KUALA LUMPUR: Kontroversi mengenai perkahwinan rahsia Aeril Zafrel dan Wawa Zainal masih lagi menjadi teka-teki apabila aktor itu enggan mengesahkan mengenai isu tersebut.
Aeril, yang ditemui di set penggambaran telefilem Kecoh Kuih Semperit di Tasik Ampang Hilir di sini pada Selasa berkata, dia akan membuat sidang media khas pada Jumaat ini selepas solat Jumaat bagi meleraikan segala persoalan mengenai hubungannya dengan Wawa.
"Saya tidak boleh komen buat masa ini dan akan membuat sidang media khas pada Jumaat ini bersama Wawa.
"Dan segala persoalan akan dijelaskan pada masa itu, tetapi bukan sekarang. Sidang media dibuat supaya sebarang kenyataan tidak bercanggah," katanya kepada wartawan.
Pada Ahad lalu sebuah akhbar menyiarkan laporan eksklusif kononnya Aeril atau nama sebenarnya Suharil Suhari, 25, sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Wawa Zainal, 22, pada 4 Februari lalu secara senyap.
Hasil perkahwinan itu mereka dikatakan telah mendapat anak pada 24 Ogos lalu yang diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.
Sebelum ini Wawa dikatakan pulang ke negeri kelahirannya di Sabah untuk berubat kononnya akibat terkena buatan orang.
Ketika ditemui media pada Selasa Aeril bersikap terbuka memberi kerjasama untuk berhadapan dengan media selepas gagal dihubungi sebelum ini.
Malah ketika pelbagai persoalan diterjah, Aeril yang ditemani pengurusnya, Shahirman Wahab dan peguam, Zulhasmi Zakaria tetap menjawab soalan dengan tenang.
Aeril memberitahu dia menggunakan khidmat peguam untuk mendapat nasihat mengenai isu tersebut.
Dalam pada itu Shahirman berkata pada sidang media itu nanti pihaknya akan merakam segala sesi soal jawab untuk dijadikan bahan bukti bagi memudahkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung kontroversi itu.
“Kami percaya, isu ini ditimbulkan kerana ada pihak lain sengaja mahu mengenakan kami. Jadi, kami akan rakamkan segala yang akan berlaku pada sidang media itu nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: