Friday, April 5, 2013

Awas perangkap falasi

SEORANG graduan sememangnya golongan bijak pandai, namun mereka tidaklah pakar dalam semua hal sehingga kita perlu percaya setiap apa yang mereka katakan.


DALAM kehidupan kita sebagai manusia, secara psikologikalnya, kita selalu membuat kesilapan mental yang tidak kita sedari.
Kita sangka apa yang dirasakan itu sebagai benar kerana kita mempunyai alasan logik untuk membenarkan pandangan kita tadi. Hakikatnya, ia mungkin tidak.
Dalam psikologi, kita namakan kesilapan itu sebagai falasi. Ia selalu sahaja memerangkap kita, baik sebagai seorang pekerja atau sebagai orang awam.
Falasi adakalanya bukan sahaja menyebabkan kita tersalah membuat keputusan, tetapi juga boleh menyebabkan kita diperdaya oleh mereka yang bijak mengambil kesempatan. Falasi juga adakalanya menyebabkan kehidupan kita kucar-kacir.
Misalnya, apabila ada suami yang selalu balik lambat, ada isteri yang mengaitkan kejadian tadi dengan hal lain yang mungkin tidak ada kaitan. Isteri tadi mungkin cuba mengaitkan antara 'balik lambat' dengan 'hubungan dengan perempuan lain'.
Mengaitkan dua perkara yang tidak relevan inilah yang dinamakan sebagai falasi. Ia kelihatannya logik, tetapi adakalanya hanyalah sekadar khayalan sahaja.
Ada ketikanya, ada peristiwa tertentu yang mungkin ada hubungan. Bagaimanapun, ia mungkin tidak semestinya betul dalam keadaan yang lain.
Falasi boleh berlaku di mana-mana sahaja. Kita selalu cenderung menyatakan bahawa mereka yang lulus universiti ialah mereka yang bijak.
Ia juga adakalanya bersifat falasi. Manusia cenderung untuk mengaitkan 'lulus universiti' dengan 'kebijaksanaan'.
Walaupun mungkin benar lulusan universiti adalah mereka yang bijak, tetapi tidak semestinya mereka ini bijak dalam semua perkara. Mereka yang lulus dalam bidang ekonomi misalnya, tidak bermakna mereka bijak dalam bidang kejuruteraan.
Disebabkan falasi seperti ini, ada individu tertentu yang sanggup untuk membeli ijazah palsu daripada institusi tidak diiktiraf kerana ia kelihatannya mampu membuatkan orang percaya terhadap mereka.
Falasi dalam politik

JANGAN terpedaya dengan seseorang hanya kerana pakaian dan penampilan contohnya jurujual yang datang ke rumah. - Gambar hiasan


Mereka mahu memerangkap manusia lain yang selalu percaya bahawa sesiapa sahaja yang ada gelar 'Dr.' ialah mereka yang bijak. Ini mungkin memudahkan mereka dalam perniagaan atau bidang yang mereka ceburi.
Dalam bidang politik, falasi selalu menjadi senjata untuk memerangkap orang ramai. Orang diperdaya dengan hujah menyatakan seseorang yang pandai bercakap adalah mereka yang bijak.
Hakikatnya, belum tentu seseorang yang pandai bercakap adalah mereka yang pandai memimpin atau mampu melakukan apa yang mereka ucapkan tadi, malah lebih memudaratkan apabila dikatakan bahawa apa sahaja yang dilontarkan oleh individu tadi sebagai benar dan tidak ada cacat celanya.
Sedangkan, dalam dunia realiti ia tidak semestinya begitu. Ada individu yang hebat, tetapi mereka mungkin tidak berupaya untuk menjadi pemidato yang baik.
Mereka ini mungkin tidak dipercayai oleh orang ramai, jika dibandingkan dengan mereka yang bijak berucap.
Kita juga selalu mendengar bagaimana ada orang ramai yang telah diperdaya dengan jurujual yang memakai pakaian kemas dan bergaya.
Mereka telah dibenarkan untuk memasuki rumah tanpa sebarang perasaan curiga. Sedangkan yang mungkin terjadi, mereka mungkin telah menggunakan elemen falasi tadi untuk memperdaya orang ramai sama ada untuk membeli barang tiruan, malah adakalanya mampu mempengaruhi orang lain untuk memberikan barang kemas yang mereka miliki.
Bersikap rasional
Sebab itulah, apabila kita berdepan dengan keadaan-keadaan tertentu yang memerlukan kita membuat keputusan, kita perlu kembali kepada rasional.
Adakalanya alasan yang kita berikan untuk membenarkan sesuatu sebab, hanyalah falasi sahaja. Ia tidak semestinya mempunyai hubungan antara satu sama lain, sekalipun ia kelihatannya seperti mempunyai pertalian.
Ada orang yang sanggup membeli sesuatu barangan dengan harga yang mahal kerana diandaikan ia mempunyai kualiti yang baik.
Ada pula orang yang terpedaya dengan nasihat oleh mereka yang memakai kopiah kerana disangkakan mereka itu alim dan berpengetahuan.
Realitinya, falasi inilah yang selalu memerangkap pemikiran kita. Falasi boleh terjadi kepada sesiapa sahaja dan berlaku dalam kehidupan kita setiap hari.
Kita mungkin tidak mampu untuk menghindarkannya. Bagaimanapun, dengan bersikap lebih rasional, kita mungkin mampu mengawal pemikiran kita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: