PADA tahun 1994, band lelaki popular tanah air, KRU meledakkan fenomena muzik tempatan dengan lagu rancak berjudul Awas!. Apabila menyaksikan video muzik lagu tersebut, stail cool yang dipaparkan tiga adik-beradik, Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry mula menjadi ikutan.
Golongan lelaki khususnya remaja menjadikan singlet warna polos yang digandingkan dengan jaket kulit sebagai trend wajib era 1990-an. Namun paling terkesan ialah pemakaian skarf (bandana) yang diikat pada kepala dan kaca mata hitam bingkai bulat.
Pada masa itu juga, golongan wanita sedang dilanda kegilaan terhadap band perempuan, Feminin. Disifatkan sebagai pemula trend dalam fesyen, Feminin tampil menarik dalam video muzik lagu hit mereka, Untukmu pada tahun 1993.
Kardigan labuh berbutang tengah, celana pendek dan baju lengan panjang berjalur mencipta trend hangat kepada remaja tempatan. Tidak keterlaluan, imej Feminin dalam setiap video muzik dan persembahan mereka mendahului fesyen yang dialami Malaysia ketika itu.
Fesyen ikonik
Beralih ke video muzik antarabangsa, tidak disangkal memang banyak fesyen ikonik yang masih diingati penonton sehingga ke hari ini. Raja Pop dunia, mendiang Michael Jackson amat dikenali dengan persalinan merahnya dalam video muzik Thriller pada tahun 1983.
Selain itu, stail ala gengster yang ditonjolkan Michael dalam video muzik Smooth Criminal pada tahun 1988 juga mudah melekat dalam ingatan masyarakat. Sut putih berjalur dan kemeja biru beserta topi fedora putih mencipta gaya sensasi ikutan ramai.
Kasut spat yang disarungkan Micheal dalam video itu juga membolehkan beliau melakukan aksi mencondongkan badan mencecah sudut 45 darjah. Aksi signatur itu dipaparkan kali pertama dalam video tersebut.
Begitu juga dengan Ratu Pop dunia, Madonna. Kontroversi yang dicetuskan menerusi blaus jarang dalam video muzik Vogue pada tahun 1990 memberi impak penting dalam peradaban fesyen antarabangsa.
|
Menerusi video arahan David Fincher itu, Madonna turut kelihatan mengenakan sut hitam ketat yang kemudiannya menjadi trend kegemaran selebriti wanita. Bagi melengkapkan keagungan nilai fesyen dalam Vogue, Madonna sekali lagi memakai baju dalam berbentuk kon ciptaan pereka ternama, Jean Paul Gaultier.
Pada lewat era 1990-an, fenomena Britney Spears mula menguasai dunia. Tampil comel mengenakan seragam sekolah dalam muzik video sulungnya, Baby One More Time pada tahun 1998, pengaruh Britney dalam berpakaian seksi mencetuskan kebimbangan ramai ibu bapa.
Kemeja sekolah putih yang diikat sehingga menampakkan pusat bersama skirt pendek menjadi trend hangat remaja pada waktu itu. Tambah mengejutkan, kos kesemua pakaian dalam video itu tidak mencecah AS$17 (RM51). Ia boleh dibeli di pasar raya biasa.
Kemunculan penyanyi yang sering berpakaian pelik, Lady Gaga pada sekitar 2008 juga memberikan impak kepada industri muzik dengan pelbagai video muzik ikonik dari segi sentimen fesyen. Muzik video Bad Romance pada tahun 2009 memahatkan nama Lady Gaga sebagai artis yang bercita rasa tinggi dalam fesyen.
Bad Romance menyaksikan kerjasama unggul Lady Gaga bersama pereka fesyen prolifik, Alexander McQueen. Momen penyanyi itu berjalan menggunakan sepatu armadillo ciptaan McQueen setinggi 12 inci dalam video tersebut sebenarnya mencipta trend kasut dengan ketinggian luar biasa yang masih relevan sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: