Sunday, April 28, 2013

Fizz membasuh trauma



BERDENTUM bagai guruh kemudian hingar-bingar kontroversi terletus, dia bagaimanapun memilih untuk membisu. Baginya bercakap hanya pada ketika perlu, takut terlebih akhirnya diri sendiri yang menanggung impak.
Dikritik dan diselar, dia dijatuhkan hukum karma. Semuanya sedang dimamah dan ditelan walaupun kelat sehingga ada yang tersekat di kerongkong. Fizz Fairuz menerima nasib yang tidak diundang akibat salah percaturan.
Bunga yang disunting milik orang. Itulah terjadi kepada aktor popular itu apabila wanita yang dilamar penuh adat dalam sebuah majlis peminangan akhirnya diberitakan sebagai isteri orang. Malunya bukan kepalang walhal sebelum itu Fizz membisu saat diburu media gara-gara melangsungkan pertunangan tanpa pengetahuan umum.
Lebih parah lagi, pertunangan dengan wanita bernama Azlyn Massiela itu juga dilihat sebagai bukti kecurangan Fizz terhadap Almy Nadia. Dihentam dari kiri dan kanan, dikecam sebagai lari daripada masalah dan enggan bekerjasama dengan media, Fizz tiba-tiba dibayangi mendung kelabu.
"Dua minggu saya berdiam diri, duduk rumah dan berfikir masak-masak. Saya biarkan setiap panggilan telefon yang masuk, saya tahu orang pasti marahkan saya.
"Rasanya berdiam itu lebih baik daripada saya mengeluarkan kenyataan yang dalam keadaan saya yang masih keliru, bingung, kecewa dan marah. Tempoh itu juga saya cuba mencari kebenaran. Orang kata saya lari, bersembunyi dan macam-macam. Senior-senior dalam bidang lakonan pun banyak yang berikan saya nasihat. Kalau saya terus berjumpa media, akan berlaku situasi balas-membalas dan banyak salah faham akan timbul," katanya yang semakin menemui kejernihan.
Tragedi tetap tragedi, bagi Fizz juga, apa yang berlaku juga bukanlah bencana yang akan meruntuhkan ketahanan kariernya. Jika ada pernah beranggapan perkara itu satu muslihat demi agenda meraih semula populariti yang dikatakan semakin menurun, pandangan itu juga terlalu jauh daripada hakikat.
"Selebriti jadi popular kerana peminat menyukai pembawaan diri, kerja, produk drama atau filem mereka. Bukan kerana gosip atau cerita sensasi begitu. Mungkin ada yang popular kerana cerita sensasi tapi adakah ia berkekalan. Untuk sampai ke tahap sekarang, saya ambil masa yang sangat lama, pandangan itu salah," katanya yang bagaimanapun tidak mahu menghukum mana-mana pihak.
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, itu wayang hidup yang terpancar daripada kelibat Fizz. Hujan panas sudahpun reda namun, ada juga merasakan imejnya tercalar gara-gara kisah jodoh dan cinta yang tidak kesampaian itu.
"Saya tak rasa begitu. Rasanya banyak pihak yang sudah faham situasi sebenar. Semua sudah kembali normal. Kalau saya keluar pun, saya tak nampak orang pandang serong kepada saya.
"Tempat saya di sini, jadi tidak akan pandang ke belakang semata-mata kerana peristiwa begitu. Saya ingat lagi kata-kata seorang pelakon senior, katanya jangan biarkan karier saya dihancur oleh seorang wanita. Fizz hari ini tetap Fizz yang dahulu. Cuma sebagai lelaki saya menjadi semakin matang dan lebih berhati-hati dengan wanita," katanya yang berharap menemui wanita yang lebih baik untuk dijadikan calon isteri.
FIZZ bergandingan bersama Wan Sharmila sebagai abang dan adik dalam filem Bisikan Syaitan yang akan berada di pawagam 2 Mei nanti.


Ketagih bahagia
Sebagai lelaki yang sudah berusia 33 tahun, selain terus bertahan dalam industri lakonan Fizz tidak menafikan impiannya keduanya ialah berkahwin dan mempunyai cahaya mata.
"Seperti kata ibu saya, jika bertemu calon yang sesuai, yang dipastikan bukan kekasih, tunang atau isteri orang, dia mahu saya segera berkahwin. Saya juga teringin untuk hidup bahagia bersama seorang wanita yang sah sebagai isteri, mahu jalan-jalan sambil tolak kereta sorong anak," luahnya tanpa mahu mengungkit cerita lama saat nama Almy Nadia cuba diselitkan dalam perbualan.
Tidak mahu terburu-buru membicarakan soal teman pengganti, sebalik jalan terbentang dalam karier lakonan mahu ditempuhi sebaik-baiknya. Itu tekad Fizz.
"Karier jadi keutamaan saya sekarang. Rasanya anak seni memang begini, jiwa mereka sensitif dan saya sendiri agak trauma atas apa yang berlaku," beritahu pemilik nama Mohd. Fairuz Zainal Abidin sedikit beremosi.
Harap impak Bisikan Syaitan
Mengenal erti lakonan sejak tahun 1996, sehingga kini Fizz menganggap pencariannya untuk mencapai impak tertinggi dalam karakter terhasil menerusi drama bersiri Nur Kasih, empat tahun lalu.
"Betapa karakter dan skrip sesebuah karya itu memberi pengaruh ke atas penerimaan peminat dalam industri. Sebab itulah saya beranggapan, seseorang pelakon juga harus buat pilihan yang tepat," ujarnya sambil menamakan filem Hantu Kapchai juga sebagai antara filem yang berjaya memberi impak kepada dirinya di arena perfileman.
Bakal muncul sebagai Kamil menerusi sebuah filem seram berjudul Bisikan Syaitan, filem arahan pengarah muda Faizul A. Rashid itu juga antara filem yang dinanti-nantikan olehnya.
Menjalankan penggambaran sekitar dua tahun lalu, filem terbitan Lightbulb Pictures itu bakal menemui penonton pada 2 Mei nanti.
"Ini filem genre seram ketiga selepas Orang Minyak dan Dendam Orang Mati. Saya anggap Faizul seorang pengarah yang bijak, dia banyak buat kajian. Kelebihannya sebagai seorang editor juga boleh pengaruhi efek seram filem berkenaan," katanya membawa watak Kamil, suami kepada Soraya lakonan Nabila Huda dalam filem itu.
Turut berganding dengan pelakon Wan Sharmila sebagai adik kandungnya bernama Kamilia, bagi Fizz kolaborasi dalam Bisikan Syaitan itu satu pertaruhan karakter dan penghayatan lakonan bukannya menjual sensasi atau populariti semata-mata.
"Saya, Nabila dan Sharmila berdiri atas garis yang sama. Kami satu kepala. Nabila dan Sharmila pula jenis pelakon yang sanggup berlakon dengan 'muka pecah' janji boleh beri lakonan yang mantap," katanya yang turut berganding dengan Wan Sharmila dalam sebuah siri gameshow bertajuk Seiring Jalan untuk RTM.
Di sebalik kisah Kamil, suami dan lelaki yang menggunakan ilmu hitam untuk kesenangan dunia, Fizz percaya elemen seram dan alam ghaib dalam filem bukanlah sesuatu yang mustahil dalam kehidupan.
"Datuk saya seorang pawang. Dahulu, pernah juga saya mengikut dia pergi berubat. Walaupun bercerita tentang ilmu hitam tapi di hujung cerita, kita sebenarnya bukan mempromosikan kebatilan tetapi ada juga moral cuba yang diterapkan," ungkap Fizz yang kini sibuk di lokasi drama bersiri Mencari Cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: