|
MENGAKUI telah melangkau usia sebenar untuk berkahwin, kumpulan lawak duo, Jambu memberitahu telah mempunyai pasangan masing-masing dan akan menamatkan zaman bujang kelak.
Begitu, pengakuan Yus dan Tauke ketika bertemu pada majlis sidang akhbar program terbaharu berjudul Antabax Lat-Tali-Lat.
Yus yang kini sudah mencecah usia 37 tahun membuka bicara tentang perancangannya untuk menamatkan zaman bujang.
“Insya-Allah saya akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun depan kerana ingin memberi peluang kepada bakal isteri untuk menyambung pelajaran pada peringkat ijazah sarjana.
“Dia merupakan seorang setiausaha di sebuah syarikat dan berasal dari Taiping, Perak. Mungkin sudah tiba masanya saya untuk berkahwin dan telah jumpa orang yang sesuai.
“Dia juga faham kerja saya dan mampu menjaga saya kelak sebagai seorang isteri kepada saya,” cerita Yus yang mengenali bakal isterinya melalui laman sosial Facebook.
Tambahnya, wanita yang juga bekerja sebagai peragawati separuh masa itu dilihat calon yang paling sesuai buat dirinya.
Menunjukkan dirinya serius terhadap perhubungan tersebut, mereka telah berkenalan dengan keluarga masing-masing.
“Saya tertarik kepadanya bukan kerana paras rupa, sebaliknya saya tertarik kerana keperibadiannya yang sesuai dengan diri saya sendiri.
“Apa yang penting, pada umur saya yang sudah mencecah 37 tahun ini, kefahaman dalam perhubungan adalah sangat penting bagi saya,” jelas pemilik nama sebenar Yussry Edoo ini.
Namun, bagi pasangan lawaknya, Zamatul Amri Zakaria atau lebih mesra disapa sebagai Tauke, dia pernah dilabel oleh masyarakat sebagai seorang ‘kaki wanita’.
Ini kerana sejak namanya mula dikenali, Tauke sering saja dilihat bertukar pasangan melalui foto-foto yang dimuat naik dalam laman sosial seperti Instagram dan Facebook.
Namun, lelaki yang berusia 37 tahun ini punya jawapan tersendiri terhadap tohmahan yang acap kali dilemparkan kepadanya.
“Saya mempunyai masalah setiap kali menjalin hubungan dengan seseorang. Setiap kali saya sudah serasi dengan seseorang, pasti ada yang mengganggu hubungan itu. Sejujurnya, kerana perkara-perkara begini, saya hanya mampu bertahan dengan pasangan selama enam bulan sahaja.
“Jadi, biarlah selepas ini, jika saya sudah betul-betul membuat keputusan untuk berkahwin, baru saya akan uar-uarkan berita tersebut. Saya sebenarnya sayangkan pasangan saya dan serius dengannya.
“Oleh kerana itu, saya muat naik gambar kami di laman sosial. Namun, ia telah dirosakkan oleh segelintir orang yang hitam hatinya,” luah Tauke yang kecewa dengan sikap segelintir masyarakat.
Selesa sebagai Jambu
Sejak bergabung, duo pelawak Jambu ini sering memberikan persembahan terbaik. Apabila bersama, keserasian mereka jelas terserlah ketika mengadakan persembahan di atas pentas.
Itu juga yang diakui oleh kedua rakan baik ini yang lebih selesa untuk beraksi berdua apabila di atas pentas, kaca televisyen mahupun di layar perak.
“Kadangkala, apabila saya lihat tawaran yang diberi bukan bersama Tauke, saya mungkin akan menolak tawaran tersebut.
“Saya sudah selesa dengan Tauke dan senang bergerak atau membuat kerja bersama,” jelas Yus ringkas tentang Jambu.
Bicara Tauke memberi pendapat yang sama: “Apa yang membuatkan kami selesa bersama ialah tentang jadual. Contohnya, jika ada pihak yang inginkan Jambu, namun Yus punya tawaran lain secara individu, jadi itu akan menyukarkan kami untuk menerima tawaran bersama.”
Justeru, kini mereka akan lebih mengutamakan tawaran untuk Jambu dahulu. Jika tiada tawaran bagi duo Jambu, maka tawaran secara individu akan dipertimbangkan.
Bercerita mengenai Antabax Lat-Tali-Lat, katanya, program tersebut akan disiarkan pada setiap Ahad, bermula 6 Oktober pukul 6.30 petang.
“Ia menampilkan 24 orang peserta dari sekolah-sekolah rendah yang akan beradu kecekapan dalam permainan tradisional Malaysia yang unik seperti Baling Tin, Konda Kondi, Tarik Upih, Galah Panjang, Tuju Tin dan Keting Ting,” ujar Tauke.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: