Friday, October 4, 2013

Rosyam 'sailang' watak lain


KL Gangster 2 diolah lebih baik berbanding KL Gangster.


TERBABIT dengan kumpulan samseng bukan pilihan terbaik dalam hidup. Bagi menyelesai- kan masalah sama ada perlu membunuh atau dibunuh, mengkhianati atau dikhianati, dunia kegelapan itu tidak menuntut secebis perasaan belas kasihan.
Pengajaran yang ingin disampaikan menerusi filem prekuel KL Gangster 2 dipersembahkan jelas dan dijalin kemas dalam rentetan plot demi plot bersama aksi padat yang luar biasa kesannya kepada penonton tempatan.
Bagi sebuah filem aksi, KL Gangster 2 wajar diberikan pujian. Tidak hairanlah kos mencecah RM4.5 juta yang dilaburkan oleh pengarahnya, Syamsul Yusof, antaranya disalurkan untuk menjahanamkan beberapa buah kenderaan dan kesan khas letupan yang luar biasa.
KL Gangster 2 berdepan pelbagai halangan getir terutama kontroversi kebocoran versi penuh beberapa bulan sebelum tiba tarikh tayangan.
Namun, filem itu kekal bertahan dengan pengaruh peminat daripada filem terdahulu, KL Gangster.
Produksi KL Gangster 2 tidak betah dirodok dengan isu lanun cetak rompak yang menjadikan filem yang telah tiris disebar lebih meluas tapi tetap memilih tarikh asal 3 Oktober untuk ditayangkan, sedangkan ramai yang berpendapat ia seharusnya diawalkan tayangannya.
Dijalin kemas menerusi penceritaan mengenai pasangan adik-beradik yang berpecah berlandaskan prinsip hidup masing-masing tapi mengikut haluan sama iaitu korupsi, pengkhianatan dan pembunuhan.
Susur penceritaan dimulakan dengan krisis kehidupan Malek (Aaron Aziz) yang berdepan dengan tiga situasi genting – adiknya, Jai (Adi Putra) yang berhutang dengan kumpulan gengster, penyakit ibunya dan pelawaan ketua kumpulan samseng King (Ridzuan Ha- shim) yang mahu dia membantu menumpaskan kumpulan yang diketuai samseng psiko, Tailong (Rosyam Nor).
Situasi menjadi genting apabila kumpulan samseng menyerang ibu dan adik perempuannya, Zati (Sheera Iskandar) dan pada masa yang sama, ibunya disahkan menghidap barah otak.
Terdesak untuk mendapatkan wang bagi mengubati penyakit ibunya, Malek bersetuju untuk menganggotai kumpu- lan King.
Tindakan itu menyebabkan Tailong mula panas punggung dan mula berdendam dengan Malek.
Selangkah di hadapan, Syamsul terlebih dahulu memikirkan plot filem-filemnya kali ini.
KL Gangster 2 menjadi prekuel yang menjelaskan kejadian yang berlaku dua tahun lalu menerusi KL Gangster.
Ia termasuklah praperkembangan watak Malek sebelum dia dipenjarakan, kehidupan liar Zeti, kehidupan asal Shark (lakonan Syamsul Yusof) sebelum menjadi ketua gengster dan asal usul kemunculan karakter Tailong.
Mencuri perhatian, selain plot yang disusun kemas adalah babak pertarungan antara dua puak samseng yang jelas sukses dalam menduga adrenalin penonton.
Tanpa henti, diberikan bertubi-tubi serta memberikan ketidakselesaan sebagaimana kehendak penggemar filem aksi.
Dek kerana aksi filem itu yang digarap sarat, Syamsul sebenarnya membiarkan penonton mengalami sendiri permainan aksi tersebut.
Skrip klise tidak mengapa kerana ia telah dibayangi oleh beberapa aksi menarik serta efek letupan yang cukup hidup – tidak dibuat-buat. Koreografi kemas babak-babak pertarungan antara puak-puak samseng di beberapa lokasi menambah kredit filem itu.
Fakta menarik yang perlu dikongsikan, antara babak yang paling mencabar untuk dirakamkan adalah adegan aksi 10 minit pergaduhan tiga penjuru antara Malek, Jai dan Taikong yang memakan tempoh 16 hari penggamba- ran.
Dari segi daya lakonan, paling menyerlah sudah tentu Rosyam. Tailong yang direalisasikan Rosyam nyata lebih jahat, psiko dan liar berbanding watak-watak lakonannya yang terdahulu, baik Castello menerusi filem Castello, mahu pun Zain (Lenjan).
Ironinya, Rosyam berjaya mencuri fokus utama (atau dalam bahasa pasar dunia gengster ia dikenali dengan istilah sailang) daripada watak-watak utama KL Gangster 2 – Aaron Aziz, Adi Putra mahu pun Syamsul Yusof.
Kemunculan kembali bintang-bintang 1990-an, khususnya Angeline Tan turut mencuri perhatian menerusi watak Suzanne, isteri kepada King – wanita yang sarat pengkhianatan dan ketamakan.
Bagaimanapun, untuk penonton memahami lebih jelas perkembangan plot, sarikata berbahasa Inggeris sekurang-kurangnya mampu menyalurkan kefahaman memandangkan dialog bahasa pasar dunia gengsterisme bukan serasi dalam semua kelompok penonton.
Dalam pada itu, skrip kaedah ritma yang diungkapkan oleh karakter Ajib (Soffi Jikan) yang terlalu kerap dan diulang-ulang dalam beberapa babak menjejaskan sedikit fokus penonton.
Secara puratanya, KL Gangster 2 diolah lebih baik berbanding KL Gangster dan dikupas mendalam mengenai sisi gelap alam samseng tetapi pada masa sama menyampaikan mesej serta pengajaran bernilai dalam kehidupan sehari-hari.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: