Tuesday, October 22, 2013

Hairi pilih Fara bukan kerana nafsu

HAIRI menafikan ada pelakon lain menyimpan perasaan hasad terhadapnya.


JUARA program realiti Anak Wayang, Mohd Hairi Safwan Aznan atau Hairi mengaku menyukai Fara Afiza Azman yang kini tunangannya kerana wanita itu bukan dilihat dari sudut nafsu lelakinya.
Berkenalan dalam tempoh yang singkat dan seterusnya mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu, Hairi juga mendedahkan, tunangnya yang merupakan anak kepada editor majalah Kuntum, Asma Saad itu juga pada mulanya tidak mengenalinya sebagai seorang pelakon.
Ikuti temu bual Hairi bersama Kosmo! selanjutnya ketika ditemui baru-baru ini. Selain itu, Hairi juga menjelaskan tentang gosip yang tersebar baru-baru ini yang mengatakan ada seorang pelakon menaruh perasaan dengki terhadapnya.
KOSMO!: Tahniah atas pertunangan anda. Bilakah tarikh majlis perkahwinan anda akan berlangsung?
HAIRI: Insya-Allah kami akan berkahwin pada awal Mac tahun depan.
Boleh terangkan mengenai pengakuan anda yang mengatakan Fara yang kini tunang anda bukan dilihat dari sudut nafsu?
(Ketawa). Saya mula kenal dengan dia (Fara) pada bulan Disember tahun lepas. Ketika itu, dia dan rakan-rakannya dari maktab perguruan menonton teater lakonan saya iaitu Nyonya Cantik.
Selepas teater tersebut tamat, saya terlihat seorang wanita yang mengenakan pakaian seksi tetapi hati saya tidak terpikat walaupun wanita itu cantik.
Namun, selepas itu saya terpandang pula seorang wanita iaitu Fara. Dia cukup berbeza. Bertudung dan sopan. Secara tiba-tiba hati saya terpikat.
Selepas saya memperoleh nombor telefonnya, saya terus bertanya sama ada dia sudah mempunyai teman lelaki. Bila dia beritahu tiada, saya terus memintanya menganggap diri saya teman lelakinya.
Ketika itu juga baru dia beritahu yang sebelum ini dia tidak langsung mengenali saya sebagai pelakon sehingga melihat saya berlakon dalam teater tersebut.
Berkenalan dalam tempoh yang singkat dan kemudiannya bertunang, adakah anda yakin dengan pilihan ini?
Insya-Allah saya yakin. Dialah calon isteri yang tepat telah diberikan Allah untuk saya.
Beralih pada soalan lain, baru-baru ini ada gosip mengatakan anda menjadi mangsa kepada seorang pelakon yang menaruh perasaan hasad dengki terhadap anda? Siapakah pelakon tersebut dan adakah gosip ini benar?
(Terkejut). Mana ada sesiapa yang dengki dengan saya.
Jadi gosip tersebut tidak benarlah?
Tidak. Tiada sesiapa pun yang dengki dengan saya. Nanti orang cakap saya poyo pula. Siapalah yang nak dengki dengan saya.
Selain berlakon anda juga berani menyertai pertandingan komedi Liga Lawak Superstar, malah bergandingan dengan pelawak terkenal, Bell Ngasri. Adakah anda yakin mempunyai sisi lawak pada diri anda?
Saya tidak cakap saya pelawak. Banyak lagi ilmu yang saya kena belajar. Apa yang penting, saya sering berbincang dengan ahli kumpulan saya iaitu Bell Ngasri dan Idzham Ismail untuk memberikan yang terbaik.
Selepas memenangi program Anak Wayang pada tahun 2009, bagaimanakah anda melihat momentum anda dalam bidang lakonan?
Saya masih lagi belajar untuk berlakon. Saya juga sentiasa meminta tunjuk ajar daripada pelakon-pelakon senior seperti Eman Manan, Fauziah Nawi dan Kaza. Alhamdulillah, mereka tidak kedekut ilmu dan sentiasa memberi tunjuk ajar tanpa jemu.
Saya kena sentiasa memperbaiki mutu lakonan, sebabnya penonton sentiasa tengok dan menilai lakonan kita.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: