Saturday, April 27, 2013
Istana Lama Bersejarah
BERCERITA tentang Perancis pasti membuatkan fikiran kita melayang-layang membayangkan kemegahan kota Paris yang menjadi lokasi terbinanya sebuah menara terkenal di dunia iaitu Menara Eiffel.
Bagaimanapun, Perancis mempunyai sebuah lagi destinasi menarik yang wajib dikunjungi pelancong dari serata dunia iaitu sebuah istana lama yang terletak di Amboise.
Istana lama itu, Chateau d’Amboise terletak kira-kira 222 kilometer dari Kota Paris dan memakan masa dua jam setengah jika perjalanan menggunakan kereta.
Ia dibina di atas Sungai Loire pada abad ke-13 oleh Count of Anjou, Fulk Nerra untuk Louis d’Amboise. Begitupun, pada 4 September 1434, istana itu telah dirampas oleh Raja Charles ketujuh selepas Louis didapati bersalah berkomplot menentang Raja Louis ke-11.
Sejak istana tersebut beralih tangan, ia menjadi lokasi kegemaran raja-raja Perancis sejak Raja Louis ke-11 hingga raja Francis yang pertama.
Pada abad ke-15, berlaku perang agama di Perancis yang dicetuskan oleh Huguenots. Beliau akhirnya berjaya menguasai negara tersebut termasuk merampas istana berkenaan.
Istana tersebut kemudiannya dinaik taraf secara besar-besaran dan sejak itu, ia menjadi lokasi kegemaran golongan diraja.
Tapak Warisan Dunia
Pada tahun 1840, Kementerian Kebudayaan Perancis mengiktiraf istana tersebut sebagai tugu peringatan.
Pihak Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1981 juga telah mewartakan kawasan tersebut menjadi Tapak Warisan Dunia kerana ia menyimpan lipatan memori politik dan perkembangan sejarah seni lukis pada kebangkitan zaman Renaissance di Eropah.
Kunjungan ke istana itu bukan sekadar mengimbau kenangan sejarah lama, tetapi menghayati keunikan seni bina dan monumen-monumen dalam istana tersebut.
Pelancong yang berkunjung ke sana juga pasti kagum melihat ukiran batu dan keunikan corak pada tingkap kaca yang terdapat di istana tersebut.
Ia turut merakam detik-detik penting seperti sejarah raja-raja Perancis dan perjalanan harian di mahkamah negara berkenaan.
Selain itu, istana tersebut juga menjadi lokasi persemadian lagenda pelukis terkemuka dunia, Leonardo da Vinci yang meninggal dunia pada 1519.
Istana Diraja Chateau d’Amboise dibuka pada setiap hari kecuali pada 1 Januari dan 25 Disember pada setiap tahun. Monumen gah berkenaan turut mempunyai beberapa buah taman yang direka dengan landskap ala Perancis sekali gus merakamkan pemandangan menakjubkan di Lembah Loire, Amboise.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: