![]() |
KELIBAT lelaki bersosok tegap, Zul Ariffin mula disedari menerusi drama kepolisan bersama Skop Production sekitar tahun 2009. Dia bertatih dengan sensasi namun selepas empat tahun lelaki yang mesra disapa sebagai Zul itu sudah ada peminatnya tersendiri.
Sekilas pandang, anak kelahiran Taiping, Perak itu mula selesa menari dan mengikut gerak karier. Tidak sahaja drama televisyen, perlahan-lahan peluang diraih dan pada hari ini, akui Zul, dia gembira dengan setiap rezeki yang tercurah untuknya.
“Biar orang tengok saya ada, biar nama saya tidak begitu popular. Biar kerja yang menggerakkan nama saya. Sekarang, saya gembira dengan perjalanan karier ini. Semakin lama dalam industri, semakin ramai orang yang saya kenali, dapat pula kerja di merata-rata tempat. Semuanya kerana lakonan. Semua itu membakar semangat untuk saya terus berkobar-kobar, bekerja dan bekerja. Dari segi kepuasan, sampai bila pun kita payah hendak berasa puas, tetapi keseronokan kerja itu yang penting buat saya,” ujar Zul melepaskan pandangan terhadap tangga-tangga kariernya setakat ini.
Masih menanti filem terbaharunya, Penanggal yang dijangka ditayangkan pada November nanti, Zul juga tidak mahu membebankan diri untuk keterlaluan memikirkan impak setiap kali terlibat dalam filem mahupun drama. Pada Mei lalu, lakonannya sebagai penunggang motosikal kuasa besar dalam Bikers Kental banyak dipuji.
“Saya hanya mahu fokus dan beri sepenuh komitmen, pada akhirnya, biar kerja itu yang bergerak sendiri. Antara filem dan drama, itu dua medium yang berbeza. Impak drama berlainan dengan impak filem. Untuk filem, kalau boleh, saya tidak mahu asal ada, ambil apa sahaja watak sebab saya percaya skala lakonan dalam filem tak sama macam dalam drama,” katanya yang melakonkan watak lelaki keturunan Arab dalam filem Penanggal arahan Ellie Suriaty Omar itu.
Sedang serius menjalinkan hubungan bersama Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai, Zul Ariffin, 27, membiarkan hubungan itu seiring dengan prestasi kerjaya. Kata Zul, biarlah suatu hari nanti, kelibatnya juga dihormati sebagai pelakon berkarisma sebagaimana pelakon-pelakon hebat terdahulu yang disegani oleh khalayak pada masa ini.
“Susah untuk menjadi seseorang yang hebat dan cita-cita itu masih terlalu jauh untuk saya. Saya harus terus berbaik sangka terhadap semua orang, berlakon dengan lebih ramai pelakon dan pengarah hebat,” katanya yang kini muncul menerusi drama bersiri Janji Adam di TV3.
Sekali lagi membawa peranan utama, kali ini Zul menggalas watak Adam, anak sulung dalam keluarga yang berjanji kepada ibunya untuk menyatukan semula dua orang adiknya yang terpisah sejak kecil.
“Janji Adam ialah janji Adam kepada ibunya untuk cari semula dua adiknya yang diserahkan kepada keluarga angkat sejak kecil. Pencariannya berhasil dan dalam waktu yang sama dia menemui Aishah, seorang gadis yang menawan hatinya. Dari situ juga bermula konflik, dan drama itu masih lagi dalam penggambaran,” beritahu Zul yang banyak bermain cangkul dan tanah di bawah terik matahari sepanjang penggambaran drama berkenaan.
Sebelum menutup cerita, Zul menambah: “Saya sudah biasa bawa watak pemuda kampung, itu bukan kerja yang susah tapi yang susahnya untuk kembali cerahkan kulit yang hangus terbakar. Setakat ini, ada tawaran ke negara musim sejuk untuk satu penggambaran. Kalau boleh bertukar angin seronok juga, sudah berbulan asyik duduk kampung dan mencangkul, sesekali nak juga berlakon berangan ke lokasi indah. Tapi, setakat ini saya tidak beri kata putus pun lagi.”

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: