|
TIDAK mementingkan keuntungan semata-mata, Syarikat BookXcess menetapkan matlamat yang berbeza berbanding pesaing apabila menawarkan harga serendah RM10 untuk sebuah buku.
Bermula pada 2006 dengan hanya menjual 500 buah buku, kini BookXcess menawarkan lebih 10,000 tajuk cerita dan mempunyai kira-kira 45,000 pengikut di laman sosial Facebook.
Pengarah Urusan BookXcess, Andrew Yap berkata, pihaknya tidak menetapkan matlamat perniagaan untuk mengaut keuntungan sahaja, tetapi mengambil tanggungjawab dalam membentuk amalan membaca yang didakwa semakin merosot dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya hanya ingin membina dan memupuk semangat membaca dalam kalangan anak muda di Malaysia, terutamanya kanak-kanak dengan cara memberikan tawaran hebat yang mampu dibeli oleh ibu bapa mereka.
“Salah satu faktor yang menjadikan masyarakat di negara kita jarang atau langsung tidak membaca adalah kerana tiada bahan bacaan ekoran harga buku yang mahal,” katanya ketika ditemui di BookXcess di kompleks beli-belah Amcorpmall, Petaling Jaya baru-baru ini.
BookXcess menawarkan potongan harga bermula dari 70 hingga 95 peratus termasuk buku hasil karya penulis-penulis dan tokoh-tokoh terkenal.
Menurut Pengarah Eksekutif BookXcess, Jacqueline Ng, antara sebab BookXcess boleh menjual buku berharga murah adalah kerana mereka mendapatkan bekalan buku terus daripada pembekal luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
“Kami akan ke AS dan UK untuk berjumpa dengan pembekal dan membeli beratus-ratus ribu buah buku dengan tawaran harga yang murah.
|
“Ini kerana pembekal di sana sebenarnya turut menyokong dan membantu usaha kami untuk membina semangat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Jacqueline, buku-buku yang tidak terjual tidak boleh ditolak semula kepada pembekal dan ia risiko yang perlu mereka tanggung.
Jualan tahunan
Dalam pada itu, selain menjual buku-buku murah, BookXcess turut mengadakan aktiviti jualan tahunan yang dipanggil Big Bad Wolf Goes On The Road (BBW).
Aktiviti tersebut mula dijalankan pada 2009 dengan menyediakan lebih 120,000 buah buku.
Pada BBW 2011 yang berlangsung di kompleks beli-belah The Mines, Sri Kembangan, BookXcess telah membawa masuk sejumlah 1.5 juta buah buku dari luar negara dengan 90 peratus daripadanya habis dijual.
Kira-kira 300,000 pengunjung merebut peluang membeli pelbagai buku yang diingini dengan harga serendah RM5 hingga RM10 untuk setiap buku.
Selain memberi peluang untuk rakyat Malaysia memiliki koleksi buku dengan harga berpatutan, BookXcess turut melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat.
Jacqueline memberitahu, BookXcess telah mendermakan sebanyak 12,000 buah buku kepada lapan rumah kanak-kanak angkat mereka.
“Kami akan membalut setiap buku itu dan diberikan kepada mereka sebagai hadiah. Dengan cara itu, kanak-kanak akan berasa lebih gembira dan menghargai buku tersebut dengan cara membacanya,” katanya.
Dalam pada itu, BookXcess, BBW yang akan diadakan pada bulan Disember depan menawarkan beratus-ratus ribu buah buku dan tawaran harga terendah.
Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh menghubungi BookXcess menerusi laman sosial www.facebook.com/BookXcess.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: