Tuesday, April 30, 2013
Panini sardin cili padi di London
“SAYA ada dua kafe iaitu di Bow dan Whitechapel, di timur kota London. Di situ saya buat roti, kek, croissant dan masakan lain dari Malaysia.
“Semenjak saya tinggal di England pada tahun 2006, agak sukar untuk menikmati makanan halal dan ini sungguh mengecewakan. Kemudian saya ajak suami melabur dalam bisnes makanan,” jelas pemilik bersama Lemon Tree Cafe, Noor Azlina Zainal Abidin kepada Bernama di London, United Kingdom baru-baru ini.
Ibu kepada anak lelaki berusia empat tahun itu menerima pendidikan sekolah menengah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Lendu, Melaka.
Menurut Noor Azlina, yang juga chef di kedua-dua cafe itu, premis tersebut dibuka sejak Mac lepas dan menerima sambutan baik daripada masyarakat setempat.
“Alhamdulilah, kedua-dua kafe itu terus menerima pengunjung dari jauh dan dekat, malah sentiasa bermain di mulut masyarakat tempatan,” jelas Noor Azlina yang mempunyai minat berniaga semenjak kecil lagi.
Perpustakaan
Kedua-dua premis itu terletak dalam Idea Store atau perpustakaan kecil yang menjadi tempat masyarakat setempat berjumpa serta berinteraksi secara aktif atau menggunakan internet kerana WiFi percuma disediakan di situ.
Hampir setiap tempat duduk di bangunan empat tingkat Idea Store di Whitechapel terdiri daripada pelajar kampus Queen Mary, University of London kerana lokasinya yang berdekatan.
Penulis sempat meluangkan masa selama dua jam bersama Noor Azlina dan suaminya Mohamed Ridzwan Grenville Peter Mills.
Menurut Noor Azlina, kerangka perniagaan mereka mula terbentuk pada tahun 2011 selepas berjaya mengendalikan kafe Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square.
“Kami kemudian dijemput Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) bagi mengurus dan membekalkan khemah pada acara tahunan Malam Malaysian di Trafalgar Square tahun lepas.
“Selepas itu kami dijemput sebagai penaja utama pada acara tahunan Festival Makanan Nottingham University serta acara katering yang lain.
“Disebabkan kejayaan kami terutamanya mengendalikan kafe di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, syarikat kami, Azi’s Kitchen & Catering dijemput oleh Pusat Komuniti Bromley-by-Bow di timur London bagi mengendalikan katering untuk kafenya Pie in the Sky,” jelas Noor Azlina.
Pada Februari lepas, Azi’s Kitchen & Catering, yang mengendalikan Lemon Tree Cafe telah diberi kontrak bagi menguruskan kafe di Idea Store Whitechapel dan Bow.
Rakan niaga suami isteri itu baru-baru ini menjenamakan semula kafe mereka menjadi projek Lemon Tree.
Mesra pelanggan
Harga makanan di Lemon Tree Cafe adalah mesra pelanggan dan unik.
“Kami percaya pelanggan mahukan makanan yang segar, sihat serta berkhasiat pada harga yang realistik. Harga makanan kami tidak akan melebihi 5 pound (RM24).
“Sebanyak 10 peratus daripada senarai menu kami ditukar setiap minggu bagi memastikan sesuatu yang baharu dan menyeronokkan. Fokus kami bukan sahaja masakan Asia Tenggara, bahkan kami juga mengendalikan kepelbagaian sajian kosmopolitan bagi menyesuaikan setiap cita rasa,” kata Noor Azlina kepada penulis sambil menyajikan hidangan nasi lemak, mi goreng dan sardin cili padi panini di kafenya.
Panini adalah sandwic diperbuat daripada roti Itali yang dibakar. Panini berkenaan adalah antara hidangan yang diminati golongan ekspatriat dan komuniti setempat.
Ketika ini Noor Azlina mempunyai tujuh pekerja sepenuh masa selain tiga lagi bekerja separuh masa. Azi’s Kitchen & Catering berhasrat membuka 20 kafe di London dalam masa lima tahun ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: