Friday, April 5, 2013

Segalanya tentang hijab


HIJAB Walk disertai oleh kanak-kanak serta gadis-gadis di sekitar taman KLCC untuk memberikan setangkai bunga ros dan tudung kepada kaum Hawa.


SEBUT sahaja hijab pasti semua dapat membayangkan wanita ayu menutup bahagian kepala bagi mengelakkan rambutnya kelihatan. Namun, definisi hijab itu meluas dan ia bukan sekadar menutup bahagian kepala sahaja, tetapi menutup aurat mengikut syariat Islam.
Tidak dinafikan ramai dalam kalangan anak-anak gadis kini, semakin cenderung mengenakan hijab atau tudung bagi memenuhi tuntutan Islam, namun hakikatnya ada antara mereka masih tidak faham mengenai istilah menutup aurat dalam konteks Islam.
Menyedari situasi tersebut, komuniti Facebook, We Are Beautiful, Allah Love Us dengan kerjasama Wanita Ikram Wilayah Persekutuan Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan sebuah program iaitu Hijab Event 2013.
Program yang berlangsung Februari lalu bertempat di Masjid Asy-Syakirin, KLCC bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat idea sebenar mengenai aurat menurut pandangan Islam.
Walaupun hijab bukan satu perkara baharu dalam kalangan masyarakat Malaysia, masih terdapat kekeliruan mengenainya.
Program yang bermula seawal pukul 8 pagi dan berakhir pada 1 tengah hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti yang direncanakan pihak penganjur.
Antaranya ialah Hijab Walk, forum Hijab Talk, demonstrasi hijab dan pertandingan video.
Program yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris berikutan terdapat panel jemputan dan peserta berbangsa asing itu berjaya menarik minat 350 orang peserta walaupun sasaran asalnya adalah seramai 300 orang peserta sahaja.

DEMONSTRASI pemakaian hijab dilakukan sebagai selingan forum.


Bertudung kerana Allah
Apabila berbicara tentang hijab pastinya penyertaannya meliputi golongan Hawa sahaja dan terbuka kepada wanita Islam dan bukan Islam.
Ruang solat masjid tersebut hari itu dipenuhi dengan wanita pelbagai lapisan umur yang sedang khusyuk mendengar butir bicara ahli panel dan tidak kurang pula mencatat nota supaya pesanan sentiasa tersemat di ingatan.
Menurut Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, ada segelintir wanita memakai tudung kerana suami dan ayah. Jika tidak, mereka tidak akan memakainya.
“Mereka pakai tudung kerana orang, bukannya kerana tuntutan agama dan suruhan Allah.
“Pakai tudung bukan kerana emak suruh, tetapi kerana Allah mahukan kita berbuat demikian dan lakukannya semata-mata kerana Allah,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan Ikram Malaysia.
Tambahnya, dengan menutup aurat, ia menimbulkan hubungan santun antara manusia berlainan jantina. Wanita yang menutup aurat akan berasa selesa, selamat, dihormati dan sejahtera.
Harlina mengumpamakan menutup aurat seperti bonggol jalan kerana orang akan berhati-hati apabila berinteraksi selain ia meningkatkan keyakinan diri.
“Harus diingat bahawa, hijab bukannya rambut palsu yang boleh ditukar-tukar. Banyak persepsi salah mengenainya dan menganggap memakai hijab sekadar menutup rambut sahaja.
“Topi juga bukan pengganti hijab, ada juga menggunakannya walhal ia tidak menutup aurat yang sepatutnya sama seperti gaya bertudung kini yang keterlaluan,” ujarnya menggalakkan pemakaian tudung yang sederhana.
Bagi wanita yang berhijab Harlina mengingatkan supaya tidak ’menghukum’ rakan yang tidak memakai hijab atau baharu sahaja yang mengenakannya kerana mereka mungkin lebih baik daripada diri si penilai.

PESERTA ini menarik perhatian hadirin turut menyuarakan pendapatnya mengenai hijab.


Bersederhana
Dalam pada itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Fadila Grine yang turut menjadi panel pada forum Hijab Talk memberitahu ada sebahagian wanita berhijab, tetapi sebenarnya ‘berbogel’ kerana memakai baju yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh.
“Ada pula yang mengambil masa terlalu lama untuk memakai tudung kerana mahu nampak cantik.
“Kenapa ini terjadi? Sebab mahu membuatkan orang tertarik kepadanya. Itu sudah salah sama sekali, kita seharusnya memakai hijab kerana Allah,” katanya.
Fadila memberitahu, pemakaian hijab perlu selari dengan konsep haya’ (malu) iaitu malu kepada Allah atas segala perbuatan yang melanggar perintah-Nya.
“Pakailah hijab secara sederhana dan tidak keterlaluan hingga tidak menepati syariat.
“Hijab bukan sekadar menutup luaran sahaja, malah dalaman (hati) juga perlu dititikberatkan juga dengan menunjukkan contoh yang baik,” ujarnya.
Ketika forum berlangsung yang dikendalikan oleh selebriti terkenal, Wardina Safiyyah Fadlullah, pengunjung di taman KLCC didatangi oleh wanita dan kanak-kanak yang melakukan Hijab Walk.
Pengunjung di taman, baik wanita Islam mahupun bukan Islam diberikan sekuntum bunga ros dan sehelai hijab selain risalah mengenai menutup aurat secara sempurna.
Tidak mahu hadirin hanya mendengar forum, diadakan juga demonstrasi empat jenis gaya pemakaian tudung oleh label tudung, Jumana selain mengadakan gerai-gerai jualan di ruang legar masjid.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: