Judika atau nama sebenarnya Judika Nalon Abadi Sihotang, 35, berkata, dia adalah seorang peminat setia kumpulan Search dan sangat mengagumi suara Amy dan lagu-lagu nyanyiannya.
"Sehingga ke hari ini saya masih meminati Amy dan lagu-lagunya dan sudah tentu lagu Isabela adalah kegemaran saya dan sering saya nyanyi jika mengadakan persembahan.
"Manakala Faizal saya mengagumi kelainan yang ada pada dirinya dan sepanjang mengenalinya semasa sama-sama terlibat dalam program Ikon ASEAN dia seorang yang berbakat besar," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya di Hotel Royal dekat sini, Sabtu.
Pada petang itu juga, Judika sempat menyampaikan beberapa buah lagu hitsnya seperti Bukan Dia Tapi Aku, Setengah Mati Merindu dan beberapa buah lagu terbaharunya dalam sebuah mini showcase yang dihadiri lebih 200 peminat.
Tambah Judika, jika diberi peluang dia ingin merakamkan semula lagu Cinta Kita (Fantasia Bulan Madu) nyanyian Amy secara berduet.
Dalam pada itu, Judika berkata, dia tidak pernah menyangka lagu Aku Yang Tersakiti meraih populariti yang disifatkan sebagai luar biasa daripada peminatnya.
Jelas Judika, lagu berkenaan ditulis tentang pengalamannya sendiri apabila berpisah dengan kekasihnya yang meninggalkan kesan dalam hidupnya.
"Saya menulis lagu berkenaan selepas putus cinta tanpa pernah memikirkan ia akan menjadi kegemaran peminat dan sehingga kini di Indonesia sendiri lagu itu sentiasa diputarkan," katanya.
Pernah dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua program Indonesia Idol musim kedua, Judika memberitahu album terbaharunya itu istimewa kerana dia turut menyumbangkan beberapa karya yang ditulis sendiri untuk album tersebut.
"Istimewa kerana saya menulis sendiri beberapa buah lagu di dalamnya dan pemilihan lagu yang dibuat adalah terbaik khas buat peminat di Malaysia," katanya.
Dalam perkembangan lain, Judika berkata, dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya iaitu Duma Risis Silalahi pada hari jadinya iaitu 31 Ogos tahun ini.
Telah berkenalan selama lima tahun, Judika berkata, dia sangat selesa dengan Duma yang disifatkan sangat memahami dirinya.
"Insya Allah perancangan telah dibuat dan akan menamatkan zaman bujang pada tahun ini juga pada hari paling istimewa iaitu hari lahir saya yang ke 35 tahun," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: