Friday, October 11, 2013

Nad bukti diri tidak jahil



LUMRAH menjadi seorang selebriti apabila kehidupan peribadi tidak lagi menjadi privasi, sebaliknya perlu dikongsi dengan peminat mereka.
Perihal mengenai kekasih, bercinta malah berkahwin biarpun pada hakikatnya payah untuk dikongsikan selebriti tersebut. Namun, itulah hakikat yang perlu dihadapi mereka selepas mengambil keputusan untuk melangkah ke dunia glamor.
Perkara yang sama turut dialami pelakon kecil molek, Nad Zainal. Biarpun pada mulanya kehadirannya bersih daripada sebarang kontroversi, namun sejak kebelakangan ini nama Nad acap kali disebut-sebut seiring dengan lakonan-lakonannya yang mula mendapat perhatian peminat.
Ini terutamanya selepas berlakon dalam drama bersiri Bukan Bidadari dan juga Kampung Girl.
Bermula isu diboikot segelintir wartawan kerana sukar memberi kerjasama apabila perihal peribadi dicungkil. Nad kemudiannya berdepan pula dengan isu bersekedudukan dengan teman lelakinya, Azman Kombos selain meninggalkan lokasi penggambaran kerana enggan berlakon bersama bekas kekasih iaitu Amar Ashraf yang kini sudah bergelar suami kepada suri hatinya, Arna Salleh.
Mengulas mengenai perkara itu, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin mengakui, sebagai selebriti yang sedang meningkat naik, soalan ruji mengenai kontroversi yang melanda dirinya perlu dihadapi dan dijawab olehnya.
"Sebagai selebriti saya perlu menghadapi segala kontroversi yang melanda. Saya kena menghadapinya untuk memberi jawapan sebenar," jelasnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur bersama pelakon Shah Iskandar dan Ika Nabila untuk drama terbaharu mereka, Seindah Sabarmu bagi siaran TV9 .
Menyambung bicara, pelakon berusia 23 tahun itu menegaskan tidak pernah bersekedudukan dengan teman lelakinya. Hakikatnya, Azman sekadar menghantarnya pulang selepas menjalani penggambaran sehingga lewat malam.
Atas alasan melihat kelibat Azwan menghantar Nad lewat malam ke rumah, pasangan itu dituduh bersekedudukan.
"Padahal, saya bukan tinggal bersendirian. Saya tinggal bersama ibu bapa dan mana mungkin kami boleh bersekedudukan," luahnya yang sudah menjalin hubungan cinta selama tiga tahun bersama kekasihnya yang baharu bernaung di bawah syarikat pengurusan MIG itu.
Jelas mengenai perkara tersebut, Nad kemudiannya memperkatakan tentang isu meninggalkan set lakonan drama bersiri Kampung Girl selepas didapati bekas kekasihnya iaitu Amar Asyraf turut berlakon dalam drama tersebut.
TIDAK kalis dengan kontroversi, Nad pernah ditohmah bersekedudukan dengan kekasihnya, Azwan.


Tidak selesa
Kesal kerana tidak bertanya terlebih dahulu barisan pelakon drama tersebut, Nad akui kesilapannya meninggalkan set penggambaran dan telah memohon maaf kepada pengarah mengenai tindakannya itu.
Disoal mengenai profesionalisme dirinya sebagai pelakon kerana enggan berlakon di samping bekas kekasih akibat kenangan yang pernah diciptakan mereka selama ini. Ungkap Nad yang merupakan bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu, biarlah orang anggap dia tidak profesional asalkan lakonannya tidak nampak kaku kerana tidak selesa berlakon dengan hero drama Setia Hujung Nyawa itu.
"Saya mahu berlakon betul-betul. Kalau berlakon dengan dia (Amar), saya tidak boleh fokus. Saya tidak mahu berdepan dengan situasi yang membuatkan diri tidak selesa.
"Ia akan memberi kesan kepada mutu lakonan kerana saya akan kaku berlakon di sampingnya," luah Nad yang enggan memperincikan kenapa mengalami perasaan begitu bersama bekas kekasihnya.
Perkara yang sama turut dialami Nad apabila berlakon dengan kekasihnya, Azwan Kombos.
Kata Nad, dia juga sudah meletakkan syarat tidak mahu berlakon dengan kekasihnya biarpun tawaran banyak mahu menggandingkan mereka.
Tegas Nad, dua syarat itu sahaja yang diletakkan atas faktor pendiriannya. Jauh sekali untuk berlagak diva atau mencipta kontroversi.
"Selama enam tahun berlakon, saya tidak pernah buat hal dengan produksi, malah pihak produksi juga faham dengan permintaan saya ini. Cuma, silap saya kerana terlepas pandang barisan pelakon untuk drama yang membabitkan Amar itu," bicaranya lagi.
Tidak sorok
Sudah lama menjalin hubungan cinta, Nad disua pula soalan mengenai perkahwinan. Ujar Nad, dia baru berusia 23 tahun dan belum lagi memikirkan mengenai perkara itu (kahwin).
Bagaimanapun, pelakon berasal dari Kajang, Selangor itu meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum usianya menginjak 30 tahun.
"Saya juga berserah pada jodoh. Kalau jodoh saya dalam masa terdekat juga saya terima. Namun, harap-harap saya berkahwin sebelum berusia 30 tahun," akuinya.
Rentetan kontroversi pelakon Aeril Zafrel yang berkahwin sorok-sorok dengan pelakon Wawa Zainal dan didakwa mempunyai anak turut ditanya kepada Nad.
MAHU bergelar isteri sebelum usia mencecah 30 tahun, Nad bagaimanapun menyerahkan jodohnya kepada Tuhan.


Ini kerana bukan pasangan itu, malah ramai lagi selebriti yang mengambil tindakan serupa (berkahwin senyap).
Bagi Nad, dia akan beritahu jika berkahwin kelak. Sebab apa, dia sedar hakikat peminat di Malaysia yang tidak menyenangi sikap artis yang buat hal dan cuba berselindung.
"Lebih elok jika seseorang artis itu memberitahu peminat bahawa dia sudah berkahwin. Jangan fikir kenyataan itu akan menjejaskan periuk nasi mereka.
"Lihat sahaja seperti pelakon Fasha Sandha yang mengakui sudah berkahwin. Walaupun sudah berkahwin, dia tetap mendapat banyak tawaran berlakon," jelas Nad.
Pandai mengaji
Terbaharu, Nad bakal muncul dalam drama bersiri Seindah Sabarmu untuk slot Ratu di TV9. Drama yang menampilkan pelakon Shah Iskandar dan Ika Nabila itu bakal ditayangkan setiap hari Selasa dan Rabu mulai 15 Oktober ini.
Bercerita mengenai drama 14 episod itu, ujar Nad, dia membawakan watak seorang ustazah bernama Syafikah yang pandai mengaji dan marhaban.
Biarpun wataknya berat kerana perlu mengaji dan marhaban, Nad membukti- kan yang dirinya mampu melakukan tanpa menggunakan suara orang lain.
"Saya tidak mahu menggunakan suara orang lain ketika mengaji dan marhaban. Saya mahu lakukannya sendiri. Orang selalu cakap artis jahil agama.
"Jadi, saya mahu buktikan yang saya bukan begitu," tegasnya yang sejak kecil dititikberatkan oleh neneknya untuk mengaji dengan berlagu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: