Saturday, April 27, 2013

Nilai Sam masih sama



SEAWAL tahun 1995 ketika mula melakar nama, Sam atau Shaheizy Sam Abdul Samad pernah dibayar RM300 untuk berlakon drama dan RM500 jika sebuah filem.
Sejajar pertambahan usia kematangan dalam industri hiburan, angka bayarannya turut meningkat mendadak sejak dua tahun lalu dan ujar Sam dia selesa dengan bayaran yang diterima.
'Diserang' persoalan tentang nilai sebenar yang diterima setiap kali dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak seni, Sam mengelak untuk menjawab. Lelaki berusia 31 tahun ini bimbang dianggap riak dengan jumlah pendapatannya kini.
Namun, daripada cakap-cakap orang industri, Sam merupakan antara pelakon lelaki Malaysia yang menerima bayaran paling mahal. Ia mencecah ratusan ribu untuk sekali tugasan!
Enggan riak dan terlalu mendabik dada atas pencapaian dan jumlah angka gajinya hari ini, Sam bagaimanapun menyifatkan bayaran diterima berbaloi dengan usahanya sejak dulu.
Sesekali, suaranya terdengar tersekat-sekat. Barangkali, Sam cuba memberi jawapan yang paling diplomatik terhadap persoalan tentang harga perkhidmatannya kini. Malah, sesekali, setiap persoalan, dijawab hanya dengan sepatah perkataan.
Namun, akhirnya, selepas selesa dan bagai mendapat 'idea' jawapan yang paling diplomatik untuk diberikan, Sam kembali bersuara.
Sam menegaskan dia masih mahu dilihat sebagai individu yang sama biar telah beberapa kali menggenggam trofi anugerah berbeza-beza.
"Harga lakonan saya tetap sama tiada perubahan, tidak naik tidak turun. Antara popular atau tidak, kerja saya masih sama dan sentiasa mahukan yang terbaik untuk diri sendiri serta pihak produksi yang saya terbabit.

SHAHEIZY SAM kini menjadi antara aktor lelaki Malaysia paling mahal dengan bayaran mencecah ratusan ribu ringgit untuk sekali perkhidmatan sebagai pelakon.


"Selagi saya berlakon, tidak akan sesekali saya susahkan pihak lain terutama produksi. Sebab itu kebanyakan produksi yang tahu cara saya bekerja masih memanggil saya untuk berlakon sampai sekarang," ujarnya yang ditemui ketika majlis perasmian restoran pertamanya, Best Time Family Cafe & Grill di Cheras, Selangor baru-baru ini.
Berkongsi mengenai projek terbaharunya, Sam menetapkan dia akan mengehadkan paling banyak empat buah filem yang akan dibintangi tahun ini.
Salah satu daripada filem tersebut yang sudah tertulis hitam putih kata Sam adalah filem Manisnya Cinta bergandingan dengan Fazura dan Lisa Surihani yang bakal menjalani penggambaran di Turki bermula 20 Mei ini.
Rahsia
Pasti ramai yang menjadikan Sam sebagai idola untuk berjaya dalam bidang lakonan dan ketika ditemui baru-baru ini, Sam tidak lokek berkongsi rahsia kejayaannya.
Kata Sam, komited terhadap kerja dan tidak putus berdoa menjadi resipinya sepanjang bergelar artis.
"Untuk menjadi sesiapa saja kita perlu komited melakukan sesuatu perkara dan apabila kita memilih untuk menjadi artis, kita perlu kenal apakah itu lakonan.
"Jika ilmu tidak lengkap perlu belajar asas lakonan. Insya-Allah setiap kerja kalau dilakukan dengan ikhlas hati akan jadi terbaik.
"Selain itu, jaga hubungan dengan orang sekeliling dan ibu bapa. Percaya pada diri, berusaha dan berdoa itu penting!" kongsi Sam.
Popular barangkali tiket untuk mencuri perhatian ramai gadis namun tidak mustahil populariti yang diraih menyebabkan individu sekeliling menjauhkan diri dek bimbang dengan taraf yang telah diraih seseorang artis.
Mengakui adakalanya sikap skeptikal itu wujud dalam kalangan teman rapatnya, Sam tidak menafikan bahawa populariti mungkin membuatkan dia sukar mencari jodoh.
"Populariti tidak menyukarkan saya mencari pasangan tapi disebabkan saya seorang yang teliti (perfectionist), maka saya akan cerewet dalam banyak segi walaupun perkara itu kecil.
"Tidak payah bergelar popular kerana terpulang kepada cara kita bekerja. Kalau kita mengambil serius terhadap sesuatu perkara, ia akan jadi susah sebenarnya," katanya.

RESTORAN kami. Sam bersama ibunya, Khatijah (kiri) dan ibu saudaranya.


Wanita idaman
Sam bagaimanapun mengakui pengalaman pahit putus cinta tiga kali sebelum ini sedikit sebanyak mengganggu fokusnya untuk serius dalam perhubungan.
"Dulu kalau cakap tak mahu serius, tapi akhirnya jadi serius juga. Sekarang saya masih solo dan memfokuskan pada kerja.
"Saya tiada masalah kalau jodoh itu datang pada tahun ini. Saya tiada perancangan. Sekarang bukan masa saya sibuk mencari pasangan, tapi sibuk mencari kerja. Entah-entah saya akan bertemu jodoh ketika sedang bekerja.
"Insya-Allah banyak pilihan depan mata, tapi bukan semua suka kita dan mungkin ada yang suka saya tapi saya tidak tahu," tuturnya.
Dalam pada itu, Sam menegaskan ciri-ciri wanita idamannya. Perkara pokok kata Sam, dia memerlukan seseorang yang menenangkannya ketika dia cemas.
"Saya mencari seorang wanita yang sederhana dan paling penting boleh menyejukkan hati. Saya seorang yang cepat kelam-kabut, lekas tertekan dan cemas, maka saya perlukan individu yang tidak gopoh-gapah dan tidak mendesak.
"Comel dan fizikal yang boleh menyejukkan hati apabila memandang hari-hari, selain itu pandai mengambil hati keluarga saya dan boleh menjaga makan minum saya," kata Sam yang tidak ambil pusing sekiranya jodoh bersama orang kebanyakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: