|
JIKA sebelum ini peminat dapat melihat gabungan pertama Lisa Surihani dan Aaron Aziz menerusi filem adaptasi novel Ombak Rindu, kali ini dua bintang terkenal itu bergabung semula dalam supertelefilem yang berjudul Suamiku, Encik Perfect 10! di bawah arahan pengarah Feroz Kader.
Apa yang menariknya tentang supertelefilem ini, ia juga merupakan sebuah karya yang diadaptasi daripada sebuah novel nukilan Syamnuriezmil yang mempunyai judul sama.
Ketika bertemu di lokasi supertelefilem terbitan Global Station Sdn. Bhd. itu baru-baru ini, Lisa memberitahu, tidak sukar untuk dia mendapatkan keserasian bersama Aaron memandangkan ini kali kedua dia berganding dengan aktor tersebut.
"Sebelum ini kami pernah berlakon bersama, jadi kali ini tiada masalah untuk mendapatkan keserasian itu. Saya juga setuju untuk mengambil watak ini kerana akan bergandingan bersama Aaron.
"Selain itu, apa yang saya lihat, walaupun mungkin ceritanya diadaptasi daripada sebuah novel, namun jalan cerita yang ditampilkan berbeza," jelas Lisa.
Tambah isteri kepada Yusry KRU ini lagi, antara punca dia bersetuju dengan tawaran yang diberikan kerana dia menyukai perjalanan watak miliknya yang seperti bertukar karakter dalam setiap babak.
"Saya sukakan peralihan emosi yang perlu saya beri pada setiap babak, itu antara sebab saya bersetuju terbabit di dalam naskhah ini," ujarnya yang memegang watak sebagai Aleeya Azmeen.
Tambahnya lagi, mungkin watak Aleeya tidak jauh berbeza daripada yang pernah dilakonkannya, namun apa yang menjadi cabaran baginya ialah proses perubahan emosi yang perlu dilakonkan olehnya.
"Pada mulanya, Aleeya merupakan seorang pelajar perubatan yang sangat riang dan ceria, namun setelah dirogol oleh teman lelakinya, dia berubah menjadi seorang yang pasif dan kusut memikirkan kejadian yang telah menimpa dirinya," tutur Lisa yang agak sukar untuk melakonkan watak menangis.
Tak kisah watak stereotaip - Aaron
Bagi Aaron pula, walaupun sering dipilih untuk watak yang dianggap agak stereotaip, namun lelaki ini tidak kisah untuk menerima tawaran tersebut.
"Saya bukan berlakon watak baik sahaja, ada juga watak antagonis yang pernah saya lakonkan. Namun, perlu lihat juga kehendak masyarakat bagaimana mereka mahu lihat lakonan saya. Apa yang patut saya lakukan ialah terima tawaran dan jalankan tanggungjawab saya sebagai pelakon untuk menjayakan watak yang diberi.
"Ini kerana bagi saya, pihak penerbit tahu apa yang mereka lakukan, dan pastinya watak tersebut diberi kepada pelakon setelah membuat kajian apa yang penonton mahukan," jelas Aaron yang memegang watak Zarief Daniel yang berasal dari Kedah.
Bercerita tentang wataknya pula, bicara Aaron, antara cabaran buat dirinya adalah untuk bercakap dalam dialek utara. Walaupun agak sukar, namun, tutur Aaron, dia berusaha untuk melakukan yang terbaik dan cuba untuk tidak kelihatan terlalu kekok.
Selain Lisa dan Aaron, pelakon lain yang terlibat dalam supertelefilem ini ialah Raja Ilya, Syazwan Zulkifly, JAsmin Hamid dan Normah Damanhuri.
Ia juga bakal ditayangkan di saluran Astro manakala tarikh dan waktu tayangan belum ditetapkan lagi. Selain di Malaysia, supertelefilem ini juga menjalani penggambaran di London, United Kingdom.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: