Saturday, April 27, 2013
Imej sporty, karakter famili!
HONDA Civic mempunyai legasi yang sangat besar. Model itu mula diperkenalkan pada tahun 1972 dan telah terjual jutaan unit di seluruh dunia.
Sewaktu mula dipasarkan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1970-an, Civic mendapat sambutan hangat kerana pada masa itu negara tersebut mengalami krisis minyak.
Di AS, Honda Civic lebih kepada kereta rakyat untuk kegunaan orang ramai sebagai kenderaan harian mereka. Berbeza di tempat kita, Civic diposisikan sebagai jenama pertengahan, sesuai dengan harganya. Berikutan posisi tersebut, Civic telah mencapai status kereta idaman. Mereka yang memilikinya sudah mencapai sesuatu dalam hidup.
Oleh kerana legasi dan rekod kualiti yang baik, Civic mempunyai nilai jualan semula yang stabil. Lihat sahaja di ruang iklan kereta terpakai, harga Civic masih lagi melekat pada aras puluhan ribu ringgit. Bukan setakat itu, Civic dipuja oleh pelbagai selera pasaran. Ada yang membeli kerana imejnya yang sporty, eksekutif dan keluarga.
Harus tahu, Civic melalui beberapa generasi mempunyai model prestasi yang dikenali sebagai Type-R. Model tersebut diubah suai secara rasmi oleh Honda kerana perlumbaan adalah jiwa syarikat itu. Lebih menarik Honda Malaysia secara rasminya telah membawa masuk Civic Type R dan Malaysia adalah negara jualan rasmi kedua selepas Jepun.
Tidak cukup dengan model prestasi, Honda turut memberi perhatian kepada alam sekitar apabila memasarkan Civic Hybrid. Lengkaplah varian Civic untuk pelbagai jenis kehendak pasaran.
Honda Civic generasi kesembilan telah dilancarkan di Malaysia pada bulan Julai tahun lalu. Model baharu itu mempunyai sejarah kontroversi yang bertimpa-timpa. Apabila dilancarkan pertama kali di AS, ramai yang mengutuk reka bentuknya tidak radikal model sebelum ini.
Kemudian, program CKD terganggu kerana banjir besar di Thailand. Honda sendiri terputus bekalan untuk beberapa model penting sementara menunggu operasi pulih sepenuhnya. Akhirnya Civic berjaya dilancarkan di negara kita, namun ramai pula yang mengkritik reka bentuknya.
Sebabnya, reka bentuk Civic baharu lebih konservatif berbanding model generasi kelapan. Tambahan pula, Civic baharu dibangunkan ketika ekonomi dunia meleset. Jangkaan pada waktu itu adalah pasaran mahukan kereta yang ekonomikal.
Falsafah evolusi
Hakikatnya, jika dibuat kajian mengenai reka bentuk kereta-kereta Honda, syarikat itu banyak menggunakan falsafah evolusi berbanding revolusi. Ramai yang sukakan Civic generasi kelapan kerana model itu menampilkan reka bentuk yang radikal, berbeza sepenuhnya berbanding model terdahulu.
Dengan generasi kesembilan, Honda dilihat kembali kepada falsafah utamanya iaitu menggunakan konsep evolusi. Model generasi kelapan telah ditambah baik, permukaan yang kasar dilembutkan. Aspek tidak seimbang dilaraskan dan hasilnya lahirlah sebuah Civic baharu dengan rekaan yang segar, lembut dan beremosi.
Saya tahu ramai yang berpendapat model ini tidak jauh bezanya dengan City. Benar, kerana reka bentuk City adalah bahasa rekaan Honda yang terkini. Hakikatnya bahasa rekaan adalah identiti sesebuah jenama. Anda boleh saksikan melalui model-model BMW misalnya. Sama ada 3 series, 5 series masing-masing ada persamaan dan ini dikenali sebagai DNA.
Cuma mungkin, Honda memperkenalkan bahasa rekaan baharu melalui model City, model termurahnya dan kemudian diperkenalkan pula pada Civic. Situasi pasti berubah jika Honda memperkenalkan gaya bahasa baharu daripada model paling premium dan kemudian diturunkan ke model bawahnya. Secara peribadi saya tidak mempunyai masalah dengan reka bentuk Civic baharu. Malah lebih menyukainya berbanding model lama. Civic baharu lebih seksi, beremosi dan sporty - satu ciri DNA Honda.
Sebenarnya Honda telah menala kereta ini mengikut selera orang kebanyakan dan supaya lebih menjimatkan. Karakter pemanduannya lebih sopan. Ia sesuai untuk orang berkeluarga dan mesra wanita.
Pautan sterengnya ringan semasa keluar-masuk parkir dan memberat pada kelajuan tinggi atau semasa mengambil selekoh. Suspensinya pula lembut tetapi tidak beralun-alun, cuma mungkin terasa keras dan sedikit kasar kerana kombinasi tayar 215/45 dengan rim bersaiz 17 inci.
Karektor enjin
Kuasa enjin pula tidak agresif dan sangat bersahaja. Ditambah pula butang ECON yang menala semula respon pedal minyak, penyaman udara dan sistem lain untuk lebih ekonomikal Pecutan enjinnya dirasakan mendatar dan saya fikir itulah pengorbanan yang harus diterima untuk penggunaan minyak yang ekonomikal.
Apa pun karakter enjin i-VTEC tetap menyerlah. Bagi mereka yang mahukan prestasi, alihkan sahaja seleksi gear D ke S untuk merasai karakter enjin yang berbeza dan bertenaga. Untuk penggunaan minyak, secara purata saya memperolehi bacaan 10.4km untuk setiap liter petrol. Teknologi hijau diserlahkan lagi dengan meter bantuan Eco Assist untuk memberitahu corak pemanduan si pemandu.
Jika minyak ditekan secara semborono, nyalaan meter berwarna merah dipaparkan dan warna biru pula keluar bila pemanduan sederhana. Untuk mendapatkan nyalaan meter berwarna hijau iaitu tahap paling menjimatkan, pemandu perlu menekan minyak dengan sangat cermat dan lembut. Menariknya, pemanduan tidak semestinya perlahan bahkan saya mendapat warna hijau walaupun pada kelajuan menghampiri 120 km/j. Apa yang penting ialah disiplin pada kaki supaya tidak memerah minyak 'tak ingat dunia!'
Dari segi dalaman pula, Honda memang pandai memaksimumkan ruang. Nampak dari luar seperti padat, tetapi saiz dalamannya sebenarnya selesa untuk pemandu dan penumpang. Kerusi pemandu dan penumpang yang dibalut kulit terasa empuk dan sesuai untuk perjalanan jauh. Cuma yang saya tidak gemar ialah saiz papan pemukanya yang besar.
Selain itu, reka bentuk set pemain cakera padat juga kurang menarik dan seperti tidak sepadan dengan rekaan futuristik papan pemuka. Mungkin itu adalah strategi supaya pelanggan membeli varian Navi dengan pelbagai kemudahan seperti sambungan Bluetooth, kamera undur dan sebagainya.
Tetapi semua peralatan itu boleh dikatakan sebagai standard kilang pada masa sekarang terutama pada kereta Korea. Wajar jika Honda dapat menjadikannya sebagai aksesori standard. Dari segi keselamatan pula, Honda Civic 2.0S didatangkan dengan empat beg udara iaitu dua di depan, manakala bakinya di sisi selain daripada ABS dan VSA.
Secara kesimpulannya, saya sukakan Honda Civic kerana reka bentuknya yang sporty. Jika ditambah dengan kit Modulo, lebih menyerlah DNA Honda itu.
Teknologi penjimatan minyaknya juga canggih dan segala kekurangan yang ada pasti dimaafkan kerana pada penghujung hari apa yang penting ialah poket tidak menipis.
Honda Civic 2.0S dipasarkan pada harga hampir RM132,000. Mungkin ada yang merasakannya agak tinggi dan isu itu boleh diatasi dengan menambah pakej spesifikasi standard supaya dilihat lebih nilai untuk wang dan berbaloi berbanding pesaingnya yang lain. Apa pun, Civic tetap menang kerana jenama Honda yang kuat dan rekod nilai jualan semula Civic yang stabil.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: