Tuesday, October 22, 2013

Cabaran komedi Liga Lawak Superstar

AFDLIN (belakang, dua dari kiri) dan Adibah (belakang, dua dari kanan) bersama barisan pelakon drama yang menyertai program Liga Lawak Superstar.


SEKALI lagi penerbit Afdlin Shauki menjadi pencetus kepada program baharu lawak yang berjaya menyuntik pembaharuan dan kesegaran dalam mewarnai industri komedi tempatan.
Dia yang menjadi orang penting di sebalik kejayaan Super Spontan, kali ini telah membawa kepada penonton program Liga Lawak Superstar (LLS).
Program ini tidak mempertaruhkan golongan pelawak, sebaliknya ia disertai oleh 16 pelakon drama yang ditayangkan di TV3. Malah, nama mereka juga tidak asing dalam dunia lakonan.
Mereka termasuklah Kamal Adli, Nad Zainal, Iqram Dinzly, Didie Alias, Sheera Iskandar, Riezman Khuzaimi, Aidil Aziz, Shafiq Kyle, Akim Ahmad dan Sherry Ibrahim.
Bagaimanapun, persembahan pembukaan rancangan LLS yang berlangsung pada malam Ahad lepas boleh dikatakan tidak menjadi kerana ia menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penonton yang masih kabur terhadap konsep program tersebut.
Persembahan itu menjadi hambar disebabkan lawak yang terlalu klise, tidak difahami dan kebanyakan peserta tidak dapat menghasilkan lawak secara spontan.
Pembukaan LLS minggu pertama yang telah dipersembahkan oleh Kumpulan A terdiri daripada Derhaka Seorang Cinderella (Amyza Adnan, Hamdan, dan Aman Nassin), Aku (Bell Ngasri, Idzham Ismail dan Hairi Safwan), Apa kasih Toq (Didie Alias, Kamal Adli dan Fizz Fairuz) dan Spy Kampung (Farouk Hussain, Zalif Sidek dan Syafiq Kyle).
Mereka akan bersaing bagi mendapat markah mingguan yang tertinggi. Markah itu pula akan dikumpul bagi melayakkan kumpulan yang tertinggi untuk ke peringkat final.
Berkonsepkan pemarkahan seperti program realiti Mentor, kumpulan dengan markah tertinggi Kumpulan A akan bertemu dengan markah tertinggi Kumpulan B di lantai akhir LLS untuk menentukan juara.
Jelas
Ulas Afdlin: “Memang benar banyak reaksi yang timbul untuk minggu pertama ini, dan kerana itulah penonton perlu mengikuti persembahan mingguan untuk mendapat gambaran yang jelas bagi rancangan ini.
“Mereka secara perlahan-lahan akan memahami konsep program ini dan tertarik dengan elemen baharu yang selalunya hanya ditampilkan di pentas teater. Rancangan ini sangat mudah dan sekadar untuk berseronok sahaja.”
Tambah Afdlin, LLS adalah sebuah rancangan berkonsepkan game show yang mana setiap kumpulan harus menyelesaikan tugasan yang diberi secara spontan dan cuba untuk membuat peningkatan dalam persembahan komedi masing-masing.
Namun, ia sangat baharu bagi peserta-peserta yang dipilih. Mereka yang kebanyakannya tidak semula jadi bersifat lawak seakan sukar untuk membawa sketsa yang diberikan.
Hanya beberapa peserta sahaja yang berjaya mencuri tumpuan penonton pada malam tersebut antaranya Fizz Fairuz, Kamal Adli, Didie Alias dan Bell Ngasri.
Kesemua peserta juga dilihat berusaha sedaya upaya untuk menghidupkan lawak tersebut.
“Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh kesemua peserta kerana mereka perlu menjadi pelawak, sedangkan kita lihat sebelum ini mereka sering membawa watak serius dalam drama lakonan masing-masing,” ulas Afdlin lagi.
Katanya, ia masih awal untuk membuat penilaian kerana ini adalah persembahan pertama dan pengenalan bagi rancangan ini.
“Kami akan menjadikannya lebih baik dan menyeronokkan tetapi paling penting adalah aksi peserta itu nanti.
“Kita tidak boleh menjangka apa akan mereka lakukan untuk minggu- minggu seterusnya selain melihat pada karakter mereka yang sebenar.
“Secara jujurnya. saya berpuas hati dengan persembahan pertama minggu ini.
“Siapa sangka Fizz Fairuz dan Kamal Adli yang sering membawa watak serius mampu membuat lawak dengan cara sangat semula jadi.”
Afdlin juga berharap LLS akan memberikan impak tersendiri dan akan menjadi rancangan bermusim yang bakal mewarnai industri komedi di Malaysia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: