|
USAHA mendidik anak bangsa tidak sepatutnya dibebankan atas bahu guru-guru sahaja. Individu, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan masing-masing dalam membantu mendidik mereka.
Begitulah yang dilakukan pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan mengambil pendekatan menganjurkan Bengkel Bahasa Inggeris dan Sains untuk murid-murid di sekitar Gelang Patah, Johor.
Program tahunan itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Daerah Johor Bahru dengan pembabitan seramai 150 murid yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Bengkel tersebut diadakan sebulan sekali bermula pada bulan Mac lalu hingga Jun tahun ini bertempat di dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1 dan SK Tanjung Kupang.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Strategi PTP, Azharuddin Nordin berkata, sebelum ini bengkel tersebut hanya mengajar subjek Bahasa Inggeris tetapi mulai tahun ditambah subjek Sains.
"Sehubungan itu, kami turut melantik tenaga-tenaga pengajar yang pengalaman luas dalam teknik pengajaran subjek Bahasa Inggeris dan Sains.
"Kelas tersebut dijalankan secara intensif selama empat bulan selain bengkel sehari agar murid-murid terbabit dapat memahami dengan lebih baik dan meningkatkan pemahaman terhadap subjek tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru, Ahmad Taufik Hamzah berkata: "Inisiatif PTP patut dipuji dan dicontohi oleh syarikat-syarikat korporat yang lain."
"Penganjuran program-program seperti ini dapat membantu meningkatkan tahap pengetahuan murid-murid serta membantu mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
"Saya yakin bengkel ini akan memberi manfaat kepada murid-murid yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada bulan September nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: