Saturday, April 27, 2013

8TV & TV9 Raih Kemenangan Dalam Anugerah Televisyen Chicago


Joe Flizzow
PETALING JAYA: Primeworks Studios menerima pengiktirafan pada Festival Filem Antarabangsa Chicago, Amerika Syarikat ke-49 pada Rabu lalu melalui dua produksi televisyennya, iaitu Hip-Hoppin Asia dan Switch Off.
Hip-Hoppin Asia, sebuah rancangan travelog berunsur hip-hop yang dihoskan oleh penyanyi Joe Flizzow itu memenangi Anugerah Perak dalam kategori Travel Series. Ia disiarkan menerusi saluran 8TV pada Oktober tahun lalu.
Sementara itu, Switch Off, sebuah rancangan berbentuk game show terbitan TV9, telah dianugerahkan Sijil Merit dalam kategori Game Show Series.
Anugerah Televisyen Festival Filem Antarabangsa Chicago adalah satu pertandingan televisyen antarabangsa tahunan yang mengiktiraf rancangan-rancangan dan iklan-iklan televisyen dari seluruh dunia.
Majlis Anugerah tersebut, dihoskan oleh personaliti televisyen dan radio terkenal Jeanne Sparrow.
Leo Burnett, salah satu agensi pengiklanan terbesar di dunia telah diberi penghormatan dengan Anugerah Komitmen Kecemerlangan untuk Iklan Televisyen.
Wartawan Walter Jacobson pula telah memenangi Anugerah Legenda Chicago sempena sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan selama 50 tahun.
Radhi mengacarakan rancangan Switch Off di TV9
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar dalam satu kenyataannya kepada mStar Online di sini pada Jumaat berkata, kemenangan itu adalah penghormatan besar bagi saluran berkenaan dalam menghasilkan karya penerbitan yang terbaik untuk penonton.
“Saya berbangga dengan bakat-bakat muda di 8TV dan TV9 yang sentiasa menyumbangkan idea-idea segar dan inovatif untuk menghasilkan kandungan yang terbaik.
“Saya percaya pencapaian ini menjadi inspirasi besar bagi kami untuk terus menghasilkan rancangan-rancangan berkualiti yang boleh dinikmati oleh penonton di seluruh dunia,” katanya.
Hip-Hoppin Asia memperkenalkan penonton kepada pelbagai cara hidup hip-hop di bandar-bandar Asia dan meneroka bagaimana genre muzik ini dihayati di setiap destinasi.
Dari Thailand ke Taiwan, Filipina ke Jepun dan Hong Kong ke Sri Lanka, travelog ini memaparkan perkara-perkara unik untuk dilakukan di bandar-bandar berkenaan dan juga pengalaman hip-hop paling menarik untuk dicuba.
Sepanjang perjalanan, Joe Flizzow juga bertemu dengan personaliti-personaliti hip-hop terkemuka seperti Teriyaki Boyz di Jepun, Thaitanium di Thailand, dan Saykoji di Indonesia.
Dalam pada itu Switch Off yang disiarkan pada September 2012 telah menyaksikan ahli band-band indie tempatan melaksanakan cabaran yang diberi di dalam sebuah rumah usang yang gelap.
Keberanian para peserta diuji apabila mereka terpaksa menghadapi salah satu daripada ketakutan yang paling asas iaitu kegelapan. Hanya walkie-talkie menjadi penghubung dengan ahli mereka yang lain.
Rancangan ini dihoskan oleh Radhi Razali yang turut menyaksikan penyertaan band-band ternama Malaysia seperti Monoloque, Kyoto Protocol, Grey Sky Morning, OAG, Couple dan Oh Chentaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: