![]()
DIANA AMIR ada alasan kukuh kenapa dia tidak mahu menghebahkan kepada pengetahuan umum tentang majlis pertunangannya dengan Mohd, Habib sebelum ini.
|
PELAKON Diana Amir akhirnya mengadakan sidang akhbar khusus bagi menguar-uarkan tentang tarikh pernikahannya yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9 malam, 25 Oktober ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya.
Sebelum ini, Diana, 27, pernah dituduh sengaja menyorokkan majlis pertunangannya dengan Mohd. Habib Bullah A. Rahman, 26, yang merupakan pensyarah jurusan Sains Politik dan Asia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah itu.
Bagaimanapun, pelakon filem Aku Masih Dara itu menjelaskan, dia tidak mahu menghebahkan tentang majlis pertunangannya kepada orang ramai kerana mengikut syariat Islam.
Ketika itu, dia juga belum benar-benar pasti hubungan pertunangannya itu akan ke jenjang pelamin, jadi itu antara faktor kenapa Diana mengadakan majlis pertunangan tersebut secara tertutup pada 23 Ogos 2012.
Selesai menjelaskan tentang perkara tersebut, Diana lalu berkongsi mengenai persediaan dirinya untuk menjadi isteri Mohd. Habib.
Menurut pelakon berasal dari Johor Bahru itu, Mohd. Habib mempunyai asas agama yang kuat dan dia percaya lelaki itu mampu membimbing dirinya.
“Dia juga seorang pemaaf dan membantu memberikan kekuatan pada ketika saya ditimpa masalah,” jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar di pejabat Metrowealth International Group (MIG), Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Banyak menerima tajaan pernikahan daripada pelbagai pihak, ungkap Diana, dia sekadar mahukan majlis perkahwinannya itu berlangsung secara sederhana dan mengikut syariat Islam.
Atas sebab itu, dia tidak mahu sebarang dulang hantaran. Baginya, cukup sekadar senaskhah al-Quran, sebentuk cincin dan mas kahwin.
Diana juga meminta nasihat daripada tenaga pengajar usrah fitrah iaitu Ustaz Shahrizan Daud untuk mengadakan majlis pertunangan dan kelak majlis persandingannya mengikut syariat Islam.
“Majlis resepsi masih belum ditetapkan tarikh. Tetapi ia tetap mengikut syariat Islam. Saya rujuk pada yang pakar sebelum mengadakan majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan nanti,” tuturnya yang anggun menyarungkan jubah berwarna biru cair itu.

PASANGAN Diana dan Mohd. Habib bergambar kenangan bersama David Teo dan isterinya, Jane Lim.
Sementara itu, Mohd Habib yang turut hadir pada majlis tersebut berkongsi mengenai kriteria Diana yang berjaya menambat hatinya.
“Sepanjang saya bekerja di Kedah selama dua tahun, Diana banyak menghabiskan masa bertemu dan berhubung dengan keluarga saya di Shah Alam. Sikapnya yang menyanyangi keluarga saya melebihi diri saya sendiri benar-benar menambat hati ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, bukan mudah untuk menambat hati Diana dan dia terpaksa meminta keluarganya berjumpa dengan keluarga Diana di Johor bagi menunjukkan kesungguhannya menyunting pelakon itu.
Mohd. Habib turut memberitahu, dia tidak akan menghalang Diana meneruskan kerjayanya sebagai pelakon kerana memahami bakal isterinya itu pandai membawa diri.
Mengulas mengenai debaran menjadi suami pula, ujar Mohd. Habib, dia lebih berdebar memikul tanggungjawab sebagai suami Diana.
“Selepas berkawan selama setahun dengan dua pertemuan, saya membawa keluarga saya berjumpa keluarga Diana di Johor untuk menyatakan hasrat menyuntingnya. Saya juga tiada masalah dengan apa yang dilakukan Diana sekarang (berlakon) walaupun selepas berkahwin kelak,” ujarnya lagi.
David selar Zed Zaidi
Dalam pada itu, penerbit dan juga pemilik MIG, David Teo melahirkan rasa gembiranya kerana seorang lagi pelakon MIG bakal mendirikan rumah tangga.
Bicara David, dia tidak pernah menghalang artis MIG yang ingin bercinta dan berkahwin malah menegaskan ramai artis di bawahnya sudah berkahwin dan memiliki anak seperti Farid Kamil.
“Saya sebagai seorang bapa kepada empat orang anak faham kehendak mereka (pelakon). Dalam kontrak memang ada tertulis setuju status bujang sepanjang kontrak. Tetapi, jika mereka memberitahu saya ingin berkahwin saya tidak akan menghalangnya,” ujarnya yang memberitahu menerima surat daripada Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi petang semalam untuk meneliti kontrak syarikat miliknya.
David juga menyelar tindakan Zed Zaidi yang memberi kenyataan sebelum membaca kontrak syarikatnya dan dia tiada masalah untuk menunjuk kontrak tersebut kepada Zed Zaidi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: