Akui merancang keluarga demi perjalanannya karier seninya sebelum ini, kini Mizz Nina sudah bersedia untuk mempunyai anak sendiri.
Menurutnya, jika ditakdirkan hamil pada tahun ini, dia menerima.
“Ya. Saya memang dah rancang. Sebenarnya ia dah ‘start’. Kalau ia berlaku, ia berlaku. Saya terima.
“Harap-harap saya hamil tahun ini dan melahirkan tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian Online, ketika ditemui pada sidang media konsert sulungnya.
Mizz Nina bernikah dengan Noh Salleh pada 1 Julai 2011.
Dalam perkembangan lain, Mizz Nina juga berharap untuk mengadakan persembahan di Korea Selatan bagi mempromosikan lagu kolaborasinya dengan penyanyi, Jay Park, Around The World.
“Kami lancarkan video di YouTube. Setakat ini, peminat K-Pop memberi sokongan dan bercakap tentang lagu itu di media.
“Saya harap, saya berpeluang untuk mengadakan ‘trip’ ke Korea dalam masa terdekat untuk mempromosikan lagu itu. Mungkin pemasaran dan promosi akan dilakukan selepas konsert,” katanya.
Ekoran lagu Around The World yang dilancarkan baru-baru ini, Mizz Nina dikatakan menggunakan suara mesin.
Namun, penyanyi berusia 33 tahun ini menafikan perkara tersebut.
“Saya rasa orang yang bercakap negatif ini, mereka tak puas hati dengan kehidupan mereka. Jadi, mereka memilih untuk komen terhadap orang lain.
“Bercakap tentang suara mesin ini, mereka tak faham, apa muzik itu? Mana ada mesin. Sekarang semuanya dah canggih... ada banyak ‘filter’, sama ada kita nak suara itu nampak original atau tidak,” katanya.
Tambahnya, “jadi, untuk orang yang buat komen negatif pada saya , saya hindari mereka. Mereka terlalu ‘judgemental’. Saya memang tak mengambil komen-komen itu dengan serius.”
Mizz Nina bakal mengadakan konsert pertamanya, Around The World Concert pada 18 Mei ini dengan penampilan khas, Jay Park, Noh Salleh dan Teh Tarik Crew.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: