tahun dalam industri dan hanya enam tahun kebelakangan ini saja dikenali, rasanya saya sudah punya kekuatan dan cukup material untuk tampil dengan sebuah mini konsert," Alyah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: