Faizal Joran tawar RM40,000
Pihak Faizal Joran dan kakitangan Jabatan Landskap Johor melepaskan sebahagian ikan keli ke dalam tasik di Taman Botani Johor, Sri Medan.
BATU PAHAT - Kaki pancing di daerah ini, sekali lagi berpeluang merebut  ‘durian runtuh’ yang ditawarkan Faizal Joran pada pertandingan memancing di Taman Botani Johor, Sri Medan pada 1 Mei depan.

Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM40,000 bagi juara itu adalah susulan pertandingan sebelum ini yang diadakan di Wet World Batu Pahat (Tasik Merdeka), 14 April lepas.

Penganjurnya, Ahmad Hamizan Mohd Din berkata, selain hadiah utama yang lumayan, penerima tempat kedua dan ketiga bakal membawa pulang wang tunai tidak kurang RM10,000 dan RM5,000.

“Manakala, pemenang sehingga tempat 70 bakal menerima wang tunai bermula RM250 hingga RM1,000, dan bagi 500 pendaftaran awal akan menerima sehelai ‘t-shirt’ edisi terhad daripada kami selain 10 cabutan bertuah menanti pengunjung.

“Pendaftaran akan mula dibuka pada 30 April ini jam 3 petang dan setiap pertandingan akan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM100. Mereka yang mempunyai pertanyaan berkaitan pertandingan boleh menghubungi kami di talian 019-982 8969, 019-9462777 dan 019-902 2777,” katanya kepada Sinar Harian.

Pertandingan berkenaan telah mendapat kerjasama daripada Kelab Sukan dan Rekreasi, Jabatan Landskap Johor yang diketuai Pengarahnya, Abu Bakar Mohamed Salleh.

Sementara itu, menurut Abu Bakar, pemilihan Taman Botani Johor, Sri Medan ini sebagai  lokasi pertandingan memancing  adalah untuk memperkenalkan taman  berkenaan yang juga salah satu  daripada 12 taman botani seluruh negara.

Menurutnya, taman botani berkenaan yang satu-satunya berada di Johor ini dibuka secara rasmi pada 2006 dan ia mempunyai dua tasik utama dan ditumbuhi pelbagai tumbuhan herba yang dipelihara.

“Taman botani ini berfungsi  sebagai lokasi penyelidikan kepada beberapa universiti tempatan dan mempunyai kemudahan makmal selain terdapat dua tasik utama iaitu Tasik Bukit Besi juga Tasik Bukit Belah.

“Taman ini dibuka kepada umum setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali waktu cuti. Bagaimanapun, bagi aktiviti memancing dan rekreasi ia dibuka bermula jam 7 pagi sehingga 7  malam,” katanya.