TERPINGGIR jauh dari dunia luar di hujung selatan kawasan berbatu Afrika, bandar Hermanus menjadi terkenal secara drastik sebagai pusat menonton ikan paus.
Setelah Afrika Selatan keluar dari pengasingan aparteid sejak dua dekad lalu, seorang pakar zoologi, Mark Carwardine telah datang ke Hermanus.
Dalam usahanya menjalankan penyelidikan tentang tempat-tempat terbaik menonton ikan paus, Carwardine sememangnya mengetahui bahawa ikan paus hidup di dalam lautan dingin di selatan perairan Atlantik.
Beliau juga berpendapat kedatangannya di Hermanus adalah kerja gila dan merupakan keputusan yang paling tidak wajar.
Bagaimanapun, ketika memandang ke luar jendela bilik sewanya, beliau ternampak aksi ikan paus Southern Right yang sedang bermain-main di permukaan laut.
Carwardine telah menceritakan kekagumannya terhadap bandar Hermanus dalam bukunya berjudul Breach from the Bed dan menyifatkan pekan itu sebagai daratan meninjau ikan paus terbaik dunia.
Gelaran itu kemudiannya telah diagungkan dan menjadi kebanggaan penduduk Hermanus sejak sekian lama. Pekan Hermanus telah diterokai dan ditubuhkan pada tahun 1800 oleh seorang pengembala, Hermanus Pieters. Namun, aktiviti menonton ikan paus hanya bermula pada lewat 1990-an.
"Rasa ingin tahu orang ramai semakin meningkat hari ini," kata seorang bekas ahli perniagaan Ken Moore.
Perayaan ikan paus
Moore telah meninggalkan kerjayanya untuk menjadi pemberi panduan piagam ikan paus Southern Right selepas bandar itu menjadi terkenal.
"Terdapat beberapa tempat yang bagus untuk menonton ikan paus seperti di Baja California, Mexico dan Argentina, tetapi kami telah membina infrastruktur yang hebat di sini," katanya.
Cetacean kini merupakan nadi yang menghidupkan Hermanus dan ia turut dinamakan sebagai Whale Coast.
Selain itu, pekan Cetacean mempunyai keunikannya tersendiri apabila penduduk menyambut perayaan ikan paus.
Perayaan itu diraikan sebanyak dua kali setahun. Sambutan itu diraikan dengan sebuah kisah legenda tentang seorang gadis bernama Bientanga dari etnik Khoikhoi.
Dia mampu berkomunikasi dengan ikan-ikan paus dengan mengeluarkan runut bunyi dan membawa haiwan mamalia itu ke kawasan pekan. Gadis itu juga didakwa merupakan satu-satunya 'penyeru paus' di dunia.
Teruja
Sejak penemuan Carwardine itu, kini ikan paus Southern Right berjaya menarik perhatian beribu-ribu pengunjung di Hermanus.
"Saya sangat teruja kerana tidak menyangka ikan paus akan datang begitu dekat dengan kawasan pantai," kata seorang pelancong Austria yang datang melancong bersama teman lelakinya, Desiree Neubauer.
Southern Right adalah antara spesies ikan paus yang jarang ditemui. Terdapat kira-kira 12,000 ekor spesies Southern Right berbanding sejumlah 100,000 ekor ikan paus Bryde yang terdapat di sepanjang pantai di Western Cape.
Nama Southern Right diberikan oleh penangkap ikan paus yang berpendapat mereka mempunyai hak untuk menangkap spesies itu kerana jumlahnya yang banyak.
Harga ikan paus sangat mahal kerana haiwan mamalia itu mengandungi minyak yang bernilai dan digunakan sebagai bahan asas barang solekan.
Southern Right boleh membesar sehingga 15 meter dengan berat mencapai sehingga 50,000 kilogram.
"Untuk meletakkannya dalam konteks semasa, ia bersamaan dengan berat 10 ekor gajah Afrika," kata Moore.
Setiap bulan Jun beratus-ratus ekor ikan paus akan membuat perjalanan ke pinggir Antartika sehingga November untuk mengawan dan melahirkan anak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: