MINNEAPOLIS - Seorang budak lelaki berusia 9 tahun melepasi kawalan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Minneapolis-St.Paul di sini untuk menaiki penerbangan ke Las Vegas, kata pihak berkuasa semalam.
Kanak-kanak berkenaan menaiki pesawat milik penerbangan Delta Airlines bersendirian tanpa disedari oleh pengawal keselamatan lapangan terbang berkenaan.
Punca kejadian pada Khamis lalu itu masih disiasat tetapi insiden tersebut menimbulkan persoalan berhubung tahap kawalan keselamatan lapangan terbang tersebut.
"Insiden ini berakhir dengan baik apabila kanak-kanak itu dipulangkan kepada keluarganya dalam keadaan selamat," kata jurucakap lapangan terbang Minneapolis, Pat Hogan.
"Kami masih menyiasat bagaimana dia boleh melepasi proses pemeriksaan keselamatan dan menaiki pesawat tersebut tanpa tiket," tambahnya.
Dalam pada itu, jurucakap Delta Airlines, Leslie Scott menolak untuk mengulas lanjut dan mengatakan kes itu masih dalam siasatan.
"Pita sistem rakaman litar tertutup menunjukkan kanak-kanak itu berada di lapangan terbang ini sejak Rabu lalu," kata Hogan.
Budak lelaki itu tiba di lapangan terbang dengan menaiki kereta api dari pusat bandar raya ini.
Dia kemudian mengambil sebuah beg di tempat bagasi dan membawanya ke sebuah restoran sebelum menuju ke tempat pemeriksaan keselamatan untuk menaiki pesawat. "kanak-kanak itu meninggalkan beg itu di dalam restoran dan beredar," jelas Hogan.
Beg tersebut kemudian dipulangkan kepada pemilik asalnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: