Linda atau nama sebenarnya Rozlinda Onn, 36, berkata, dia berasa bersalah terhadap para peminatnya yang melahirkan rasa kecewa ekoran kegagalannya merangkul trofi dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular walaupun mereka bertungkus lumus membuat undian.
"Saya bukan berkecil hati atau merajuk kerana kalah menang itu adalah perkara biasa dalam sesuatu pertandingan tetapi penarikan diri itu adalah semata-mata kerana peminat saya.
"Ramai yang datang kepada saya dan mengadu mereka kecewa kerana saya gagal memenangi kategori itu walaupun telah bersusah payah melakukan undian," jelasnya kepada mStar Online.
Selain Datuk Siti Nurhaliza, baru-baru ini pelakon Adi Putra juga melahirkan hasrat sama untuk tidak lagi bertanding dalam ABPBH pada tahun hadapan. Adi bagaimanapun tidak akan menolak untuk dicalonkan pada tahun-tahun berikutnya.
Pada ABPBH 2012, kategori penyampai radio wanita popular di menangi oleh Fara Fauzana. Penyampai radio Hot FM itu memenanginya sejak 2007.
Linda berkata, para peminatnya juga pasti akan memahami dengan penarikan dirinya itu dan tidak meragui sokongan mereka selama ini.
"Saya sudah puas dicalonkan dan menang dalam kategori itu dan tiba masanya laluan diberikan kepada wajah-wajah baru malah saya yakin peminat akan terus menyokong kerjaya saya walaupun tidak bertanding," katanya.
Bagaimanapun Linda tidak menafikan, kegagalannya mempertahankan anugerah itu selama beberapa tahun sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya sebagai penyampai radio.
"Apabila kerap dicalonkan dan tidak menang sedikit sebanyak reputasi saya turut terjejas. Jadi keputusan ini saya lihat adalah terbaik dan peminat juga kini lebih mementingkan kualiti daripada populariti," katanya.
Dalam perkembangan sama, Linda berkata, walaupun tidak mahu lagi bertanding dalam ABPBH, dia akan sentiasa menyokong anugerah tersebut pada masa hadapan jika diminta berbuat demikian.
"Keputusan ini bukan bererti saya enggan bekerjasama lagi dengan BH sebaliknya akan terus menyokong segala program yang akan diatur kelak.
"Jasa mereka sangat besar dalam karier saya dan ABPBH juga yang memperkenalkan anugerah untuk mengangkat penyampai radio di negara ini," jelasnya.
Untuk rekod, Linda pernah menggondol trofi menerusi kategori berkenaan sebanyak enam kali berturut-turut sejak dicalonkan pada tahun 2001.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: