GUNUNG TAHAN yang terletak di Taman Negara Pahang mempunyai ketinggian 2,187 meter merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Bagi para pendaki, Gunung Tahan menawarkan ‘aksi’ hebat bukan sahaja memerlukan masa kira-kira 10 hari untuk sampai ke puncak, malah perlu merentas sungai dan trek mencabar.
Begitupun, bagi mereka yang ingin cabaran berbeza, Gunung Benum yang merupakan gunung kedua tertinggi di negeri tersebut boleh dijadikan pilihan.
Terdapat dua denai hutan yang boleh digunakan para pendaki untuk ke puncak Gunung Benum iaitu melalui denai dari Lata Berembun di Raub dikendalikan oleh pihak Jabatan Perhutanan Pahang.
Laluan kedua pula adalah dari Pos Perlok, Ulu Cheka, Jerantut yang diselenggara dan dikendalikan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pertengahan bulan Februari lepas, penulis bersama-sama 15 pendaki dari National Outdoor Adventure (NOA) telah menyertai ekspedisi mendaki Gunung Benum melalui denai Pos Perlok yang memakan masa lima hari empat malam.
Ekspedisi itu diketuai Siti Norhidayah Mohd. Azlan dan dibantu tiga jurupandu arah khas dari Perhilitan Ulu Cheka iaitu Saiful Alias, Azman Samah dan Ismail Johar.
Hari pertama
Kami memulakan perjalanan dari Pejabat Perhilitan di Pos Perlok menuju ke kawasan perkhemahan di Kem Jeneruh diketuai Saiful atau lebih mesra dipanggil Ali.
Dia memaklumkan kepada kami bahawa denai tersebut baru dibuka pada 16 Januari lalu setelah ditutup untuk kerja-kerja baik pulih.
Permulaan pendakian agak mudah, namun kami berdepan ‘serangan’ pacat yang menggigit pergelangan kaki. Serangan itu tidak mematahkan semangat kami, malah perjalanan diteruskan sehingga sampai ke Sungai Kepal.
Di seberang sungai itu, langkah kami terhenti seketika kerana mata terpesona melihat beberapa kuntum bunga terbesar di dunia iaitu rafflesia yang hendak mengembang. Terdapat juga beberapa bunga rafflesia yang mati di kawasan tersebut.
Kami meneruskan pendakian dan berhenti rehat untuk melepaskan penat di puncak bukit 800. Selepas itu, kami menuruni sebuah kawasan lembah menuju ke Kem Jeneruh untuk bermalam.
Hari kedua
Selesai sarapan pagi, kami mengorak langkah ke Kem Batu Serondong yang merupakan lokasi untuk kami bermalam pada hari tersebut.
Kira-kira 30 minit perjalanan, kami berhenti seketika di sebuah kawasan dikenali sebagai Mata Air Bukit Damar. Mata air yang keluar dari celahan batu di situ merupakan sumber air terakhir dalam perjalanan yang masih berbaki dua hari.
Kami kemudiannya berhenti rehat, makan tengah hari dan solat di puncak Gunung Lilin.
Walaupun di kawasan tersebut tidak mempunyai sumber air, pihak Perhilitan telah mengambil inisiatif dengan mendirikan sebuah pondok kecil dan sebuah tangki air.
Kemudahan sama turut disediakan di kawasan perkhemahan Permatang Angin. Ia disediakan menggunakan bantuan helikopter bagi tujuan memudahkan para pendaki memasak dan berkhemah.
Dalam perjalanan menuju Kem Batu Serondong kami teruja kerana menemui periuk kera yang amat besar dan tidak pernah dilihat sebelum ini.
Kami tiba di Kem Batu Serondong pada lewat senja. Cuaca ketika itu sejuk dan berkabus. Kami segera mendirikan khemah dan menyediakan makan malam.
Hari ketiga
Sebelum itu, ke puncak Benum pendakian selama empat jam membawa kami ke tapak perkhemahan Permatang Angin.
Ia merupakan sebuah kawasan permatang yang lapang dan hanya ditumbuhi pokok pain. Pokok-pokok pain ini tumbuh di kiri dan kanan kawasan tersebut sekali gus memudahkan laluan angin.
Kami meletakkan barang-barang perkhemahan dan beg galas besar di kawasan tersebut. Perjalanan diteruskan hanya dengan membawa air minuman di dalam beg galas kecil.
Dalam perjalanan itu, kami menemui sebuah kawasan lapang bekas helikopter tentera mendarat berhampiran kemuncak Gunung Benum.
Menurut Ali, kawasan tersebut pernah menjadi kawasan persembunyian komunis selain pernah berlaku pertempuran.
Dua jam kemudian, kami akhirnya tiba di puncak Gunung Benum yang mempunyai ketinggian 2,107 meter dari aras laut. Terdapat penanda puncak yang diperbuat daripada besi dan zink di kawasan tersebut.
Pemandangan di belakang puncak Gunung Benum ketika itu diselubungi kabus tebal.
Setelah bergambar kenang-kenangan di puncak Gunung Benum, kami menuruni puncak dan menuju kembali ke kawasan perkhemahan Permatang Angin untuk bermalam.
|
Hari keempat
Kami meninggalkan Kem Permatang Angin dalam misi menuju Pos Perlok yang memakan masa selama dua hari.
Kami tiba di kawasan anak sungai dan berhenti rehat sambil menyegarkan tubuh seketika. Perjalanan diteruskan dengan mendaki sebuah tebing curam.
Di atas tebing curam itu, salah seorang jurupandu arah kami, Azman atau lebih mesra dengan panggilan Pak Andak menyuruh kami berhenti secara tiba-tiba.
Ini kerana dia telah menemui sesuatu yang unik iaitu seekor cacing besar dan panjang. Sebelum ini, penulis hanya mendengar cerita rakan-rakan tentang penemuan cacing gergasi di Banjaran Benum.
Setelah hampir lima jam menuruni beberapa laluan curam, akhirnya kami tiba di kawasan perkhemahan Kem Sungai Besar dan bermalam di situ.
Hari kelima
Hari terakhir ini, antara misi kami adalah menuju Kem Lata Bujang sebelum keluar ke Pos Perlok. Kami perlu meredah sungai berarus deras untuk sampai ke sana.
Kami tiba di persimpangan denai antara Pos Perlok ke Lata Bujang. Jarak persimpangan denai ke Lata Bujang hanya memakan masa 20 minit. Lata Bujang terkenal dengan air terjun empat tingkat yang cantik.
Terdapat sebuah kolam di tingkat pertama air terjun itu yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda dan terjun tiruk.
Setelah puas mandi-manda, kami meneruskan perjalanan ke Pos Perlok dan kemudian menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Pejabat Perhilitan Ulu Cheka.
Apabila tiba di pejabat tersebut, kepuasan jelas terpancar di wajah para pendaki kerana kejayaan mendaki Gunung Benum itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: