|
KEJAYAAN demi kejayaan yang diraih oleh anak muda kelahiran program realiti Akademi Fantasia yang bernama Hafiz Suip ini. Walaupun mengakui masih baharu dalam industri seni tempatan, namun pencapaian anak muda ini berada pada tahap yang boleh dibanggakan.
Apa yang lebih membanggakan, baru-baru ini Hafiz telah dikejutkan dengan satu berita gembira buat dirinya. Jika sebelum ini, Yuna pernah dicalonkan menerusi kategori yang sama, kini giliran Hafiz pula.
Hafiz akan mewakili Malaysia dalam pencalonan Best Southeast Asia Act dalam MTV Europe Music Awards (2013 MTV EMA) yang dijadual berlangsung pada 10 November depan di Amsterdam, Belanda.
Justeru, Hafiz perlu bersaing dengan artis dari lima negara iaitu NOAH (Indonesia), Olivia Ong (Singapura), Sarah Geronimo (Filipina), Slot Machine (Thailand) dan My Tam (Vietnam).
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hafiz Suip tentang perasaannya tercalon untuk anugerah antarabangsa itu.
Kosmo!: Boleh cerita sedikit tentang pencalonan anda dalam MTV European Music Award (MTV EMA) baru-baru ini?
HAFIZ: Saya sendiri dapat tahu melalui Twitter dan sebenarnya saya agak terkejut kerana ramai peminat yang mengucapkan tahniah kepada saya atas pencalonan tersebut. Saya kemudian mencari sumber yang sahih tentang berita itu dan setelah sahih, saya bersyukur kerana tercalon dalam kategori Best Southeast Asia Act.
Secara jujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana pencalonan itu berlaku. Mungkin mereka lihat pencapaian saya sepanjang menjadi artis. Bagi peminat yang mahu mengundi saya, boleh layari laman web www.asia.mtvema.com.
Apa perasaan anda apabila tercalon dalam anugerah antarabangsa seperti ini?
Memang saya terkejut kerana pengalaman saya yang masih lagi baharu dalam industri seni. Bila dapat tahu, saya rasa berbesar hati dan susah bagi saya untuk mencapai tahap tersebut. Itu rezeki yang Tuhan beri, Alhamdulillah. Selain ia merupakan pencapaian peribadi, saya melihat saya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
|
Tinggalkan berita tersebut, boleh jelaskan tentang kisah cinta anda? Ada yang mengatakan anda sudah bertunang?
Tidak benar sama sekali. Masih tiada perancangan ke arah itu (bertunang). Jika boleh apabila saya ingin membina masjid, maka akan saya umumkan. Buat masa sekarang, saya masih ingin mencukupkan keperluan diri sendiri dan keluarga. Saya ingin fokus terhadap karier.
Jadi, apa status anda kini kerana sebelum ini anda dikatakan sedang bercinta dengan seseorang?
Saya kini masih bujang dan tiada teman istimewa. Apa yang boleh saya katakan, saya masih muda dan mencari calon yang sesuai. Mungkin tiada jodoh saya dengan yang sebelum ini. Saya tidak mahu terlalu cerita tentang perkara ini. Mak saya juga pernah pesan, jika mahu mencari jodoh, biar yang mampu menjadi isteri yang baik.
Adakah pengalaman sedih dalam percintaan diaplikasikan dalam nyanyian anda supaya emosi itu lebih kelihatan?
Sebenarnya, saya juga ada guna pengalaman hidup sendiri untuk memberi emosi kepada persembahan saya. Jika berbuat demikian, ia kelihatan lebih realistik daripada hanya melakonkan emosi tersebut.
Apakah perkembangan terkini anda?
Saya kini masih lagi memberi fokus untuk mempromosi single saya yang berjudul Bahagiamu Deritaku dan kemungkinan single seterusnya yang berjudul Kesimpulan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: