Sunday, October 13, 2013

Antara jiwa dan teknikal

DARI KIRI: Tam Spider, Nomad, Andy Flop Poppy dan Daniel Loka berkongsi harapan dan pengalaman dalam lapang sasar yang sama.


MENGHIMPUNKAN dua generasi dalam satu pemidang gambar untuk kali ini ada tujuannya. Bila dua waktu bertemu, mereka berkata-kata tentang perbezaan dan persamaan yang dirasai pada zaman masing-masing. Tam vokalis Spider manakala Andy orang depan Flop Poppy dan The Malayan bercakap dari zaman generasi kedua.
Begitu juga Nomad dan Daniel vokalis Loka yang menuntut bicara menurut perspektif mereka, generasi keempat dalam sejarah hirarki grup muzik Malaysia.
Bukan setakat itu sahaja, Tam merupakan produser bagi lagu hits Nomad kini Tetap Menantimu manakala Andy bukan sahaja ayah namun juga mentor kepada anaknya Daniel yang baru melangkahkah kaki sendiri ke industri muzik.
Meletakkan mereka dalam satu sidang temu, topik kualiti, kuantiti, perjalanan karier malah perbezaan zaman diangkat sebagai bahan percakapan. Melalui sembang-sembang petang beralas kopi dan pisang panas, mereka bertukar pendapat yang melibatkan industri muzik tempatan, tentang zaman analog dan digital.
Merujuk masuk ke dalam permasalahan yang menempa industri, di mana sekarang anak-anak muda terutama grup susah mendapat penawaran panggung apatah lagi dengan jumlah ramai yang pernah dikutip grup-grup besar seperti Search, Wings, Sweet Charity atau di zaman-zaman Spider atau Flop Poppy. Makin lama makin kedengaran keluhan tiada tawaran pentas mahu pun penonton yang cukup membanggakan untuk sebuah persembahan.
Jangan perasan
"Grup baharu jangan perasan rugged," satu pernyataan yang tampak keras tetapi jujur keluar lembut daripada mulut Andy yang merupakan vokalis beberapa grup serta pemain bass.
"Kalau melihat pergerakan pasaran sekarang, grup generasi kami masih mendapat permintaan untuk membuat persembahan, malah tidak berhenti," ulas Andy merujuk kepada grup seperti Flop Poppy, Subculture, Spider sebagai grup generasi kedua.
"Jujur cakap, grup baharu memang banyak keluarkan produk tetapi kurang menyengat. Tetapi jangan berhenti untuk mengeluarkan produk," nasihat Andy umpama seorang abang dalam famili muzik.
Apa yang penting kata Andy, pengeluaran perlu mengikut akar muzik Malaysia. Walau diasak modenisasi dan mengikut aliran sezaman namun jangan dilupakan akar yang mencengkam bumi.
"Sebenarnya tidak ada jurang yang besar antara generasi terdahulu dan baharu. Kami boleh main lagu-lagu seperti The Killers namun dalam masa yang sama peminat baharu melihat perjalanan kami. Untungnya generasi kami ialah kami dapat memainkan lagu-lagu 1980-an dan dalam masa yang sama bergerak ke hadapan," ulasnya.
"Generasi kami dan sebelumnya punya peminat setia yang membeli produk fizikal serta merchandise. Variasi grup dahulu membuatkan masing-masing ada kekuatan tersendiri. Grup atau penyanyi baharu kena cari identiti sebenar," tambah Andy.
"Budak sekarang banyak teknikal daripada jiwa," tambahnya.
"Pemuzik atau penyanyi kena tanya apa yang mereka mahukan. Perkara yang penting ialah cari orang yang betul untuk dirujuk. Cari orang yang berada dalam arena. Penting untuk ada idea dan semangat," kata Andy.
"Cuba ingat balik, dahulu satu grup boleh main 45 minit dalam satu gig. Cuma lima grup tetapi kini lambakan sampai 20 grup dalam satu persembahan. Lagu pun boleh bawa beberapa, tak sempat nak 'panas' panggung," katanya.
Rasa pengalaman studio
Tegas Tam di awal bicaranya, segala yang dikongsi bukan bermaksud untuk memberi komentar keras kepada generasi digital tetapi sekadar berkongsi.
"Saya rasa anak muda sekarang perlu rasa pengalaman bekerja di studio sebenar. Merasai suasana rakaman dan lihat perjalanan itu. Kalau kita lihat sekarang, banyak yang buat studio di rumah dan bekerja sendiri, suasana itu lain," ulasnya yang membesar di Studio Ronggeng, Luncai Emas.
"Penyanyi baharu perlu cemerlang untuk bersaing. Kadangkala faham sahaja tidak mencukupi kalau tidak ada ilmu yang cukup serta rasa. Kena tahu asal usul muzik serta budaya sendiri. Bagi saya, pemuzik atau penyanyi baharu kena banyak mentelaah. Sedih juga ada yang tidak mahu bercampur dengan senior. Mungkin mereka malu, itu saya faham. Tetapi kalau dapat bercampur maka dapatlah berkongsi informasi dan pengalaman. Tanya apa yang perlu dan kalau boleh sentiasa minta pendapat kedua atau ketiga daripada pakar-pakar," pendapat Tam diberikan satu persatu.
Melihat kepada bakat baharu yang banyak muncul di persada seni tanah air, Tam melihat dari mata produser dan peneliti bahawa mereka ini ada bakat yang bagus. Cuma kadangkala cara mereka tersasar dan bagi vokalis Spider ini yang penting jangan salah guna kelebihan yang ada.
"Harus diingat bahawa suka dan mampu adalah dua perkara yang berbeza. Jangan ingat bila kita ada komputer riba, sudah cukup untuk buat lagu. Itu kesilapan besar. Kena tahu bahawa tugas produser sangat penting tetapi sekarang ramai yang tak tahu malah tak rasa satu keperluan. Grup antarabangsa pun masih guna produser," tegas Tam.
Sambung Tam penuh nasihat, jangan hanya dengan satu klik di depan komputer ramai yang sudah berasa pandai.
"Pengetahuan penting, juga pengalaman. Kita kena tukar persepsi yang menyatakan muzik tidak menjanjikan masa hadapan. Walhal di belakang dunia muzik terdapat banyak pekerjaan yang serius dan profesional," tegasnya .
Budak baru belajar
Bercerita tentang pengalaman studio, Nomad mendakwa, dia masih cuba menguasai ilmu studio. Awalnya dia menyangkakan semuanya berjalan mudah namun masuk dalam suasana realiti ketika merakamkan lagu Tetap Menantimu dan menatap Tam sebagai penerbit, dia tahu untuk berpijak di dunia nyata.
"Dunia rakaman sangat susah tetapi Tam banyak mengajar saya. Begitu juga bila berada di pentas, saya dipukul dengan panik yang hebat. Ini kerana penonton mahu dengar lagu tersebut sama seperti yang mereka dengar di radio. Itu menghantui saya secara psikologi," cerita Nomad.
Masuk ke jalur sebenar dunia muzik, Nomad melahirkan rasa sedih melihat kepada kurangnya sokongan terhadap pembelian album secara fizikal. Luahnya dia bangga melihat penjualan yang ditempa grup generasi lama.
"Melangkah masuk ke dalam industri, baru saya tahu permainannya. Baru saya tahu arah tuju sebagai penyanyi. Bagi saya, khidmat seorang produser itu sangat penting dalam pembikinan muzik. Mereka ini golongan profesional. Bila saya jumpa Tam, dia banyak melakukan eksplorasi terhadap bakat saya dan baru saya tahu saya berkemampuan menyanyikan lagu balada," luah jejaka berumur 25 tahun ini.
"Saya juga belajar daripada para senior bahawa jangan hanya target mahu jadi penyanyi tetapi penghibur dan insan yang cemerlang dalam industri. Kita kena jadi diri sendiri dan jujur," senyum pemilik nama Nur Mohd. Alieef Ayub ini.
Sudah muncul dengan klip video single perdananya yang kini dapat disaksikan di laman YouTube, Nomad menanam satu lagi pelajaran dalam dirinya. Tentang kepentingan para pemuzik yang banyak membantu dalam proses rakaman sesebuah lagu.
"Kadangkala orang lepas pandang pada para pemuzik yang berada di belakang sesebuah lagu. Mereka ini banyak membantu dan sebenarnya yang menghasilkan warna dalam sesebuah lagu," usai Nomad berbicara.
Daniel tonton dari kecil
Sementara itu, anak sulung Andy, Megat Daniel mengaku dihimpit rasa cemburu apabila melihat perjalanan dan laluan grup generasi 'babah'nya.
"Grup dahulu bersatu tapi zaman sekarang sudah kurang. Saya cemburu melihat keakraban kumpulan dahulu. Mereka tidak malu dan kekok berkongsi cerita. Saya melihat ini dari kecil sewaktu mengikut babah ke studio atau persembahan. Budak sekarang lebih banyak hujah daripada bersatu," luahnya dalam nada kecewa.
Melihat daripada aspek kreativiti, Daniel menyanjungi pemuzik dahulu yang sentiasa menyokong pergerakan masing-masing dan punya identiti yang kuat dalam bermuzik.
"Saya mahu belajar daripada senior-senior ini tentang penulisan lagu. Bagaimana mereka menghasilkan lagu yang berkualiti. Ada rasa," luahnya yang kagum dengan lagu-lagu para pemuzik dan komposer terdahulu.
Memegang status penyanyi Loka dan gitaris The Malayan, Daniel mengaku melakukan pemerhatian terhadap proses rakaman pemuzik senior. Semua ini kemudian disatukan dengan percubaan dirinya belajar dan memahami muzik mengikut naluri dan minatnya.
"Jangan ingat kerana saya anak Andy jadi jalan saya senang. Tidak. Babah tidak bagi muka, dia mahu saya belajar dan melihat sendiri segalanya untuk jadi pengalaman berharga. Untungnya kerana saya dikelilingi oleh pemuzik senior, kawan-kawan babah yang profesional dan serius dalam bidang muzik," senyum vokalis Loka yang kini terkenal dengan lagu Jangan Pergi.
"Saya memang mahu belajar tentang pembikinan profesional sesebuah produk lagu. Daripada aspek kreatif sehingga penyusunan dan bunyian. Semua ini saya perolehi daripada studio. Kena banyak bertanya kepada yang pakar dan bukan hanya belajar sendiri," ucap jejaka berumur 21 tahun itu.
Tambahnya lagi dia merasakan bahawa grup sekarang memerlukan banyak bimbingan daripada pakar dan senior terutamanya dalam meletakkan jiwa ke dalam lagu hingga menumbuhkan identiti sesebuah grup atau penyanyi itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: