Saturday, October 12, 2013

BMW pertaruh lima 1 Series



SEBELUM ini, rangkaian produk BMW 3 Series dianggap kenderaan paling kecil dalam portfolio perniagaan BMW Group namun kedudukan itu kemudiannya berubah berikutan ketibaan BMW 1 Series sekitar tahun 2004.
Sebagai permulaan, BMW Group menampilkan kenderaan varian lima pintu tetapi dalam tempoh tiga tahun, rangkaian model asas jenama Jerman itu dikembangkan dengan tambahan versi coupe, hatchback tiga pintu dan kereta berhud.
Selepas tujuh tahun menembusi pasaran global, rekod jualan terkumpul BMW 1 Series berjaya melepasi paras 2.2 juta unit. Bagi memantapkan saingan dalam segmen kompak premium, BMW Group tampil dengan generasi kedua 1 Series.
Penampilan yang mengambil tempat sempena Pameran Motor Frankfurt, Jerman dua tahun lalu menyaksikan pelancaran barisan kenderaan lima pintu. Setahun kemudiannya, varian hatchback tiga pintu pula dikeluarkan bagi menggoda peminat bercita rasa ranggi.
Di pasaran tempatan, BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) baru sahaja memperkenalkan generasi kedua BMW 1 Series. Seleksi yang ditampilkan itu merangkumi produk pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU).

RUANG kabin generasi kedua BMW 1 Series didominasi dengan tona hitam.


Varian CBU ialah BMW 125i Sport manakala 125i M Sport diimport dari Jerman. Produk yang dihasilkan oleh kilang BMW Malaysia di Kulim, Kedah pula ialah BMW 116i, 118i Sport dan 118i Urban.
Laluan generasi kedua BMW itu bukannya mudah sementelah ia perlu berperang dengan pesaing senegara yang memiliki rangkaian produk impresif, apa lagi jika bukannya Mercedes-Benz A-Class.
Sungguhpun begitu, setiap pengeluar ada kelebihan masing-masing. Antara keunikan BMW 1 Series ialah aplikasi sistem pacuan roda belakang yang diwarisi daripada generasi pertama.
Dimensi BMW 1 Series baharu sebenarnya banyak berkembang berbanding model sebelumnya. Panjang jentera ditambah sebanyak 8.5 sentimeter manakala kelebaran ditingkatkan kepada 1.77 meter.
Imej hadapan jentera masih dihiasi ciri ikonik gril ginjal, namun, tarikan utama sudah pasti terarah kepada set lampu hadapan kembar jenis Xenon.
Lampu isyarat membelok pula diadun bersama perumah cermin pandang sisi sekali gus meningkatkan ekspresi sebagai sebuah jentera premium.
Bampar hadapan yang kelihatan ringan memiliki tiga ruangan penyaluran udara bagi meningkatkan faktor aerodinamik dan proses sejukan ruangan enjin. Tambahan lain diberikan membabitkan pemasangan lampu kabus masing-masing di kiri dan kanan bampar.
Jurutera BMW Group memisahkan set lampu belakang sebagai usaha menyerlahkan lagi penampilan lebih lebar dan sporty bagi rangkaian BMW 1 Series. Reka bentuk siri itu disasarkan kepada pengguna urban yang sofistikated.

APLIKASI material kulit pada bahagian stereng varian Sport diserikan dengan sulaman benang merah.


Setiap varian BMW 1 Series diberi solekan berbeza. BMW 116i didatangkan bersama rim aloi ringan berukuran 17 inci dengan corak rim mengetengahkan rekaan huruf Y.
Memandang ruang kabin yang didominasi warna perak memberi aura tersendiri tetapi jika bakal pembeli memegang stereng bersalut kulit, hati pasti jatuh cinta pandang pertama.
Model BMW 118i Urban, jentera didatangkan dalam warna putih manakala ruang dalaman mengetengahkan kemasan hitam dan perak. Stereng sport disalut material kulit dan fabrik. Saiz rim adalah sama seperti 116i tetapi berbentuk V.
Versi Sport Line (BMW 125i dan BMW 118i) memiliki paras yang lebih dinamik dan sporty berbanding varian lain.
Hiasan luaran merangkumi gril ginjal, ruang saluran udara dan bahagian bawah cermin sisi berwarna hitam. Rim aloi yang dipasang berbentuk bintang berukuran 17 inci.
Ruang kabin memberi penekanan terhadap tona hitam dengan kekemasan merah tetapi stereng sport menerima balutan kulit bersama upholsteri Anthracite merah memberi imej garang.
Untuk BMW 125i M Sport, tambahan luaran membabitkan sistem suspensi M sport dan rim aloi ringan M berukuran 18 inci.
Profil sport ditingkatkan dalam ruangan kabin dengan adanya stereng kulit M Sport, trim papan pemuka M berwarna biru dan kemasan aluminium.
Kesemua siri baharu itu dipasang enjin empat silinder TwinPower Turbo dan transmisi lapan kelajuan automatik. Kuasa yang dijana disalurkan menerusi sistem pacuan roda belakang.

BMW Group masih mengekalkan penggunaan sistem pacuan roda belakang pada rangkaian 1 Series.


Pengurus Produk BMW Malaysia, Kidd Yam berkata, meskipun sistem pacuan itu digunakan, jentera itu diseimbangkan menerusi agihan berat 50/50 di bahagian hadapan dan belakang.
Koleksi BMW 1 Series CKD datang bersama enjin petrol bersesaran 1.6 liter beserta beberapa teknologi termaju seperti pengecas turbo dwitatal, Valvetronic, Double VANOS dan sistem suntikan tekanan tinggi.
Sungguhpun begitu, model 116i diberikan talaan berbeza berbanding siri 118i Sport dan Urban. Bagi BMW 125i Sport dan BMW 125 M Sport, enjin digunakan berkapasiti dua liter.
Selaku peneraju inovasi, BMW Group mengetengahkan beberapa ciri BMW EfficientDynamics untuk menempatkan siri model berkenaan selangkah di hadapan pesaing.
Ciri dimaksudkan adalah Brake Energy Regeneration, fungsi Auto Start/Stop dan mod pemanduan ekonomik (ECO PRO).
Generasi kedua BMW 1 Series kini boleh didapati menerusi semua pengedar rasmi BMW Malaysia di seluruh negara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: