
HANYA dengan sebuah single, grup dengan nama MOJO sudah dapat dikenali dan memikat hati khalayak. Lagu Andai Ku Bercinta Lagi bertanggungjawab memperkenalkan nama grup berkenaan.
Kini tanpa berlengah waktu, grup itu tampil lagi dengan single terbaharu yang berjudul Romancinta.
Grup MOJO merupakan sebuah super band di bawah naungan KRU Music dianggotai oleh Aweera (bekas finalis OIAM), selaku vokalis utama, komposer/ penerbit ternama Edry sebagai pemain synthesizer, Denny selaku gitaris dan pemain dram, Johar (bekas anggota kumpulan TILU).
Menerusi single Andai Ku Bercinta Lagi selaku single pertama, grup itu telah berjaya menjulang nama di persada seni tanah air dan antarabangsa.
MOJO telah dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-19, layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-27, dan memenangi Vokal Terbaik pada Festival Muzik Asian Pop Hong Kong (HKAMF 2013).
Malah lagu Andai Ku Bercinta Lagi juga telah meraih anugerah lima kali platinum (melebihi sejuta muat turun bagi lagu Andai Ku Bercinta Lagi) daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
MOJO juga terpilih menyanyikan lagu Dark Clouds iaitu lagu tema filem antarabangsa keluaran KRU Studios Vikingdom yang dipasarkan di 80 buah negara mulai 12 September 2013.
Kini, MOJO mempertaruhkan single baharu berjudul Romancinta yang membawa maksud perasaan romantis dalam cinta atau merasa cinta di dalam hati.
Lagu dan lirik ciptaan Edry ini berkisar tentang keperitan seseorang selepas kehilangan cinta sejati, namun tetap setia menunggu cinta agungnya untuk kembali lagi.
"Liriknya yang amat mendalam dan menyentuh jiwa, Romancinta merupakan sebuah lagu yang memberi cabaran kepada saya dari segi vokal dan ia disampaikan dengan penuh emosi ketika sesi rakaman. Kami bersepakat memilih Romancinta sebagai single kedua dan kerana yakin dengan kekuatan lagu tersebut yang bakal menyaingi Andai Ku Bercinta Lagi," ujar Aweera, vokalis kumpulan MOJO.
Sejajar dengan rangka promosi yang menyeluruh untuk single Romancinta, KRU Music telah membelanjakan kos melebihi RM60,000 untuk klip video yang diarahkan oleh pengarah muda, Waan Hafiz.
Selain persembahan mantap MOJO , muzik video Romancinta turut menampilkan pelakon popular Amar Asyraf dan beliau telah berjaya melakonkan watak pemuda yang kecewa dengan kecurangan cinta sejatinya. Muzik video Romancinta akan dilancarkan secara rasmi di YouTube penghujung bulan Oktober nanti.
Istimewa bagi peminat setia MOJO, Romancinta boleh didapati dalam EP kedua MOJO yang dipasarkan mulai 20 September 2013.
Berkonsepkan Ruby iaitu bertemakan warna merah EP ini turut memuatkan lagu Dark Clouds. Versi instrumental bagi kedua-dua buah lagu tersebut turut ditampilkan.
EP tersebut akan diedarkan secara digital di i-Tunes dan platform-platform digital, juga pembelian secara online di Facebook United Studios.
Ia juga boleh didapati di semua cawangan Rock Corner, Muzik Valley dan Speedy berhampiran dengan anda pada harga RM16.90.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari Facebook MOJO www.facebook.com/TheMojoNetwork dan saksikanlah secara eksklusif video muzik Romancinta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: