Johan, 26, berkata, walaupun masih lagi belum sempurna sebagai lelaki soleh, dia cuba memastikan untuk menjalankan tanggungjawabnya memenuhkan perkara wajib dalam rukun Islam iaitu tidak meninggalkan solat lima waktu.
"Sebelum ini saya pernah menunaikan umrah ketika mengadakan penggambaran di Mekah menerusi drama Syahadat Cinta dan Tersalah Cinta. Tetapi ketika itu saya tidak terlalu fokus dengan ibadat dan lebih tertumpu pada kerja.
"Tetapi apabila kali kedua saya ke Mekah bersama-sama dengan penyanyi Hafiz Hamidun, terasa beza dan sayunya berada di sana. Saya juga saya mengambil kesempatan itu melakukan ibadah sebaik-baiknya dan bermuhasabah diri.
"Alhamdulillah, sejak pulang dari Mekah, saya sentiasa ke masjid. Dan azam saya kali ini adalah untuk lengkapkan solat wajib. Saya mahu berubah menjadi insan yang lebih baik, tetapi mahu buat dengan perlahan-lahan, Insya-Allah," katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama Karlos itu berkata, ketika menunaikan umrah, dia juga mendoakan keharmonian negara agar tiada terjadi perkara-perkara buruk pada masa akan datang.
"Biasalah sekarang ini macam-macam perkara pelik yang berlaku di negara ini jadi saya berdoa kepada Allah agar Malaysia aman dan makmur.
"Sebagai seorang rakyat, menjadi tanggungjawab dan adalah wajar untuk saya berbuat demikian," tuturnya.
Sementara itu Johan memberitahu bahawa dia kini menjadi duta kepada Dewan Pemuda Masjid Malaysia di mana dia akan ke beberapa masjid melakukan ceramah yang berkaitan dengan isu-isu remaja.
"Sehingga kini saya telah melakukan beberapa ceramah di sekolah dan masjid. Alhamdulillah. Nak kata ceramah pun tak juga, tetapi lebih berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman kepada budak-budak remaja.
"Syukur, saya menerima respons yang baik daripada golongan remaja ini. Mereka cukup bersemangat mahu mendengar pengalaman saya selain bertanyakan pelbagai soalan," ujarnya
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: