Saturday, April 27, 2013

Evolusi ikon SUV Britain



APABILA Land Rover mengajukan soalan apa yang pelanggannya mahu daripada sebuah model Range Rover baharu, jawapan yang diterima adalah: Jangan ubah, hanya jadikannya lebih baik (Dont' change it, just make it better).
Maklum balas itu cukup ringkas. Namun ia menjadi ramuan penting dalam penghasilan Range Rover generasi keempat. Range Rover ialah jentera untuk segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) premium.
Sepanjang tempoh dari 1970 hingga 2012, pengeluar kenderaan 4x4 terkemuka dunia itu berjaya memperkenalkan tiga generasi Range Rover.
Generasi pertama yang dikenali sebagai Range Rover Classic ialah model paling lama berada dalam pasaran iaitu hampir 26 tahun.
Penggantinya tiba pada tahun 1995, sebelum disusuli dengan generasi ketiga tujuh tahun kemudian.
Range Rover 2013 membuat penampilan global di sebuah institusi tarian balet klasik terkenal, The Royal Ballet School yang terletak di Richmond, London, Britain.
Berdasarkan laporan tahunan kewangan 2012-2013 Jaguar Land Rover Automotive PLC (Jaguar Land Rover), sebanyak 316,043 unit rangkaian produk Land Rover sudah menemui pemiliknya di 177 buah negara.
Statistik itu merangkumi model Defender, Freelander, Discovery, Range Rover Sport, Range Rover, Range Rover Evoque dan Range Rover baharu (2013).
Bagi Range Rover 2013, angka jualan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja sudah mencecah angka 13,139 unit di pasaran antarabangsa.
Untuk makluman, Jaguar Land Rover ialah subsidiari Tata Motors Group dari India. Syarikat itu terlibat dalam proses pembinaan, penghasilan dan jualan rangkaian kenderaan Jaguar serta Land Rover.
Range Rover 2013 menetapkan penanda aras baharu dalam industri apabila muncul sebagai SUV pertama di dunia yang memiliki struktur badan monokok aluminium sepenuhnya.
Penggunaan material ringan itu berjaya menurunkan berat jentera sebanyak 350 kilogram, jika dibandingkan dengan model generasi ketiga.
Dua struktur utama pada Range Rover 2013 mengguna pakai komponen aluminium secara komprehensif. Pertama, panel bahagian luaran badan kenderaan yang menggunakan material dikenali sebagai Anticorodal-600 PX.
Struktur kedua pula melibatkan aplikasi material Anticorodal-300 T61 yang diadun pada struktur kawasan sensitif pelanggaran kenderaan termasuk pada tiang B. Anticorodal bermaksud gabungan beberapa siri aluminium dengan logam lain seperti magnesium dan tembaga.

SANGGUPKAH anda memandu jentera yang bernilai RM1 juta ini untuk mengharungi cabaran off-road?


Kemewahan kontemporari
Komponen berteknologi tinggi itu dibekalkan oleh Novelis Inc., sebuah entiti perniagaan yang berkecimpung dalam penghasilan produk aluminium dan aktiviti kitar semula tin aluminium.
Sekali pandang, reka bentuk jentera ikon Britain itu memperlihatkan penekanan pada konsep elemen kemewahan kontemporari. Sentuhan rapi para jurutera Land Rover dipaparkan pada setiap sudut jentera itu.
Wajah hadapannya kemas dengan set lampu hadapan baharu yang kelihatan seperti lensa kamera. Paparan hadapan diserikan lagi dengan penggunaan lampu DRL (daytime running lights) LED.
Gril tiga jalur hadapan baharu memiliki 66 lubang kecil oktagon tidak sekata. Hiasan menarik itu berperanan meningkatkan faktor aerodinamik model berkenaan.
Dua varian enjin
Selain gril, sudut cermin hadapan Range Rover baharu yang sedikit landai membantu menurunkan kadar pekali seretan pada kadar sepuluh peratus berbanding model sebelumnya.
Bahagian belakang mengimbangi konfigurasi hadapan. Set lampu belakang mengekalkan konsep tindihan. Namun, pembaharuan tetap diberikan dengan rekaan lampu brek berbentuk segi empat serta lampu isyarat membelok yang mempunyai tiga baris.
Buka sahaja pintu Range Rover 2013, anda boleh melihat sendiri nilai estetika jentera pacuan empat roda itu. Setiap sudut diberi perincian teliti oleh jurutera Land Rover.
Perkara pertama dikesan adalah pengurangan jumlah butang kawalan yang terdapat pada bahagian stereng dan konsol tengah. Hampir 50 peratus butang dibuang jika dibandingkan dengan model terdahulu.
Konsol tengah dilengkapi skrin sentuh berukuran lapan inci yang memaparkan pelbagai maklumat termasuk sistem navigasi, audio, tetapan pemanduan off-road dan atas jalan raya biasa.
Di bahagian belakang stereng, terdapat satu skrin berukuran 12.3 inci yang menunjukkan meter kelajuan, meter RPM dan paparan pelbagai maklumat mengenai konfigurasi sistem pacuan roda semasa Range Rover.
Kenderaan itu turut dilengkapi sistem Terrain Response. Teknologi tersebut akan mengubah tetapan kenderaan yang bersesuaian secara automatik berdasarkan kepada corak pemanduan semasa pemandu.

TRANSFORMASI pada bahagian papan pemuka dan stereng dalam menjadikan jentera ini kelihatan lebih kemas dan tersusun.


Pemandu juga boleh meredah paras air setinggi 900 milimeter dengan Range Rover 2013. Ia merupakan peningkatan ketinggian sebanyak 200mm berbanding model sebelum ini. Rahsianya terletak pada tindakan memindahkan lokasi corong udara ke enjin di kawasan atas roda hadapan.
Aspek keselamatan diberi penekanan menerusi pemasangan pelbagai teknologi termaju seperti Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Kawalan Kestabilan Olengan (RSC), Kawalan Cengkaman Elektronik (ETC), Bantuan Kestabilan Treler (TSA) dan Kawalan Penurunan Bukit (HDC).
Tambahan lain membabitkan Kawalan Pelepasan Cerun (GRC), Bantuan Permulaan Bukit (HSA), Kawalan Tork Seretan Enjin (EDC), Sistem Brek Antikunci (ABS), Edaran Daya Brek Elektronik (EBD), Lampu Brek Kecemasan (EBL) dan Kawalan Brek Penyelekohan (CBC).
Untuk pasaran tempatan, Land Rover Malaysia Sdn. Bhd. (Land Rover Malaysia) membawa masuk dua pilihan enjin iaitu enjin jenis petrol 5.0 liter dengan pengecas lampau dan enjin diesel 4.4-liter turbo. Kedua-dua varian didatangkan bersama transmisi lapan kelajuan.
Pengarah Urusan Land Rover Malaysia, Syed Mudzhar Syed Ali berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk menjual sebanyak 50 unit Range Rover baharu bagi tahun ini.
Tempahan diterima sebelum hari pelancaran adalah sebanyak tujuh unit. Maklum balas berkenaan menunjukkan reaksi positif daripada pelanggan tempatan terhadap taruhan terbaru Land Rover Malaysia.
Range Rover dengan enjin petrol dijual pada harga RM1,089,888 seunit. Bagi varian diesel pula, harganya adalah RM949,888 sebuah. Harga tersebut adalah di atas jalan dan tidak termasuk insurans.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: