Saturday, April 27, 2013

Jejak warisan bersama DBKL


KUALA LUMPUR memiliki banyak bangunan bersejarah dengan ciri seni bina kolonial seperti bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.


IBU negara Kuala Lumpur memang terkenal dengan kepelbagaian tarikan pelancongan. Justeru, bagi memberi lebih banyak pilihan kepada para pelancong, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan program Jejak Warisan Dataran Merdeka yang dilancarkan baru-baru ini.
Program lawatan selama sehari itu menawarkan beberapa produk percutian berkonsepkan warisan dan kebudayaan rakyat berbilang kaum di Malaysia serta keunikan makanan tradisional.
Orang ramai terutamanya ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai perbelanjaan yang perlu dikeluarkan kerana kebanyakan pakej ditawarkan secara percuma.
Melalui program tersebut orang ramai berpeluang mengetahui lebih dekat tentang bangunan bersejarah berdekatan Dataran Merdeka.
Antaranya, Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Mahkamah Tinggi Lama, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Panggung Bandaraya (bangunan lama DBKL).
Aktiviti menjelajah dengan berjalan kaki ditawarkan secara percuma yang diadakan pada setiap Isnin, Rabu dan Sabtu bermula pukul 9 pagi hingga 11.45 pagi.
Seorang pemandu pelancong akan mengiringi aktiviti tersebut. Ia pasti memberi satu pengalaman dan pengetahuan baharu kepada anak-anak tentang sejarah ibu negara.
Berbasikal
DBKL juga menyediakan aktiviti mesra alam seperti berbasikal menerokai persekitaran Kuala Lumpur bermula dari Dataran Merdeka sehingga ke Taman Warisan Tun Abdul Razak.
Di sepanjang laluan yang menghubungkan kedua-dua tempat menarik itu, pelancong berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi di Taman Botani Perdana, Taman Burung, Memorial Tun Abdul Razak, Taman Orkid, Taman Rusa, Muzium Polis dan Masjid Negara.
Pakej sewaan basikal ialah pakej santai berharga RM30 selama empat jam dan pakej berkumpulan bersama pemandu pelancong sebanyak RM45 seorang.
“Dengan hanya RM1, pelancong dapat melawat Taman Warisan Tun Abdul Razak menaiki tram yang pastinya boleh memberi pengalaman lebih menakjubkan,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.
Selain itu, pelancong boleh melawat Pasar Seni dari Bukit Bintang menggunakan kemudahan bas GO KL secara percuma atau menaiki KL Hop On Hop Off tanpa had berhenti.
Menurut Ahmad Phesal, Kuala Lumpur juga mempunyai banyak kemudahan awam seperti transit aliran ringan, monorel serta jejantas pejalan kaki termasuklah jejantas pejalan kaki yang menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ke Bukit Bintang.
Kemudahan-kemudahan tersebut memudahkan orang ramai melihat keindahan Kuala Lumpur tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas jika menaiki kereta.

REPLIKA kapal terbang ini boleh dilihat di Muzium Polis Diraja Malaysia yang terletak di Tasik Perdana.


Makanan bajet
Selepas penat menjelajah tempat-tempat menarik, para pelancong boleh menikmati pelbagai makanan tempatan dengan harga bajet.
Terdapat banyak restoran dan gerai makanan di tempat tumpuan ramai seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.
Para pelancong boleh menikmati makanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan harga yang berpatutan seperti sarapan pagi pada kadar harga sekitar RM5, makan tengah hari RM7, manakala makan malam RM10.
Dengan wang sebanyak RM50 sebenarnya mencukupi untuk melawat setiap kawasan menarik di Kuala Lumpur. Kanak-kanak juga mampu menimba banyak pengalaman dan ilmu berguna sepanjang lawatan tersebut.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.visitkl.gov.my untuk pakej dan aktiviti percutian menarik di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: