Friday, April 26, 2013

Fesyen antarabangsa Sazzy Falak



AWALNYA dia bergaya dengan baju penaja atau sendiri di kaca televisyen. Kemudian figura ini sentiasa dilihat, dibelek malah dijadikan salah satu rujukan dalam dunia fesyen tempatan. Sazzy Falak, selebriti yang tidak lekang dengan perkataan fesyen dan seni. Sekali gus dia membawakan dua item ini berjalan seiring menjadikan dirinya antara selebriti yang tidak pernah salah gaya.
Tuah seakan-akan datang bergolek. Cerita pemilik nama Sazlini Shamsul Falak, ibu kepada dua cahaya mata kembar ini, dia sentiasa mengangankan jenama miliknya menjejak tanah New York. Kota fesyen dunia itu menjadi sasaran dalam minda dan keinginan Sazzy yang sudah muncul dengan jenama fesyen Street Fashion by Sazzy Falak sejak Januari lalu.
"Syukur kerana saya akan ke Minggu Fesyen New York pada 7 hingga 9 September ini membawakan jenama saya. Ini memang sesuatu yang saya inginkan untuk masa depan. Rekaan saya sudah disahkan oleh Plitz.com," ujarnya sambil tersenyum seolah-olah sudah seakan-akan meletakkan sebelah kakinya di kota fesyen antarabangsa.
Muncul dengan jenama fesyen Street Fashion by Sazzy Falak pada awal tahun ini, Sazzy juga berazam membawa nama dan identiti Malaysia di mata dunia.
"Masih berteraskan street fashion, tetapi keistimewaannya kelak ialah saya memasukkan unsur batik dalam fesyen yang akan dibawa ke mata dunia. Ia merupakan gabungan unsur urban dan batik yang dikahwinkan menjadi sesuatu yang fusion," jelasnya yang memang dilihat sebagai seorang fashionista Malaysia.
Tambahnya lagi: "Satu kebanggaan buat saya apabila dipanggil ke minggu fesyen di sana. Menariknya beberapa minggu sebelum saya mendapat panggilan, saya memang berada di Amerika Syarikat dan berdoa agar saya dapat menjejakkan kaki ke New York berserta fesyen saya. Akhirnya, impian saya terlaksana. Saya dan pihak penganjur berkomunikasi melalui Skype dan September ini saya akan ke sana," jelasnya dengan nada penuh keterujaan.
SAZZY cukup teruja untuk mempersembahkan fesyen miliknya sendiri iaitu Street Fashion by Sazzy Falak di New York pada September ini.


"Sekarang saya dan pasukan sedang memberi fokus utama pada pertunjukan fesyen itu dan kita akan cuba memperkenalkan batik yang diberi nafas sesuai dengan jenama pakaian saya," katanya yang kini memberi perhatian penuh terhadap penglibatan perdananya dalam minggu fesyen luar negara.
Sebagai informasi, Minggu Fesyen New York Plitz diasaskan oleh Plitz Fashion Marketing pada tahun 2004. Berkolaborasi dengan pereka fesyen baharu yang muncul dalam dunia fesyen antarabangsa dan domestik, mereka menyediakan peluang serta platform bagi pameran serta pendedahan jenama.
Pihak Minggu Fesyen New York Plitzs telah mewujudkan rangkaian indipenden bagi para pereka fesyen. Manakala Plitz Fashion Marketing merupakan pakar dalam reka bentuk, pemasaran, latihan, pengeluaran, pengkomersialan fesyen dan sebuah platform pemasaran acara, dengan tujuan untuk mewujudkan kerjasama erat antara pelanggan dan dunia fesyen.
Mahu kelihatan seperti 20-an
Masih menyentuh soal gaya dan pemakaian, Sazzy ketawa apabila dipuji tentang sosok badannya yang kelihatan kekal langsing dan kecil persis zaman anak daranya dahulu.
Ironi, dia kini sudah berusia 32 tahun dan memiliki dua orang cahaya mata.
SAZZY cukup menitik- beratkan soal kesihatan dan kecergasan tubuh badan.


"Saya cuba menafikan usia kalau dalam berfesyen. Masih mahu kelihatan seperti zaman 20-an. Kalau khalayak lihat, stail saya berfesyen masih sama seperti waktu saya di usia tersebut," ketawanya yang mahu sentiasa kelihatan muda.
Namun yang menjadi perkara penting buat isteri Nazril Idrus ini ialah memiliki tubuh yang sentiasa cergas. Malah dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang turut mempunyai antusias terhadap sukan dan kehidupan yang cergas.
"Saya memang gemar ke gim, malah lebih rajin daripada saya solo dahulu. Kecergasan adalah penting buat saya. Bagi saya tidak perlu ada alasan untuk tidak melakukan sesuatu. Kebetulan suami saya juga memiliki minat yang serupa.
"Perlu selalu berada di hadapan kaca televisyen (tv) membuatkan saya menggunakan itu sebagai kelebihan. Saya perlu kelihatan kemas dan cergas di kaca tv. Saya juga mahu kelihatan seperti usia 20-an, sentiasa," ketawanya bersambung sebelum berakhirnya temuramah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: