Tuesday, October 8, 2013

Al-Sa'adah kompleks bersepadu saudara baharu



PENULIS dan jurugambar Wahidin Salim berpusing-pusing di sekitar Jalan Rahang, Seremban, Negeri Sembilan mencari sebuah bangunan yang kini menjadi buah mulut dalam kalangan komuniti mualaf Cina di seluruh Malaysia.
Berpandukan foto bangunan yang dirujuk daripada internet, kami berdepan sedikit kesulitan mencari tempat tersebut. Selepas bertanya kepada beberapa penduduk sekitar, barulah kami tiba di lokasi tersebut.
Bangunan itu terletak betul-betul di pinggir jalan yang sunyi, redup dipayungi pohon-pohon besar. Papan tandanya tertera jelas, Kompleks Al-Sa'adah. Ya, itulah bangunan yang kami ingin kunjungi untuk eksplorasi murni kali ini.
Kedatangan kami disambut seorang lelaki berkopiah. Janggutnya sederhana panjang, mengingatkan saya kepada watak dalam drama Cina klasik ditambah pula dengan alis kening tebal dan mata sepetnya. "Tidak susah bukan mencari tempat ini?" ajunya kepada kami yang masih keliru dengan reka bentuk kompleks tersebut.
Lelaki itu, Muhammad Ridzuan Lau Abdullah, 33, kemudiannya menuntun kami ke bahagian atas kompleks berusia dua tahun tersebut. Sebelum tiba di ruang utama solat, pengunjung perlu melewati taman mini bangunan tersebut.
Pandangan dijamu dengan kehijauan pokok-pokok hiasan yang sinonim dalam komuniti Cina. Sejenis bonsai daripada kumpulan ficus diletakkan di setiap penjuru empat taman kecil itu dan di tengahnya terletak indah pasu-pasu dengan ukiran tulisan Cina berisi pohon fir China.

KELAS agama yang dijalankan di kompleks ini bertujuan membimbing saudara baharu dalam Islam dan diadakan secara percuma.


"Secara asas, kompleks ini didirikan berteraskan nilai-nilai kesenian masyarakat Cina. Seni binanya diinspirasikan daripada Masjid Besar Xian di wilayah Shaanxi, China manakala reka bentuknya menerapkan ciri-ciri bangunan di Uzbekistan.
"Kesemua hiasan dinding dan kebanyakan bahagian bangunan yang berunsur kesenian Cina dibawa khas dari China," jelas Ridzuan yang memeluk Islam pada tahun 2001.
Fungsi
Kompleks berkeluasan 0.7 hektar itu juga mempunyai sebuah pagoda, menara bertingkat yang dikelilingi bumbung hiasan pada setiap tingkat yang juga lambang konseptual agama Buddha. Bahagian utama kompleks itu termasuk sambungan kecil juga ketara kelihatan seperti rumah ibadat agama tersebut.
"Memang pernah beberapa kali orang Cina beragama Buddha datang ke sini kerana menyangka kompleks ini tokong untuk sembahyang. Namun selepas dijelaskan, mereka terkejut dan mengagumi penerapan budaya Cina pada keseluruhan kompleks ini yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan utama Cina Muslim di Negeri Sembilan.
"Pada awalnya, orang awam keliru dan kami tidak ralat terhadap persepsi tersebut. Kompleks ini menjadi bukti bahawa kebudayaan asal sesuatu bangsa itu bukanlah pemilikan mutlak sesebuah agama dan jika orang Cina, khususnya, memeluk Islam sekalipun, kami masih bebas mengagungkan kesenian bangsa kami," penuh isi penerangan Ridzuan yang menetap di salah sebuah kuarters di kompleks tersebut.
Kompleks Al-Sa'adah yang mula beroperasi pada tahun 2011 dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Januari tahun lalu.
Cadangan pembinaan kompleks itu pada asalnya adalah bagi mewujudkan sebuah masjid khas untuk komuniti Cina Muslim di Negeri Sembilan.
Kamal Amran Kamarudin, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memberitahu, ketika itu, orang Melayu, India Muslim, Pakistan, India Malabar, komuniti berbahasa Tamil, Urdu dan sebagainya telah mempunyai masjid atau madrasah masing-masing.

KOMPLEKS Al-Sa'adah merupakan pusat perlindungan kepada mualaf Cina yang pertama di Malaysia menggunakan konsep penerapan budaya kaum Cina pada bangunannya.


"Kompleks Al-Sa'adah diwujudkan sebagai tempat untuk masyarakat Cina Muslim berkumpul dan menjalankan aktiviti mereka.
"Peruntukan operasi kompleks dan pembiayaan saudara baharu yang mendapatkan perlindungan di sini dibiayai sepenuhnya oleh MAINS melalui dana zakat (asnaf mualaf)," jelas Kamal Amran ketika dihubungi Kosmo!.
Kelas agama
Sementara itu, kompleks itu turut menyediakan kelas fardu ain dan al-Quran sepanjang minggu pada sebelah malam untuk saudara-saudara baharu di kompleks tersebut dan kawasan sekitar. Kesemua tenaga pengajar yang mengendalikan kelas tersebut datangnya daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan berpengalaman dalam mengajar kelompok mualaf.
Ketika kunjungan kami ke kompleks itu, kebetulan sedang berlangsung satu kelas agama yang dihadiri sebilangan kecil saudara baharu Islam. Seorang wanita berusia 63 tahun, Fatimah Ng Abdullah antara mualaf Cina yang sempat saya temui.
Jika diamati secara kasar, wajah warga emas itu tiada bezanya seperti wanita Muslimah lain. Siapa sangka, di sebalik tudung yang meliputi penuh kepalanya, Fatimah ialah mualaf yang sudah lima tahun setengah mendalami ajaran Islam.
Dia yang ditemani anak keduanya, Usman Hew Abdullah, 41, juga seorang mualaf dahulunya berpegang kepada kepercayaan Kristian.
"Segalanya bermula apabila seorang daripada tiga anak lelaki saya memeluk Islam dan mengahwini seorang perempuan Melayu. Kami sekeluarga menerima pilihannya dengan hati yang terbuka dan selepas itu kami mula belajar tentang Islam.
"Bagaimana solat membantu kerohanian seseorang dan keluhuran akhlak dan pekerti murni yang diterapkan Islam akhirnya membentuk dimensi berbeza kami terhadap agama ini. Arwah suami saya telah meluahkan hasratnya menganut Islam dan secara berperingkat, kami sekeluarga selamat diislamkan," kongsi Fatimah yang hampir dua tahun mengikuti kelas agama di kompleks tersebut.
Islam di China
Menyempurnakan keistimewaan Al-Sa'adah sebagai serambi dakwah mualaf Cina di negara ini adalah dengan pelantikan imam tetap kompleks itu, Abu Bakar as-Siddiq atau nama Cinanya Yu Xiao Long, 36, yang berasal dari Gansu, China.
Jangka masa empat tahun di Malaysia pada mulanya meletakkan Abu Bakar di Sarawak. Dua tahun setengah menabur bakti selaku mubaligh ajaran Islam di sana, pemilik ijazah dalam hadis, tauhid dan pengajian Islam itu kemudiannya dipanggil Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Negeri Sembilan untuk berkhidmat di As-Sa'adah sejak dua tahun lalu.

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) turut sama memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di kompleks ini.


Abu Bakar memang dilahirkan sebagai Islam dan menguasai bahasa Arab dengan sempurna. Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, proses dakwah di Malaysia kini melalui perkembangan positif.
"Konsep penyebaran agama Islam di China dan Malaysia tidak banyak beza cuma di sini bahasa menjadi antara cabaran utama. Kaum Cina di sini kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan tinggi terhadap Islam.
"Malaysia perlu memperbanyakkan pendakwah berketurunan Cina bagi melancarkan kerja-kerja dakwah. Berdasarkan pengalaman saya, ramai orang Cina di sini ingin mengenali Islam tetapi tidak menemui rujukan yang terbaik.
"Jika diimbas semula, zaman Tunku Abdul Rahman merupakan waktu kegemilangan dakwah Islam kepada orang Cina di negara ini. Ketika itu, Malaysia dan China menjalinkan hubungan dakwah Islam.
"Seorang tokoh agama Islam terkenal dari China pada masa itu juga bertanggungjawab membawa masuk imam-imam dari China ke Malaysia untuk berdakwah kepada kaum Cina di sini," ujar Abu Bakar yang dilahirkan dalam etnik Hui, suku ketiga terbesar di China dengan majoritinya beragama Islam.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: